Konsert bercanggah niat sebenar ‘Protes’
July 9, 2008
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak setuju penganjuran konsert sempena perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun anjuran Pakatan Rakyat untuk membantah kenaikan harga minyak di Stadium Kelana Jaya, Selangor Ahad lalu.
Beliau berpendapat pendekatan menganjurkan konsert kumpulan underground itu diadakan sebagai usaha menarik golongan muda menyertainya adalah pendekatan yang salah dan lari dari agenda sebenar.
“Saya sokong protes itu diadakan tetapi tidak dapat menyertainya kerana ada persidangan Dewan Undangan Negeri.
“Perkara itu saya tak pernah terfikir boleh berlaku. Macam mana majlis protes buat program-program macam tu. Itu tak betul. Cara kerja tak betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Apa yang dikesalkan menurut Menteri Besar Kelantan itu ialah berlakunya insiden tumbuk dan membelasah antara penonton dan penyanyi kumpulan terbabit yang menunjukkan selingan konsert itu tidak bertepatan dengan agenda protes itu sendiri.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan langkah Unit Amal Pas meninggalkan lokasi perhimpunan itu diadakan kerana tidak setuju dengan acara nyanyian kumpulan terbabit yang menunjukkan punggung dan aksi liar ketika persembahan.
Ini kerana, katanya, mereka tidak seharusnya turut serta dalam acara konsert berkenaan kerana ia bertentangan dengan niat sebenar menyertai perhimpunan protes itu kerana Allah.
“Saya setuju pasukan unit amal tinggalkan tempat itu. Kita turun dari rumah sebab nak buat protes kerana lillahi taala tetapi tiba-tiba pergi sana orang lain pula tunjuk cara lain.
“Bukan cara protes tetapi cara nak seronok-seronok, saya kecewa dan tak pernah terfikir macam mana perkara itu boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, Nik Abdul Aziz kepentingan solat lima waktu ibarat makan nasi kerana walau seteruk mana bekerja pasti seseorang itu akan menikmatinya kerana ia merupakan satu keperluan.
“Solat ni sepatutnya tak ada orang yang tinggal. Walau kita suntuk masa sekalipun solat tak boleh tinggal. Sembahyang ibarat makan nasi. Kalau kita kerja kuat sekalipun kita tak tinggal dari nak makan nasi, walau kena makan sambil berdiri.
“Sembahyang pun begitu juga, sebab itu dalam sembahyang walau Allah mewajibkan tapi masih ada ruang (kelonggaran) untuk manusia. Kalau tak boleh sembahyang berdiri, kita boleh duduk.
“Kalau tak boleh duduk kena tidur dan kalau tak boleh tidur juga maknanya matilah tu..,” katanya ketika diminta mengulas cadangan menjadikan kepatuhan solat lima waktu dan Jumaat sebagai kriteria utama sebelum diterima bekerja dalam kerajaan negeri.
Menurutnya, langkah itu akan dicuba dahulu dalam masyarakat di Kelantan sebelum dikemukakan usul kerana berdasarkan senario sekarang banyak pertentangan fahaman politik wujud tambahan pula banyak program di televisyen yang melalaikan manusia.
Antara Anwar Dan Najib
July 4, 2008
Menyelusuri suasana politik semasa sangat –sangat menggetarkan jiwa ini. Fitnah yang berterusan berlaku menyebabkan warna-warna kedamaian dan ketenangan sedikit muram dan malap. Cahaya kebenaran tetap ada, cuma ianya tersembunyi di sebalik kabut-kabut yang agak sukar untuk dirungkaikan.
Babak demi babak dan episod demi episod terus berlarutan dengan seribu satu pertanyaan. Untuk menyatakan siapa yang benar dan siapa yang salah adalah sesuatu yang sukar buat diri ini pada masa ini. Kebenaran perlu dipertahankan demi membersihkan kembali imej yang tercalar.
Saya bertanya kepada diri saya apakah yang sepatutnya saya lakukan untuk berhadapan dengan situasi gawat ini. Saya bukanlah pemain utama untuk semua drama ini melainkan hanyalah penonton yang agak kurang berminat untuk memberikan komen. Suara hati ini berkata, saksikanlah terus cerita ini, tetapi saksikanlah dengan zikir dan fikir.
Zikir Dan Fikir
Teruskan berzikir dan teruskan berfikir. Kata-kata azimat ini terus menerus menerjah kotak fikiran saya semenjak akhir-akhir ini. Keutamaan untuk duduk diam dari memperdebatkan kehangatan kemelut ini bukan bermakna saya bersetuju dengan semua dakwaan yang dilemparkan. Kelayakan saya untuk menilai terlalu terbatas dengan fakta-fakta sekunder dan bukannya premier.
Ternyata didalam fikir dan zikir itu ada semua jawapan kepada kemelut ini. Di dalam zikir dan fikir ini ada sesuatu yang Allah bukakan dan tunjukkan. Kebenaran tetap satu, dan bagaimana menghadapi semua ini, Hadapilah dengan iman, islam dan ihsan. Anda pasti selamat. Selamat dari fitnah dunia. Percayalah kata-kata saya, sesiapa yang lari dari landasan fitrah dalam melalui liku-liku kemelut ini, ia pasti akan tergelincir.
KRISIS MINYAK : Sambungan episod kisah kezaliman…
June 9, 2008
Saya mengikuti perkembangan isu kenaikan harga minyak dengan penuh minat sejak ianya diumumkan minggu lepas. Saya percaya bahawa apa yang saya rasakan pada saat ini turut dikongsi oleh jutaan umat rakyat Malaysia khususnya. Tidak ketinggalan, Indonesia juga dilanda badai “tsunami minyak” yang menimbulkan reaksi bantahan rakyat jelata dari pelusuk negara tersebut. Fenomena ini saya istilahkan dengan “fenomena kejutan” kerana secara fitrahnya, apabila manusia mengalami apa-apa kejutan, secara spontan ia akan memberikan reaksi yang diluar jangkaan samaada ianya berbentuk negatif ataupun positif. Teori ini jugalah yang pernah kita pelajari didalam subjek sains semasa di sekolah menengah dahulu dengan apa yang kita namakan ianya sebagai hokum/teori refleksi (tindak balas).
Kecelaruan perasaan diantara rasa terkejut, marah dan geram cuba untuk diredakan oleh pihak kerajaan dengan pelbagai solusi yang bertemakan kepada subsidi, rebet, langkah-langkah penjimatan dan sebagainya. Tetapi pujukan-pujukan ini secara keseluruhannya masih gagal untuk meredakan suasana kemarahan hati-hati rakyat kerana dengan naiknya harga bahan bakar petrol & diesel, maka menurut bacaan ilmu ekonomi, barang-barang keperluan lain juga akan turut meningkat. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah tidak dapat dinafikan lagi kerana semua peniaga merasakan kos operasi yang semakin meningkat akan mengecilkan skala margin keuntungan mereka.
Maka rakyat jelatalah juga yang akan terus meraung dan menanggung azab yang berpenjangan kerana kuasa beli wang yang ada pada mereka semakin mengecil dan menghaus. Tidak keterlaluan kalau saya katakana kenaikan harga minyak ini telah MEROMPAK hak kehidupan golongan marhaen seperti saya kerana segala-galanya akan dinilai semula dengan nilai wang yang semakin tiada nilainya. Gejala inflasi akan terus menjadi-jadi dan dalam suasana inilah segala macam musibah, bala dan petaka boleh berlaku. Suasana huru-hara ini akan menjadi bertambah rumit kerana ukuran nilai kehidupan pada hari ini semuanya diukur dengan kekayaan wang dan kebendaan.
Penstrukturan Semula Bajet Kewangan Bulanan
Saya memperuntukkan secara tetap bajet mingguan untuk penggunaan petrol kereta sebanyak RM50.00. Ini hanyalah untuk kegunaan pergi berulang alik ke pejabat, belum lagi peruntukan sekiranya ada perjalanan jauh hujung minggu seperti balik ke kampung, kursus dsb. Sebelum kenaikan harga petrol, saya akan mendapat sebanyak lebih kurang 25 liter petrol untuk setiap RM50.00. Selepas kenaikan kepada RM2.70 seliter, ini bermakna dengan bajet RM50.00, saya hanya akan mendapat lebih kurang 18.5 liter petrol. Jika saya ingin mengekalkan penggunaan sebanyak 25 liter seminggu, ini bermakna bajet bulanan saya akan bertambah sebanyak RM70.00.
Mungkin nilai RM70.00 tidak begitu banyak dirasakan jika tidak mengambil faktor kenaikan harga-harga barangan yang lain. Tetapi, dengan melihat perkembangan mutakhir yang segala-galanya dibayangkan dengan kenaikan yang mencanak-canak seperti tarif elektrik, gula, tepung, beras dan entah apa lagi, bolehkah saya katakan jumlah RM70.00 itu tidak banyak. Itu saya istilahkan baru ibunya, yang mana anak-anak kenaikan harga barang akan terus meningkat. Secara jujurnya kalau boleh saya katakan bahawa bajet untuk sedekah mungkin tidak sebesar itu saya peruntukan. Mungkin ini juga caranya Allah mengambil balik keberkatan rezeki hamba-hambanya yang tidak menginfaqkan rezeki mereka ke jalan Allah.
Fenomena “duit pisang” ini memaksa saya untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan bulanan dan juga perancangan untuk pembelian barangan-barangan lain. Orang Kelantan/ Terengganu kata, jangan nak “tebing” juga, kerana kalau “nnebing” juga, alamat padahlah jawabnya. Wah! Dashyat betul penangan kuasa kapitalis dalam menentukan haluan ekonomi dunia, sampaikan semua pemimpin-pemimpin Islam pun terpaksa bersikap “yes bos!”
Putaran makna ekonomi yang saya pelajari satu masa dahulu iaitu bagaimana menguruskan sumber yang terhad berbanding kehendak-kehendak yang tidak terbatas tiba-tiba terlintas kembali difikiran. Terlalu banyak kehendak-kehendak yang tidak dapat saya penuhi samaada untuk saya atau keluarga saya jika diukur dengan sumber pendapatan yang terlalu terhad. Pada masa-masa sebeginilah idea-idea untuk menjalankan perniagaan menjelma kembali. Buat masa ini saya belum bersedia untuk menyambung kembali misi perniagaan yang pernah tergendala suatu masa dahulu. ( Ke macam mana saudara Arif).
Peace of Mind
Saya percaya, ramai diantara kita yang masih ligat berfikir bagaimana caranya untuk mengatasi masalah kewangan yang ketat. Belumpun sempurna untuk kita mengecapi kemewahan kewangan yang abadi dalam konteks tenang dan damai, bebas dari belenggu hutang dan ada simpanan tetap yang sempurna, sebahagian wang kita telah DIROMPAK oleh fenomena “duit pisang”. Hati dan perasaan kita terpaksa untuk menerima situasi ini dengan keadaan redha dalam keterpaksaan.
Saya bukanlah orang yang sesuai untuk membincangkan topik perancangan kewangan, tetapi paling tidak setiap kita mesti ada formula untuk keluar dari belenggu fenomena “duit pisang” ini. Saya pulangkan kembali persoalan ini kepada anda untuk melihat kepada diri masing-masing tentang perancangan kewangan yang bagaimanakah yang patut ada pada diri kita agar kehidupan “peace of mind” ini dapat dikecapi sampai bila-bila dan dimana sahaja. Tanya pada diri kita dimana letaknya nilai tenang, damai dan bahagia. Setidak-tidaknya, setiap kita perlu untuk berfikir dan bertafakur sejenak tentang perkara ini.
Munculnya Galian-Galian Bumi : Petanda Akhir Zaman
Mungkin kalau boleh saya titipkan satu hadis daripada 40 hadis akhir zaman yang dipetik dari buku yang telah di susun oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam) untuk renungan kita bersama. Insya’allah dengan berkat keinsafan kita, dapat kita mengambil iktibar dengan kejadian masa kini, mudah-mudahan ia membawa petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah saw. sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: “Hai RasuIullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita”. Lalu Nabi saw. menjawab, “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat”.
H.R.Baihaqi
Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. sejak limabelas abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi, seperti emas, perak, timah, petrol dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu di antara petanda hampirnya hari qiamat.
Penutup
Saya merasa terpanggil untuk menyatakan disini bahawa keperluan kita kepada pemerintah negara yang adil dan bijaksana perlu di wujudkan. Paksi keadilan dan kebijaksanaan itu ialah dengan kembali kepada fitrah, iaitu melaksanakan tuntutan Syariah Islamiah secara syumul. Pelanggaran kepada nilai-nilai fitrah beragama dalam konteks pemerintahan negara akan mengakibatkan kepincangan dan kerosakan (fasad) yang amat dashyat. Apabila rintihan suara hati untuk penegakkan keadilan tidak dilaksanakan, tunggulah sehingga azab dan bala Allah sampai. Inilah juga yang disebutkan didalam satu hadis bahawa apabila harta negara hanya beredar pada pihak-pihak tertentu maka ianya akan mengundang bala dari Allah.
p/s : Berdoalah semoga semua rakyat hidup aman dan sejahtera, dan dijauhkan dari bala bencana.
Mohd Razani : KWAP, Bukit Bintang
Petrol naik 78 sen, diesel RM1
June 4, 2008Harga petrol naik sebanyak 78 sen – satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70. Demikian diumumkan oleh perdana menteri petang tadi.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mengumumkan harga minyak diesel pula naik kepada RM2.58 – naik RM1 berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter.
Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.
Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini, katanya di sidang media di Putrajaya.
Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan.
Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun – rebat bagi 800 liter di bawah harga baru.
Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos.
Difahamkan rebet teresbut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.
Kerajaan dijangka menjimatkan RM4 bilion di bawah penstrukturan semula skim subsidi tersebut.
Jika harga petrol dijual mengikut harga penuh pasaran, ia boleh mencecah setinggi hampir RM4 seliter – 50 peratus di atas harga sekarang.
Bagaimanapun, kerajaan dijangka menuju ke arah memansuhkan terus pemberian subsidi pada masa depan.
Sejak 2004, harga petrol naik sebany7ak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik sebanyak setinggi 231 peratus [lihat carta].
Persiapan Pendakwah Di Ambang Kehancuran Tahghut
May 27, 2008Peranan Daie/Pejuang Dalam Menanti saat-saat kemenangan Islam dan kehancuran Thagut
..dan bersiaplah kamu dari segala kekuatan (QS. Al-Anfal: 60-61)
“put the first thing first”.., begitulah satu ungkapan yang saya lupa siapa yang mengatakannya yang membicarakan tentang keutamaan untuk menentukan sesuatu keputusan. Ini dapat dijelaskan lagi dengan penjelasan Fiqh Awlawiyat ( Yusof Al-Qardhawi) yang perlu dikuasai oleh setiap para daie dan pejuang.
Saya merumuskan dua persiapan utama perlu di janakan pada setiap individu seterusnya kepada organisasi. Pertamanya adalah yang berkaitan dengan kekuatan spiritual dan keduanya kekuatan material.
Kekuatan spiritual menuntut kita agar mempertajamkan lagi skil-skil keilmuan, skil-skil keimanan dan skil-skil kerohanian. Untuk mengungkapnya dalam bahasa yang halus, terpulanglah kepada anda untuk menentukan istilahnya samaada ianya berbentuk tauhid, usuludin, tasauf, manajemen qalbu dan banyak lagi. Tapi lebih suka untuk menggunakan bahasa atau istilah moden dengan apa yang kita kenali dengan ESQ ( emotion,spiritual quotion). Mengenali makna diri dalam konteks mencari kebenaran hidup bertuhan. P/s : kalau ada duit lebih, bolehlah hadir kursus ESQ 165 anjuran saudara Ary Ginanjar.
Keduanya ialah kekuatan material. Penting pada individu juga penting bagi jemaah/organisasi. Mantapkan keduanya. Bangunkan bidang kerjaya antum untuk menampung kehidupan sendiri dan juga berkeluarga. Jangan sampai menjadi fitnah dan penghalang kepada keterlibatan dengan medan dakwah. Juga jangan sampai menggarap kerjaya sehingga bidang dakwah dilupakan. Mungkin kita perlukan masa untuk mempelajari fasa hidup diperingkat penyesuian diantara keluarga, kerjaya dan dakwah. Carilah mentor yang terbaik untuk menyelesaikan konflik hidup anda.
Mantapkan organisasi dakwah dengan kehadiran dan keterlibatan anda walaupun sumbangan hanya sekecil paku untuk sebuah banglo yang besar. Tanpa sebatang paku, sebuah baglo tidak akan sempurna binaannya.
Jadilah jundullah yang mantap yang dapat menyumbang untuk kebangkitan Islam. Apa yang kita takuti ialah, nama kita tercicir dari arus kebangkitan Islam. Sumbangkan pemikiran, kesihatan, kegembiraan dan kekuatan kita untuk dakwah dan jihad.
Kita Merancang Dan Allah Jua Merancang
Saya merancang, anda semua merancang, UMNO juga merancang, Che Det juga merancang. Tetapi tahukah kita perancangan siapa yang lebih baik dan berstrategi. Ingatlah Allah jua merancang dan Allahlah sebaik-baik perancang.
Tetapkan iman, tingkatkan amal dan tingkatkan taqwa. Sesungguhnya segala kebatilan akan terhapus.
Bersihkan Najis Dari Luar, Bukannya Dari Dalam
May 27, 2008(sambungan artikel “Che Det, Oh Che Det”)
Membersihkan Najis Dari Luar Bukannya Didalam
Isu Che Det keluar parti mengingatkan saya kepada satu slot/topik dalam usrah@tamrin satu ketika dulu bilamana moderator tamrin atau naqib usrah sering menguatkan hujah bahawa hendak mencuci najis hendaklah dari luar lubang najis, bukannya didalam lubang najis itu sendiri. Saya merasakan Che Det pernah mengikuti tamrin atau pernah berusrah. Maknanya, beliau juga menyedari bahawa proses perubahan dalam UMNO perlu bermula dari luar. Baru ada ummph!!! Paling tidak selepas ini, Pak Lah dan barisan kepimpinan UMNO akan panas punggung dan tak senang duduk kerana semua ini melibatkan maruah, kredibiliti dan survival UMNO yang entah kemana tujuan dan haluannya.
Tetapi bagi pandangan peribadi saya yang jahil ini, buatlah momentum dari luar macam manapun, usaha Che Det akan terus gagal, dan cita-cita UMNO akan juga terus gagal bilamana pemerkasaan bangsa Melayu tidak merujuk dan kembali kepada fitrah Islami. Membasmi kebobrokan politik dengan cara politik adalah satu usaha palsu belaka kerana segala perancangan hanya berpandukan kekuatan strategi dan logik akal, bukannya kepada kemurniaan fitrah Ilahiah.
Dunia politik : Jalan/alat perbersihan jiwa dalam konteks amar maaruf nahi mungkar bermasyarakat & bernegara.
Berpolitik boleh tetapi janganlah menjadi hantu atau tahi politik. Menjadi budak politik itu mulia tetapi janganlah diperbudak-budakkan oleh politik. Ambilah manhaj politik @ siyasah sebagai alat atau jalan pembersihan jiwa dari mungkar-mungkar yang berlaku didalam masyarakat dan negara dalam konteks yang murni iaitu semata-mata mencari keredhaan Allah. Semailah akhlak yang terpuji dalam mengharungi liku-liku perjuangan yang murni ini, dan jangan dicemari dengan dadah taasub dan riya’ yang hanya akan menyuburkan kemungkaran didalam jiwa-jiwa daie dan pejuang.
Keperluan dan hajat para daie dan para pejuang kebenaran kepada pengislahan ruhaniyah amat-amat dituntut kerana ianya menjadi nukleus kepada keutuhan sebuah perjuangan. Tarbiyah Ruhaniyah didalam konteks pembinaan jiwa rabbani didalam diri para daie perlu digarap secara lebih universal dan tidak hanya terikat kepada sistem politik atau siyasah. Setiap penyakit ada ubatnya. Setiap penyakit jua perlukan doktor pakar yang berbeza. Carilah doktor-doktor pakar kerohanian yang sebenar agar segala barah-barah mazmumah dapat dibuang sehabisnya dan diisi dengan cahaya sifat-sifat yang mahmudah. Mempakejkan pentarbiyahan rohaniyah didalam satu sistem siyasah seolah mencuci najis didalam lubang bukannya dari luar lubang. Kita kena mengakui bahawa, didalam bidang siyasah, bilangan arkitek-arkitek dan jurutera-jurutera harakiah adalah cukup ramai bilangannya tetapi arkitek-arkitek serta jurutera untuk memperbaiki dan membangunkan bidang kerohanian para duat terlalu sedikit dan amat terhad sekali.
Kita tidak mahu para pejuang dan para daie sibuk dengan amar maaruf nahi mungkar yang besar diluar tetapi mengabaikan amar maaruf nahi mungkar didalam jiwa dan juga dirinya. Disinilah nilai pembangunan insan yang digarap dengan nilai kerohanian yang tinggi perlu diujudkan sama ada ianya tersedia dan ada didalam sistem jemaah itu sendiri atau para daie mencari dimana-mana ia berada. Ianya bagaikan pencarian sebutir mutiara yang perlu diterokai lautan yang dalam untuk mencapainya.
Che Det oh Che Det
May 27, 2008Saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) semalam yang menyatakan Dr. Mahathir keluar UMNO. SMS dimulakan dgn takbir sebanyak dua kali. Surprise juga apabila SMS dibuka, terbaca perkataan takbir terlebih dahulu. Tapi yang peliknya, tak ada reaksi apa-apa pun dari hati ini. Hanya yang terpacul dari mulut ini hanyalah perkataan istighfar. Saya cuba juga untuk merasa teruja dengan berita tersebut. Tapi tidak boleh juga, cuma apa yang terlintas di kepala…. ”dah nyanyuk kot orang tua ni”.
Pengorbanan
Berputar-putar kepala saya memikirkan pengorbanan apa yang Che Det nak buat untuk bangsa Melayu dan survival UMNO nya. Tetapi secara rambangnya, tidak sukar untuk meneka apakah permainan dan sandiwara yang cuba dimainkan oleh Che Det ini. Pandangan peribadi ana ada dua kepercayaan besar Che Det sehingga keputusan keluar parti dibuat. Pertamanya adalah soal kepercayaan kepimpinan Pak Lah yang dilihatnya sebagai lemah, rapuh dan tak bermaya. Keduanya adalah kepercayaan bahawa PR akan mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia menjelang September ini.
Tidak sukar juga untuk membaca kerisauan-kerisauan Che Det terhadap dua kepercayaan ini jika kita mengikuti ulasan-ulasan beliau mutakhir ini. Isu keluar parti adalah kemuncak dari rasa tidak puas hati yang berpanjangan bermula sebelum dari period Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu. Saya merumuskan, secara rasionalnya bekerja diluar parti adalah lebih efektif bagi Che Det untuk membentuk satu momentum kesedaran terhadap survival Melayu dan UMNO itu sendiri.
Lipatan Sirah/Sejarah Berulang Lagi
Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan momentum dari luar mampu menghasilkan impak yang luar biasa. Secara sedar atau tidak, ini adalah satu proses alami ataupun satu hukum fizik yang menyaksikan banyak cerita-cerita sejarah telah membuktikannnya.
Sekadar memetik beberapa kisah sejarah saya mulakan dengan kisah kejatuhan kerajaan Syah Iran. Kebangkitan Revolusi Syiah Iran banyak didominasi dari luar bila mana pada masa itu, Khomeini berada didalam buangan iaitu di Perancis. Suara-suara revolusi banyak disalurkan melalui medium kaset-kaset ceramah beliau, akhbar-akhbar dan sebagainya. Walaupun ada cerita lain disebalik kejatuhan Syah Iran yang dimainkan oleh golongan Sunni (ikhwanul Muslimin), tetapi dominasi penzahiran Syiah lebih jelas dilihat. Suara-suara revolusi banyak disuratkan kepada usaha-usaha Syiah untuk membentuk sebuah kerajaan yang baru.
Kemenangan Islam dengan kemuncaknya ialah pembukaan Kota Mekah berlaku selepas penghijrahan Nabi Muhammad dari Mekah Ke Madinah. Pembinaan negara Islam Madinah banyak memainkan peranan sebagai paksi untuk menentang kekufuran Arab Quraisy. Siri-siri peperangan juga banyak berlaku selepas penhijrahan nabi ke Kota Madinah. Momentum-momentum Jihad & Dakwah bayak berpusat di Madinah sehinggalah akhirnya Kota Mekah kembali kepada Islam dan semua orang Arab Quraisy masuk Islam seluruhnya.
Suara-suara keramat rakyat yang disuarakan oleh DSAI begitu berkuasa pada tahun-tahun 1970-an sebelum kemasukannya kedalam UMNO. Selepas 1982, usaha reformasi Rakyat terbantut kerana kononya perubahan dari dalam mampu mengubah perjuangan UMNO yang korup. Suara rakyat dimandomkan dan suara DSAI sendiri tenggelam dalam arus kebangkitan rakyat. Hanya selepas 1998 pada peristiwa pemecatan beliau, momentum politik menjadi segar kembali. Momentum ini berlaku dari luar ke dalam. Suara DSAI tidak popular semasa beliau didalam UMNO.
Ulama Bertaqwa Pemimpin Sebenar
April 25, 2008Sinis sekali, sudah ramai ramai yang yang mempersenda malah menyanggah ulama. Kedudukan mereka sebagai pewaris nabi semacam tidak digeruni lagi. Malah sudah ada suara-suara yang mempertikaikan kemampuan para ulama untuk memimpin dan menyelesaikan masalah ummah. Soalnya, mengapa terjadi demikian? Adakah kerana ulama semakin berani dengan Allah, hingga orang lain hilang homat kepada mereka?
Imam Al-Ghazali membahagikan ulama kepada dua golongan; ulama akhirat dan ulama dunia. Ulama akhirat ialah mereka yang berilmu dan bertaqwa, ikhlas dalam melaksanakan amanah sebagai pewaris para Nabi, berani menentang kemungkaran dan konsisten dalam menegakkan agama Allah. Manakala ulama dunia, juga disebut ulama Suu’(jahat) ialah mereka yang berilmu tetapi menyembunyikan kebenaran, mencari habuan dunia, pangkat dan kedudukan, sanggup bersekongkol dengan kemungkaran malah sanggup menjual agama demi harta benda dan dunia. Maka ulama sebegini adalah ulama yang harus diperangi kerana kerosakan masyarakat berlaku disebabkan kejahatan mereka bersama dengan pemimpin yang zalim. Inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadith di atas.
Ulama sejati ialah mereka yang bukan sahaja berilmu, tetapi bertaqwa. Hanya mereka yang takut kepada Allah sahaja yang dii’tiraf sebagai ulama. Allah berfirman :
Sesungguhnya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-Nya ialah ulama. ( Al-Fathir:28 )
Mengapa ulama perlu terdiri daripada orang yang takut kepada Allah? Ini disebabkan hubungan ulama dengan orang ramai ibarat pengecas dengan bateri. Ulamalah yang mengalirkan “current” – rasa takut kepada Allah kepada orang lain hingga orang lain juga takutkan Allah. Oleh itu, dia mesti ada “power” yang lebih kuat. Ertinya ulama mesti orang yang lebih kuat iman dan taqwanya.
Rosaknya sesebuah masyarakat ialah kerana mereka tidak ada rasa takut kepada Allah. Dengan itu kejahatan dan kemungkaran dilakukan dengan semahu-mahunya. Puncanya ada banyak. Salah satu daripadanya ialah kerana ulama yang tidak bertaqwa kepada Allah.
Walaupun ada ulama yang merasa mampu memperbaiki masyarakat menggunakan ilmunya, tetapi selagi mereka tidak takut kepada Allah, selagi itulah mereka akan gagal meningkatkan iman masyarakat.
Sebaliknya, jika ada ulama yang takut kepada Allah, hanya dengan memandang wajahnya sahaja pun boleh mengingatkan kita kepada Allah seterusnya menginsafkan kita. Kehadirannya dengan sendiri boleh mendidik orang lain, walaupun dia belum bercakap apa-apa. Wibawanya yang tinggi mempengaruhi orang lain supaya takutkan Allah.
Ulama sekarang seharusnya mencontohi keperibadian dan taqwa ulama silam. Mereka juga perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu yang benar dan beramal dengannya, berakhlak mulia, bebas dari sebarang ikatan dan kepentingan duniawi serta berani menegakkan perkara yang hak.
Ulama sebagai pemimpin juga seumpama seorang doktor yang merawat pesakit yang bermacam ragam. Doktor yang sihat sahaja boleh melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Justeru ulama mestilah mendidik dirinya dengan serius agar dia dapat dijadikan sandaran dan teladan oleh orang lain. Riskasnya dia mesti kuat berpegang pada syariat dan berhalus dalam perkara-perkara syubhah.
Sejarah membuktikan bahawa, kerosakan sesuatu umat bermula bila ulamanya rosak. Lihatlah pada apa yang berlaku kepada golongan Bani Israel dan golongan Nasrani. Bila paderi atau rabbi mereka rosak, maka tercetuslah pelbagai gejala dan kerosakan dalam masyarakat.
Ini bermakna, dalam berusaha menangani pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat, usaha pembaikannya mesti bermula pada diri ulama itu sendiri.
Tuga ulama tidak tamat disitu. dia mesti terjun ke tengah masyarakat untuk berdakwah dan membimbing mereka dalam urusan kehidupan mereka, memperbetulkan fahaman dan pemikiran yang salah serta berusaha mengajak mereka kembali kepada Islam secara syumul.
Dia mesti berani menegur dan menasihati sesiapa sahaja, walaupun kepada mereka yang berkuasa dan berpangkat tinggi. Inilah yang dilakukan oleh ulama silam. Antaranya ialah Imam Al-Ghazali, Sufyan At-Thauri, Syah Waliyullah, Syeikh Junaid dan lain-lain lagi. Sesungguhnya, jika ulama yang bertaqwa benar-benar berperanan, mereka mampu mewujudkan sebuah kehidupan berdasarkan Al-Quran dan Sunnah sebagai jalan keluar kepada krisis dan kegawatan sosial yang berlaku hari ini.

Posted by razani
Posted by razani
Posted by razani 








