Catatan Idulfitri : Tarbiyah Diri Selepas Ramadhan

October 8, 2008

Bukan mudah untuk menjadi seperti ikan dil laut. Biar semasin manapun airnya, rasa ikan tetap manis, segar dan tidak terkesan dengan rasa masinnya air laut.

Aku terpaksa mengakui bahawa bi’ah(suasana) yang solehah(baik) itu amat penting bagiku. Aku menyedari bahawa kehidupanku seringkali terlarut dengan masinnya air laut. Ilmu yang ada adakalanya dikesampingkan. Prinsip yang ada adakalanya jua menyerah kalah. Itulah hakikat nafsu yang sentiasa menggoda untuk mengajak kepada kejahatan.

Beriltizamlah dengan Jemaah kaum muslimin dan pimpinan mereka. Ya, aku memerlukannya dalam konteks pentarbiyahan diri ini agar tidak futur dan tidak gugur di dalam perjalanan. Perjalanan dakwahku masih terlalu jauh. Aku telah melalui keperitan ini bergelumang dengan nafsu yang sering menghambat. Perjalanan rohaniku masih cacat. Penyempurnaan perjalanan ini memaksaku untuk kembali ke tempat bermula.

Ya Allah… permudahkan jalanku untuk aku membersihkan jiwaku yang masih terpalit noda-noda hitam.


DA’I DAN MURABBI : Jagalah Niatmu…..

May 28, 2008

Da’i dan murabbi adalah manusia yang berperanan mendidik manusia lain kepada kebaikan dunia dan akhirat. Mereka menjadi contoh kepada anak buahnya baik dalam ucapan, perbuatan dan perlakuan mereka. Oleh itu, mereka hendaklah sentiasa bersedia melihat diri mereka untuk dibersihkan, zahir dan batin, supaya usaha mereka yang mulia itu mendapat keberkatan dan menghasilkan natijah yang baik.

Peristiwa Khalid Ibn Walid

Dalam peperangan Yarmuk Khalid Ibn Walid berkata:

“Ini adalah hari dari hari-hari Allah. Tidak sepatutnya pada hari ini ada kebanggaan dan kezaliman. Bersihkanlah jiwa kamu kepada Allah. Tumpukanlah semua kerja kamu kepada Allah kerana ia akan menentukan masa depan kamu.”

Khalid telah berijtihad, selepas menghadapi Rom yang besar, orang mukmin perlu disatukan di bawah satu pimpinan dan arahan. Yang mana sebelum ini didapati tentera-tentera Islam dipimpin oleh beberapa ‘commander’. Pada usaha inilah beliau menyeru untuk membersihkan niat kepada Allah.

Da’i Tidak Boleh Diruntun Fitnah

Jika betul niat dan usaha kita maka In Sya Allah kita akan Berjaya. Oleh itu seorang da’i tidak boleh diruntun fitnah seperti bangga diri dan melihat diri lebih baik dari saudara-saudara yang lain dalam amalan. Tidak patut bagi seorang da’i untuk melakukan fitnah, menzalimi dan bermusuhan antara satu dengan lain. Sesiapa yang ingin mendapatkan hakikat kebenaran dan pengajaran, hendaklah ia membersihkan niatnya. Pada masa yang sama hendaklah ia membersihkan kefahaman dan amalannya.

Sekiranya ada dikalangan saf da’i yang niatnya tidak bersih maka hendaklah ia bersegera membersihkannya.

Pesanan Hasan Al Banna

Hasan Al Banna pernah berpesan yang mafhumnya, sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW telah berjaya membersihkan aqidah mereka.Usaha mereka lahir dari aqidah yang betul. Apabila dilihat, mereka itulah fikrah dan fikrah itulah mereka. Jika kamu mahu yang demikian maka berfikirlah bersungguh-sungguh. Kalau ada dikalangan kamu jiwa yang sakit, maka ubatilah. Orang ini akan menyekat nikmat dan taufik Allah kepada Jemaah.

Tersekatnya rahmat Allah merupakan gangguan pada jemaah. Gangguan ini boleh menghilangkan ‘hakikat jemaah’ yang sebenarnya.

Pesanan Ibn Qayyim

Ibn Qayyim berpesan bahawa didalam jemaah perlu ada ‘qalban wahidan’ (kesatuan hati).

Dalam hal ini kita perlu melihat kepada maslahat jamaah keseluruhannya. Firman Allah Yang bermaksud :

“Dan ( Dialah ALLAH) yang mempersatukan hati mereka. Walaupun kamu membelanjakan semua(kekayaan) yang ada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.” (Al-Anfal :63)

Demi Kejayaan, Saf Da’i Perlu Bersih

Jika terdapat hati yang sakit dalam saf jamaah maka da’i yang lain akan turut terganggu. Jamaah berkemungkinan akan rosak atau tergendala perjalanannya.

Kejayaan dalam sesuatu projek, seandainya tidak dijaga hal ini, tidak akan dapat dimanfaatkan untuk kemajuan Islam dan jamaah bahkan akan membawa kepada keretakan. Ini adalah sunnah. Oleh itu demi kebaikan Islam, sekiranya Da’i tersebut tidak dapat juga membersihkan dirinya, maka jemaah perlu dibersihkan darinya daripada berada dalam saf da’i yang hakiki.

Pesanan Abdul Qadir Jailani

Beliau berpesan:

“Ya ghulam, walaupun engkau pintar tetapi jika tanpa amal qalb, tidak akan membawa engkau maju selangkah pun dalam perjalanan. Perjalanan ini adalah perjalanan hati. Yang kita bimbang ialah panjang lidah semata-mata.

Pesanan Abdul Wahab ‘Uzam.

Beliau berpesan :

“Kalau kita perhatikan orang petah bercakap semata-mata(tanpa amal) maka semuanya bermuka jernih belaka. Tetapi kalau kita perhatikan hatinya maka tak ubah seperti bunga yang layu tidak berbau.

Pesanan Hasan Al Basri

Beliau berpesan:

“Kita dapat menilai manusia dengan amalan mereka. Ini kerana Allah tidak merestui percakapan tanpa dalil(yakni dalil dari sudut amal)”

Fiman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” ( As Shof :2-3)

Janganlah Terdapat Riya’ Dalam Jamaah

Adalah sangat tidak dikehendaki terdapatnya riya’ dalam jamaah. Dalam ‘amal Islami’, Untuk menyelamatkan dari riya’, maka jamaaah hendaklah berteraskan aqidah. Sorang sahabat, Syaddat bin Aus, telah diminta nasihat oleh para sahabat semasa beliau hendak mati, maka beliau berkata:

“Yang paling aku takuti dikalangan kamu ialah riya’ dan syahwatul kahfi (keinginan yang tersembunyi)”

Seorang Tabi’in bernama Tholahah, dalam persoalan riya’ dan syahwatul kahfi, telah berkata didalam doanya yang bermaksud :

“Ya Allah! Ampunilah aku dari sam’ah(berbuat sesuatu yang lain) dan ampunilah aku dari riya’.”

Mulakanlah Dakwah darimedan yang putih bersih. Teruskanlah kebersihannya dan janganlah ia rosak diseparuh perjalanan.

 


Persiapan Pendakwah Di Ambang Kehancuran Tahghut

May 27, 2008
( Sambungan artikel “Bersihkan Najis Dari Luar, Bukannya Dari Dalam”) 
     

Peranan Daie/Pejuang Dalam Menanti saat-saat kemenangan Islam dan kehancuran Thagut
 

..dan bersiaplah kamu dari segala kekuatan (QS. Al-Anfal: 60-61)

“put the first thing first”.., begitulah satu ungkapan yang saya lupa siapa yang mengatakannya yang membicarakan tentang keutamaan untuk menentukan sesuatu keputusan. Ini dapat dijelaskan lagi dengan penjelasan Fiqh Awlawiyat ( Yusof Al-Qardhawi) yang perlu dikuasai oleh setiap para daie dan pejuang.

Saya merumuskan dua persiapan utama perlu di janakan pada setiap individu seterusnya kepada organisasi. Pertamanya adalah yang berkaitan dengan kekuatan spiritual dan keduanya kekuatan material.

Kekuatan spiritual menuntut kita agar mempertajamkan lagi skil-skil keilmuan, skil-skil keimanan dan skil-skil kerohanian. Untuk mengungkapnya dalam bahasa yang halus, terpulanglah kepada anda untuk menentukan istilahnya samaada ianya berbentuk tauhid, usuludin, tasauf, manajemen qalbu dan banyak lagi. Tapi lebih suka untuk menggunakan bahasa atau istilah moden dengan apa yang kita kenali dengan ESQ ( emotion,spiritual quotion). Mengenali makna diri dalam konteks mencari kebenaran hidup bertuhan. P/s : kalau ada duit lebih, bolehlah hadir kursus ESQ 165 anjuran saudara Ary Ginanjar.

Keduanya ialah kekuatan material. Penting pada individu juga penting bagi jemaah/organisasi. Mantapkan keduanya. Bangunkan bidang kerjaya antum untuk menampung kehidupan sendiri dan juga berkeluarga. Jangan sampai menjadi fitnah dan penghalang kepada keterlibatan dengan medan dakwah. Juga jangan sampai menggarap kerjaya sehingga bidang dakwah dilupakan. Mungkin kita perlukan masa untuk mempelajari fasa hidup diperingkat penyesuian diantara keluarga, kerjaya dan dakwah. Carilah mentor yang terbaik untuk menyelesaikan konflik hidup anda.

Mantapkan organisasi dakwah dengan kehadiran dan keterlibatan anda walaupun sumbangan hanya sekecil paku untuk sebuah banglo yang besar. Tanpa sebatang paku, sebuah baglo tidak akan sempurna binaannya.

Jadilah jundullah yang mantap yang dapat menyumbang untuk kebangkitan Islam. Apa yang kita takuti ialah, nama kita tercicir dari arus kebangkitan Islam. Sumbangkan pemikiran, kesihatan, kegembiraan dan kekuatan kita untuk dakwah dan jihad.

Kita Merancang Dan Allah Jua Merancang

Saya merancang, anda semua merancang, UMNO juga merancang, Che Det juga merancang. Tetapi tahukah kita perancangan siapa yang lebih baik dan berstrategi. Ingatlah Allah jua merancang dan Allahlah sebaik-baik perancang.

Tetapkan iman, tingkatkan amal dan tingkatkan taqwa. Sesungguhnya segala kebatilan akan terhapus.

 


Bersihkan Najis Dari Luar, Bukannya Dari Dalam

May 27, 2008

(sambungan artikel “Che Det, Oh Che Det”)

 

 

Membersihkan Najis Dari Luar Bukannya Didalam
Isu Che Det keluar parti mengingatkan saya kepada satu slot/topik dalam usrah@tamrin satu ketika dulu bilamana moderator tamrin atau naqib usrah sering menguatkan hujah bahawa hendak mencuci najis hendaklah dari luar lubang najis, bukannya didalam lubang najis itu sendiri. Saya merasakan Che Det pernah mengikuti tamrin atau pernah berusrah. Maknanya, beliau juga menyedari bahawa proses perubahan dalam UMNO perlu bermula dari luar. Baru ada ummph!!! Paling tidak selepas ini, Pak Lah dan barisan kepimpinan UMNO akan panas punggung dan tak senang duduk kerana semua ini melibatkan maruah, kredibiliti dan survival UMNO yang entah kemana tujuan dan haluannya.
 
Tetapi bagi pandangan peribadi saya yang jahil ini, buatlah momentum dari luar macam manapun, usaha Che Det akan terus gagal, dan cita-cita UMNO akan juga terus gagal bilamana pemerkasaan bangsa Melayu tidak merujuk dan kembali kepada fitrah Islami. Membasmi kebobrokan politik dengan cara politik adalah satu usaha palsu belaka kerana segala perancangan hanya berpandukan kekuatan strategi dan logik akal, bukannya kepada kemurniaan fitrah Ilahiah.
 

Dunia politik : Jalan/alat perbersihan jiwa dalam konteks amar maaruf nahi mungkar bermasyarakat & bernegara.
Berpolitik boleh tetapi janganlah menjadi hantu atau tahi politik. Menjadi budak politik itu mulia tetapi janganlah diperbudak-budakkan oleh politik. Ambilah manhaj politik @ siyasah sebagai alat atau jalan pembersihan jiwa dari mungkar-mungkar yang berlaku didalam masyarakat dan negara dalam konteks yang murni iaitu semata-mata mencari keredhaan Allah. Semailah akhlak yang terpuji dalam mengharungi liku-liku perjuangan yang murni ini, dan jangan dicemari dengan dadah taasub dan riya’ yang hanya akan menyuburkan kemungkaran didalam jiwa-jiwa daie dan pejuang.
 
Keperluan dan hajat para daie dan para pejuang kebenaran kepada pengislahan ruhaniyah amat-amat dituntut kerana ianya menjadi nukleus kepada keutuhan sebuah perjuangan. Tarbiyah Ruhaniyah didalam konteks pembinaan jiwa rabbani didalam diri para daie perlu digarap secara lebih universal dan tidak hanya terikat kepada sistem politik atau siyasah. Setiap penyakit ada ubatnya. Setiap penyakit jua perlukan doktor pakar yang berbeza. Carilah doktor-doktor pakar kerohanian yang sebenar agar segala barah-barah mazmumah dapat dibuang sehabisnya dan diisi dengan cahaya sifat-sifat yang mahmudah. Mempakejkan pentarbiyahan rohaniyah didalam satu sistem siyasah seolah mencuci najis didalam lubang bukannya dari luar lubang. Kita kena mengakui bahawa, didalam bidang siyasah, bilangan arkitek-arkitek dan jurutera-jurutera harakiah adalah cukup ramai bilangannya tetapi arkitek-arkitek serta jurutera untuk memperbaiki dan membangunkan bidang kerohanian para duat terlalu sedikit dan amat terhad sekali.
 
Kita tidak mahu para pejuang dan para daie sibuk dengan amar maaruf nahi mungkar yang besar diluar tetapi mengabaikan amar maaruf nahi mungkar didalam jiwa dan juga dirinya. Disinilah nilai pembangunan insan yang digarap dengan nilai kerohanian yang tinggi perlu diujudkan sama ada ianya tersedia dan ada didalam sistem jemaah itu sendiri atau para daie mencari dimana-mana ia berada. Ianya bagaikan pencarian sebutir mutiara yang perlu diterokai lautan yang dalam untuk  mencapainya. 

 
(bersambung) : Persiapan Pendakwah Di Ambang Kehancuran Tahghut 

MANHAJ TARBIAH

May 27, 2008

Tarbiah atau pendidikan bertolak daripada titik pemikiran dan peradaban sesuatu bangsa, berkisar pada bagaimana manusia melihat dan menilai kehidupan ini. Lalu ianya dicurahkan secara berperingkat- peringkat agar ia dapat diterima oleh individu atau perkumpulan yang lain sama ada dalam masyarakat itu sendiri atau kelompok yang luar.

Bagi dunia barat, ‘pendidikan boleh diandaikan sebagai proses penyebaran nilai-nilai dan himpunan ilmu pengetahuan dalam sesuatu masyarakat’. . pendidikan telah memandu pemikiran manusia untuk mengenali budaya, membentuk tingkah laku mereka untuk menuju usia matang dan mengarahkan mereka menuju kepada peranan yang akan dimainkannya dalam masyarakat.

Secara ringkasnya, mana-mana masyarakat sekali pun memerlukan pendidikan sebagai satu proses pembinaan serta penerapan nilai-nilai untuk menjamin survival ideologi yang diterima pakai dalam masyarakat tersebut. Bagi masyarakat yang menganut fahaman komunisme atau sekularisme sebagai contoh, yang mana mereka percaya dan mendokong ideologi-ideologi itu pasti akan menerapkan nilai-nilai tersebut dalam pendidikan terhadap generasi mudanya. Begitulah juga bagi ideologi-ideologi lain yang berkembang dalam masyarakat dunia semenjak dahulu sehingga kini, sekiranya kita melihat sejarah perkembangan tamadun manusia.

Bagi manusia yang terpengaruh dengan keduniaan dan materialisme, pendidikan bagi mereka hanyalah terhad untuk memenuhi keperluan dan tuntutan tersebut. Akan tetapi bagi Islam matlamat pendidikan atau tarbiah jauh lebih luas untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Demikianlah halnya dengan masyarakat Islam, apabila peradaban yang meliputi kehidupan dan mempengaruhi pemikiran mereka berpaksikan keimanan kepada ALLAH  dan peranan dirinya sebagai hamba kepada Penciptanya serta hubungkaitnya dengan kejadian alam ini, maka masyarakat Islam tersebut pasti akan memastikan iman itu terus subur dalam masyarakatnya generasi demi generasi melalui lapangan pendidikan atau tarbiah. Namun begitu, tarbiah juga menjadi suatu keperluan yang mendesak terutamanya apabila berlaku kerosakan serta terhapusnya nilai-nilai keagamaan dan moral dalam masyarakat.

Dalam pembentangan kertas kerja ini, kita akan membincangkan secara ringkas berkenaan tarbiah dari perspektif Islam atau Tarbiah Islamiah; iaitu pendidikan mengikut nilai-nilai Islam. Oleh kerana skop perbincangan ini terlalu luas, kita hanya akan menumpukan kepada pengenalan tarbiah bagi melahirkan golongan solihin sebagai kesinambungan dari tajuk yang lalu iaitu manhaj dakwah yang berperanan mewujudkan golongan mukminin. Kita telah pun menyebutkan tentang ikatan iman dan amal menjadi syarat mendapat kemenangan di dunia dan akhirat berdasarkan ayat-ayat al-Quran al-Karim.

Ta’arif Tarbiah

Perkataan tarbiah dalam bahasa Melayu bermakna: pendidikan, pengasuhan . ‘Tarbiah’ diambil daripada bahasa Arab (تربية) berasal daripada kalimah (رَبَّى):

رَبَّى يُرَبِّي تَرْبِيَةً مُرَبٍّ (المُرَبِّي) مُرَبًّي
رَبَّى الأب ابنه : هذّبه ونمى قوّاه الجسمية والعقلية والخلقية
Seorang ayah mentarbiah anak lelakinya (bermaksud): mendidik dan menambahkan kekuatannya jasmani, akal dan akhlak.

Sesungguhnya mafhum tarbiah (dalam bahasa Arab) berasal daripada fi’il mu’tad (فعل معتد), bermakna ia memerlukan fa’il (فاعل) dan maf’ul (مفعول). Kedua-duanya berada dalam hubungan yang tertentu iaitu pertambahan (التنمية) dan pengasuhan (التنشئة). Seorang pendidik itu (المُرَبِّي) dan orang yang dididik (المربَّى) kedua-dua sama-sama berkongsi suka duka dan perkara-perkara tertentu.

Di antara kefahaman tarbiah dari segi istilah ialah:

1. Sesungguhnya tarbiah itu adalah bersifat praktikal yang berkembang di mana insan membesar melaluinya semenjak kanak-kanak sehingga ia matang dalam keadaan dia terbentuk bersama matlamat persekitaran dan masyarakat.

2. Bahawa tarbiah itu adalah bersifat praktikal yang mempunyai tujuan-tujuan dan matlamat-matlamatny a, ia mengutamakan akal insan, kewujudannya, rohaninya, jasmaninya, nilainya, halatujunya dan segala kemahiran serta pemikiran yang terdapat pada dirinya.

3. Bahawa tarbiah itu memerlukan perancangan yang berperingkat yang mana berjalan di dalamnya kerja-io0lkerja pendidikan dan pengajaran menurut tertib yang tersusun serta secara langsung, ia berubah dari masa ke semasa dan peringkat demi peringkat bersama perkembangan seorang remaja.

Walau bagaimanapun, dalam sirah nabawiyyah kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW menjalankan madrasah tarbiah baginda di kalangan para sahabat r.a.hum dan proses tarbiah ini berjalan tanpa mengira usia mereka. Dalam tarbiah Islamiah, seseorang individu itu akan terus merasai pendidikan sehingga ke akhir hayat.

Asas-asas Tarbiah Islamiah

Apabila seseorang insan itu telah menerima Islam dan beriman kepada ALLAH, maka dia perlu menyedari tugasnya sebagai hamba ALLAH dan tujuan dia diciptakan. Firman ALLAH SWT:
(Maksudnya) “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (az-Zariyat: 56)

Maka asas dalam tarbiah Islamiah adalah ketundukan dan kepatuhan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dengan itu dia akan berusaha mendapatkan keredaan ALLAH dengan mengerjakan ibadat kepadaNya dan menjaga hubungan sesama makhluk-makhluk ALLAH.

Manhaj Tarbiah Mengikut Al-Quran

Apabila kita menyedari bahawa kerosakan yang berlaku dalam masyarakat Islam pada hari ini menyerupai ciri-ciri jahiliah yang terdahulu pada sebahagian bentuk-bentuknya, maka kaedah dan jalan untuk memperbaiki atau melakukan islah dalam masyarakat tersebut hendaklah melalui cara yang digunakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS telah berdoa kepada ALLAH SWT agar diutuskan kepada seorang Rasul kepada umat ini. Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Wahai! TUHAN kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah: 129)

Melalui ayat di atas, Nabi Ibrahim AS berdoa kepada ALLAH agar Rasul yang akan diutuskan itu akan:
1. Membacakan kepada kaumnya ayat-ayat ALLAH.
2. Mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah).
3. Mensucikan mereka.

Bagaimanapun ALLAH SWT memberikan jawapan kepada doa tersebut dengan firmanNya: (Maksudnya) “Samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan memsucikan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” (al-Baqarah: 151)

(Maksudnya) “Dia-lah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul dari kalangan mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (As Sunnah). Dan Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata” (al-Jum’ah: 2)

Melalui ayat-ayat di atas, ALLAH menyatakan susunan yang perlu diikuti oleh Rasul yang diutuskan:
1. Membacakan kepada kaumnya ayat-ayat ALLAH.
2. Mensucikan mereka.
3. Mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah).

Sebagai mengikut susunan tersebut, keutamaan perlu diberikan kepada peringkat yang pertama di atas iaitu membacakan kepada ayat-ayat ALLAH; menjelaskan kepada mereka tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan ALLAH sehingga mereka beriman. Ini merupakan peringkat pertama yang perlu dilalui dalam proses tarbiah dan ianya telah pun kita sentuh dalam bahagian pertama iaitu dalam manhaj dakwah.

Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Sesungguhnya ALLAH telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan ALLAH dan kekuasaanNya) , dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab ALLAH (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Ali ‘Imran: 164)

Firman ALLAH SWT: (Maksudnya) “Dan tiadalah Kami mengutus engkau, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (AL-Anbiya’: 107)

ALLAH mengutuskan Rasul-Nya daripada kalangan kaum itu sendiri dengan itu ia mengetahui suasana dan keperluan untuk menjalankan seruan risalah dan melakukan tarbiah kepada kaumnya. Bagi menghadapi keperluan kaum dan bangsa yang berlainan, asas bagi melakukan islah dan mentarbiah umat ini perlulah mengikut garis panduan yang ditetapkan di dalam ayat-ayat al-Quran di atas. Rasulullah SAW diutuskan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam dan sebagai rasul yang terakhir bagi umat manusia. Maka manhaj yang digunakan oleh Rasulullah SAW adalah contoh tunggal untuk diikuti oleh seluruh umat yang mengikut seruan baginda dalam melakukan islah setelah umat tersebut berada dalam kesesatan dan kerosakan. ALLAH SWT menyatakan peringkat-peringkat tersebut secara tersusun.

Setelah kita meyakinkan manusia untuk beriman kepada ALLAH maka peringkat seterusnya ialah mendahulukan (تزكية) penyucian sebelum mengajarkan al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah) kerana kedua-dua sumber tersebut adalah suci dan tidak dapat diterima oleh seseorang hamba itu melainkan apabila hati dan iktikadnya suci