Archive | Masyarakat Jawa RSS feed for this section

Barang Lama Tetap Berharga

11 Jan

Alhamdulillah. Terkudrat jua jari jemari ini untuk menitipkan sesuatu di atas lembaran ini. Salam ceria di awal tahun baru 2011. Ini adalah entry saya yang pertama untuk tahun 2011 yang baru bermula.

Masa-masa begini semua orang teruja untuk berbicara soal yang baru. Azam baru, kerja baru, kereta baru dan apa-apa sahaja yang baru. Azam baru, semangat pun baru panas-panas lagi. Rasanya, itulah trend yang sama berlaku apabila bermulanya sesuatu yang baru. Apapun, semua itu adalah satu motivasi yang bagus untuk kemajuan diri sendiri. Intipatinya ialah perubahan, dan setiap perubahan mesti ada titik permulaan untuk bergerak (turning point). Tanpa turning point yang bagus, momentum akan menjadi perlahan dan perjalanan tidak akan terfokus dan terarah.

Muqaddimah saya mulakan dengan cerita yang baru-baru sahaja, sedangkan tajuknya berbunyi yang lama-lama. Agak tersenyum saya membacanya. Apa kolerasinya. Itu yang cuba saya nak sebut.

Entri ini saya ungkapkan lebih kepada untuk mencari makna diri. Makna diri bermaksud jatidiri. Sesuatu yang baru hendak dimulakan, perlulah harus ada kesinambungan dengan apa yang telah dimulakan terdahulu. Bermakna, sesuatu pembaharuan haruslah berantaian dengan cerita-cerita lama. Kalau ianya “totally” baru, itu namanya “bid’ah”.

Barang lama yang saya maksudkan disini ialah budaya dan warisan “kita” dalam menggembling ketamadunan arus kemodenan hari ini. Kalau boleh saya sambungkan tajuk entri ini, ia berbunyi

“…….ramai yang sudah lupakannya”. (Macam lirik lagu jer).

Mungkin telah sampai masanya untuk kita menggali semula khazanah lama warisan silam untuk sama-sama kita mencari sesuatu yang telah hilang ditelan arus zaman. Ianya adalah warisan keilmuwan, warisan kebudayaan, warisan keindahan hidup bertuhan.

Tujuannya hanya satu, menelusuri akar untuk mencari punca. Disitulah makna KITA.

 

 

REWANG : BUDAYA MUAFAKAT MASYARAKAT JAWA

3 Jun

Pulang “Rewang” Ke Kampung

 

Awal-awal lagi emak saya sudah berpesan kepada semua anak-anaknya termasuklah saya supaya pulang ke kampung pada 31/5 & 1/6 yang lepas. Ini adalah arahan kebiasaan apabila ada apa-apa majlis kenduri yang akan dibuat dikampung. Majlis kenduri kali ini ialah majlis walimah (kenduri kahwin) di rumah emak saudara saya yang merangkap kakak kepada abah, Embah Supinah. Panggilan mesra untuk beliau ialah Embah Wawok.

Pada satu-satu majlis kenduri perkahwinan seumpama ini, kami adik-beradik akan dikerah untuk balik dan berkumpul dalam satu keluarga besar untuk sama-sama membantu majlis perkahwinan tersebut. Adat inilah yang dipanggil dengan istilah REWANG menjadikan ianya satu budaya dan adat yang unik dalam masyarakat Jawa. Penglibatan dalam aktiviti rewang seolah-olah menjadi satu yang wajib dan menjadi satu kesalahan yang besar jika ada mana-mana anggota keluarga yang tidak dapat menghadirkan diri dengan alasan yang konkrit.

Saya cuba untuk menilai semula nilai-nilai adat yang baik ini kerana saya tidak mahu keterlibatan saya hanya dinilai dari aspek pandangan adat dan budaya yang baik semata-mata. Ini kerana segala-galanya bermula dengan niat yang murni. Saya menyatakan demikian kerana ada anggota keluarga yang hadir kerana seolah-olah terpaksa dan terikat kuat dengan adat. Maka saya terangkan semuanya kepada isteri saya tentang budaya ini. Maklum saja, isteri saya berasal dari Kelantan. Maka kami telah menetapkan bahawa kehadiran kami ke majlis rewang tersebut dengan misi amal, ziarah dan ukhwah.

Misi Amal, Ziarah Dan Ukhwah

Tatacara adab bergaul dengan masyarakat ada disebut dan dibincangkan di dalam kitab Sairu As-Salikin karangan Syeikh Abdul Samad Palembagi. Beliau membahaskan adab yang bagaimana untuk kita dibolehkan bergaul dengan masyarakat atau tidak. Pertamanya, tidak dibolehkan sekiranya aktiviti tersebut bercampur dengan perkara-perkara maksiat dan boleh merosakkan akhlak, iman & amal. Keduanya dibolehkan atas dasar ta’awun iaitu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan.

Maka saya melihat sebenarnya budaya rewang ini merupakan satu medan amal yang besar kerana aktiviti bergotong royong memang menjadi satu amalan masyarakat Melayu umumnya dan budaya rewang ini juga dapat dijadikan satu medan dakwah diperingkat keluarga dan sanak saudara. Maka itulah misi amal, ziarah dan ukhwah menjadi keutamaan kami sebelum mendahulukan nilai adat dan budaya setempat.

Maka, aktiviti selama dua hari tersebut telah dipenuhi dengan aktiviti yang meriah kerana masing-masing akan mencari apa sahaja kerja yang boleh dilakukan. Kalau dahulu, anak-anak muda akan berebut-rebut untuk menjadi “penanggah” yang bermaksud pelayan, tetapi fungsi tersebut kian lama kian terhakis kerana sistem kenduri sekarang lebih kepada sistem layan diri. Selain itu juga, minat belia-belia dan anak muda untuk menghadiri rewang juga kian merosot. Mungkin sebab itulah saya menyarankan agar misi amal ini di terapkan agar mereka dapat melihat semua kerja-kerja ini dengan nilai-nilai pahala amal yang soleh.

Antara lain yang menjadi tarikan anak muda ialah hiburan. Makanya, mana-mana majlis yang tiada hiburan maka kuranglah anak-anak muda yang hadir. Antara hiburan yang saya maksudkan ialah seperti kumpulan kugiran, kuda kepang, joget lambak dan sebagainya. Maka disinilah saya melihat peranan dakwah yang sesuai agar hiburan-hiburan yang melalaikan ini dapat diubah konsepnya kepada hiburan yang lebih Islamik.

Bermain-main dengan keletah adik-adik sepupu dan anak-anak buah juga menjadikan misi ukhwah amat bererti buat saya. Kami sesama sepupu berborak-borak panjang bercerita dari hal kerjaya, rumahtangga, politik dan lain-lain lagi. Bagi saya ukhwah inilah sebagai satu jambatan jangka panjang untuk misi dakwah yang lebih jauh pada masa-masa mendatang.

In Sya Allah, selepas ini saya akan mengupas tajuk-tajuk lain yang saya letakkan di bawah kategori Masyarakat Jawa sebagai satu pengenalan untuk anda mengenali budaya Masyarakat Jawa ini dan sejarah telah membuktikan bahawa adat dan budaya setempat merupakan salah satu senjata yang ampuh untuk menguasai medan dakwah setempat.

Foto-Foto Rewang

                

    

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.