Hakikat Tenang dan Bahagia

30 May

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan dalam keadaan Ia redha kepadamu dan engkau redha kepada-Nya, masuklah engkau dalam golongan hamba-Ku, masuklah engkau ke alam syurga-Ku.” (Al Fajr : 27-30)

Wahai Anakku,

Aku memperingatkan diriku dan dirimu agar sentiasa memelihara iman dan mengawasinya sert menjauhi perkara yang boleh menyebabkan hilang kemanisannya. Iman akan memuncak cahaya makrifatnya apabila kekotoran yang diselaputi oleh hawa nafsu dapat dikikis.

Ketahuilah anakku, nafsu ammarah adalah musuh yang paling besar dalam perjalanan menuju kepada Tuhan. Ia adalah punca hati manusia tidak tenteram di bawah takdir Allah. Nafsu ini akan merungut-rungut, memberontak, berkeluh kesah dengan apa jua takdir yang menimpanya sama ada ia berbentuk nikmat atau berbentuk musibah.

Ia tidak aman dari merungut sehingga manusia yang mendengar bisikannya akan menjadi manusia yang miskin walaupun ditangannya mempunyai segala perkara yang diidamkan manusia seperti kuasa, kekayaan, keluarga dan sebagainya. Mereka yang berjaya mendidik nafsunya sehingga sampai kepada peringkat mutmainnah (nafsu yang tenang dengan kehendak Allah) sahaja akan dapat merasai kebahagiaan. Dadanya lapang, hatinya tenang, walaupun Allah mentakdirkan ia tidak memiliki apa jua sebagaimana bahagianya Nabi Isa (a.s).

Wahai Anakku,

Kebahagiaan yang hakiki adalah dalam dirimu. Layarkan dirimu ke lautan kebahagiaan dengan sanggup merempuh badai gelombang dipermulaannya. Kuatkan kapal dan besarkan ia agar tidak terasa gelombang ombak dan tiupan badai. Jika tiupan badai terlalu kuat, hanya sedikit sahaja terasa goncangannya, dan dirimu masih boleh tersenyum dan menikmati hidangan tanpa rasa takut. Nakhoda yang hebat ialah seorang yang mempersiapkan kapal dengan segala kekuatan agar dapat menghadapi segala gelora pelayaran dengan tenang. Ia juga mempunyai ilmu dalam menghadapi dan mengatasi gelombang dan taufan.

Wahai Anakku,

Didiklah nafsumu dengan ilmu, ibadah dan mujahadah yang berterusan sehingga ia menjadi nafsu yang tenang dengan tadbir Tuhan, bukannya senang dengan kehendaknya. Ia perlu ditekan dengan bersungguh-sungguh sehingga pecah segala kejahatannya dan terbukalah tadbir penipuan yang melindungi dirimu selama ini dari melihat kebenaran. Akan tersingkaplah rahsia dirimu dari alam keTuhanan, rahsia dunia yang penuh penipuan, rahsia akhirat yang penuh dengan keindahan. Dengan itu, engkau telah mencapai hakikat kebahagiaan sebagaimana hati para kekasih-Nya.

:. Hubaib

Leave a comment