Menyelusuri suasana politik semasa sangat –sangat menggetarkan jiwa ini. Fitnah yang berterusan berlaku menyebabkan warna-warna kedamaian dan ketenangan sedikit muram dan malap. Cahaya kebenaran tetap ada, cuma ianya tersembunyi di sebalik kabut-kabut yang agak sukar untuk dirungkaikan.
Babak demi babak dan episod demi episod terus berlarutan dengan seribu satu pertanyaan. Untuk menyatakan siapa yang benar dan siapa yang salah adalah sesuatu yang sukar buat diri ini pada masa ini. Kebenaran perlu dipertahankan demi membersihkan kembali imej yang tercalar.
Saya bertanya kepada diri saya apakah yang sepatutnya saya lakukan untuk berhadapan dengan situasi gawat ini. Saya bukanlah pemain utama untuk semua drama ini melainkan hanyalah penonton yang agak kurang berminat untuk memberikan komen. Suara hati ini berkata, saksikanlah terus cerita ini, tetapi saksikanlah dengan zikir dan fikir.
Zikir Dan Fikir
Teruskan berzikir dan teruskan berfikir. Kata-kata azimat ini terus menerus menerjah kotak fikiran saya semenjak akhir-akhir ini. Keutamaan untuk duduk diam dari memperdebatkan kehangatan kemelut ini bukan bermakna saya bersetuju dengan semua dakwaan yang dilemparkan. Kelayakan saya untuk menilai terlalu terbatas dengan fakta-fakta sekunder dan bukannya premier.
Ternyata didalam fikir dan zikir itu ada semua jawapan kepada kemelut ini. Di dalam zikir dan fikir ini ada sesuatu yang Allah bukakan dan tunjukkan. Kebenaran tetap satu, dan bagaimana menghadapi semua ini, Hadapilah dengan iman, islam dan ihsan. Anda pasti selamat. Selamat dari fitnah dunia. Percayalah kata-kata saya, sesiapa yang lari dari landasan fitrah dalam melalui liku-liku kemelut ini, ia pasti akan tergelincir.


July 5, 2008 at 3:39 pm |
Mudah mudahan kita semua terpelihara dari fitnah dunia dan fitnah Dajjal.