Archive | June, 2008

Minyak Naik : Simtom Atau Penyakit

20 Jun

Simtom bermaksud tanda atau petanda. Di dalam masalah kesihatan, simtom simtom adalah petunjuk kepada penyakit yang sebenar. Sebagai contoh, apabila seseorang itu dikatakan demam, maka ia akan menunjukkan simtom-simtom seperti sakit kepala, sakit badan, selesema, panas badan, batuk dan sebagainya. Apa yang perlu dirawat ialah penyakit yang sebenar, bukan kepada simtom-simtom yang menjadi petunjuk kepada permasalahan sebenar.

Kelangsungan rasa marah dan tidak puas hati rakyat terhadap kenaikan harga bahan bakar minyak masih belum menampakkan keredaan. Siri himpunan protes rakyat terus-menerus berlaku dan dalam masa yang sama para pemimpin dan pihak media juga dilihat sedang panas dalam mendebatkan isu ini di layar televisyen. Paling menarik mutakhir ini ialah bagaimana kita melihat dua pihak saling cuba mengelak untuk menjadi punca yang sebenar kepada isu kenaikan ini. Pihak kerajaan seolah-olah mahu berlepas tangan dan cuba mengalihkan penyebab kepada isu ini ialah salah Petronas itu sendiri. Reaksi terhadap situasi ini, pihak Petronas telah mula mengeluarkan fakta-fakta untuk mempertahankan diri bahawa harga minyak sebenarnya bukanlah di bawah kawalannya, tetapi tertakluk sepenuhnya kepada kuasa mutlak kerajaan.

Kerajaan Malaysia vs PETRONAS

Petronas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia dengan status GLC. Dengan pemilikan saham majoriti oleh kerajaan, ini bermakna kerajaan berhak dan berkuasa diatas segala keputusan yang dibuat termasuk kenaikan harga minyak. Tidak timbul isu Petronas yang menaikkan harga minyak dengan sewenang-wenangnya.

Di dalam satu laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 22 Mei 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1974 sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, Petronas telah mencatat keuntungan sebanyak RM570 bilion.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, Petronas telah membayar sebanyak 62.8 peratus atau RM357.8 bilion dalam bentuk cukai, royalti, duti eksport dan dividen kepada Kerajaan Malaysia.

Tambahnya, sebanyak 7.2 peratus atau RM41.4 bilion adalah keuntungan yang diperuntukan kepada pemegang saham minoriti kumpulan dan perbelanjaan cukai luar negara.

“Sebanyak 30 peratus daripada keuntungannya atau RM170.8 bilion digunakan untuk pelaburan semula serta mengembangkan perniagaannya,” katanya.

Sebagai rumusan yang boleh saya buat, Petronas telah menyumbangkan 70% keuntungannya kepada kerajaan dan lebihan 30% lagi itulah yang digunakan oleh Petronas sebagai modal pusingan, menampung kos operasi termasuk gaji dan bonus kepada pekerjanya. Secara purata sejak ditubuhkan, Petronas telah membayar bonus tahunan sebanyak dua bulan gaji dan bonus yang tertinggi pernah dibayar ialah sebanyak enam bulan gaji.

70% inilah telah digunakan oleh kerajaan untuk merencana agenda pembangunan negara. Dengan keuntungan 70% ini jugalah jika kerajaan tidak menaikkan harga minyak sehingga 2.70 seliter, ia masih mampu untuk member subsidi minyak kepada kerajaan. Jika perkara yang asas ini dapat difahami dengan baik dan harmoni, maka kehidupan rakyat juga akan turut harmoni, tanpa memikirkan terus menerus kesempitan hidup akibat kenaikan harga barangan yang begitu melampau.

Saya tidak mahu mengulas tentang bagaimana sumbangan 70% ini dibelanjakan, tetapi saya ingin menimbulkan persoalan kepada anda semua untuk sama-sama mencari sebab dan bukti bagaimanakah kerajaan telah membelanjakan sumbangan keuntungan 70% Petronas ini. Adakah kerajaan begitu terdesak dan sudah kekeringan dana sehingga perkara asas kepada keperluan rakyat menjadi porak peranda.

Merujuk kembali kepada tajuk yang saya letakkan diatas, adakah kenaikan harga minyak itu adalah permasalahan sebenar, atau hanya semata-mata simtom terhadap kepincangan kerajaan dalam menguruskan dana negara. Apakah logik seseorang yang mampu menguruskan dana dan belanjawan dengan baik, tetapi masih terkial-kial untuk mencari kelebihan untung dengan melampau-lampau melainkan ianya adalah orang yang tamak haloba dalam mencari kesenangan duniawi.

 

Sembuhkan Penyakit dan Bukannya Simtom  

 

Saya bertanya kepada anda? Apakah penyakit sebenar kepada situasi kenaikan harga minyak ini. Anda boleh berikan saya pelbagai jawapan, tetapi bagi saya, penyakit yang sebenar yang perlu dirawat ialah “pentadbiran kerajaan yang menyeleweng dan korup”. Ini adalah kezaliman yang perlu di sanggah, dan inilah kerja serta tugas kita untuk menyatakan bahawa segala kemungkaran perlu dibenteras. Perjuangan kita bukan semata-mata untuk menurunkan kadar harga minyak, tetapi perjuangan kita adalah untuk menegakkan satu sistem pemerintahan yang adil dan saksama dengan perlaksanaan syariah Islamiah yang sebenar.

Tegakkan kebenaran, runtuhkan kezaliman.

Rujukan :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

http://en.wikipedia.org/wiki/Petronas

http://www.petronas.com

Advertisements

Buku:Bisikan Sirr

12 Jun

Saya diberi peluang oleh Allah untuk bertemu mata dengan sahabat lama di pejabat beliau di Petaling Jaya. Beliau bekerja sebagai pegawai di sebuah agensi pelancongan dan umrah. Pertemuan ini membuatkan saya terkenang dan menjadi rindu kepada Tokku kerana kami adalah sahabat seperguruan dan seperjuangan.

Kami bertukar-tukar perkembangan semasa dan kesempatan ini juga saya gunakan untuk mengutip buah-buah ilmu dari beliau. Saya telah dihadiahkan dengan sebuah buku kecil hasil dari nukilan Tokku sendiri yang menyentuh tentang motivasi kerohanian, tauhid dan ketuhanan. Saya meminta kepada beliau jika ada naskhah yang lebih. Jadi saya telah diamanahkan dengan 10 naskhah untuk edaran jualan. Harga sebuah hanyalah RM3.00 dan sesiapa yang berminat boleh hubungi saya melalui email ( csm_razani@yahoo.com ). Sesiapa yang berminat juga boleh dapatkan buku tersebut seperti yang dinyatakan di perenggan bawah.

Petikan Sirr 12

“Dunia bukanlah syurga. Mereka yang mencintai dunia adalah mencintai penderitaan. Penderitaan berpunca dari nafsu dan akal. Mereka yang tiada memiliki keduanya adalah bebas dari merasai apa yang berlaku. Akal menangkap peristiwa, hati menerima dan mengolahkannya. Jika hati bernafsu ammarah, segala peristiwa akan diolah oleh nafsu ammarah. Maka jiwanya tidak pernah kenal diam dari merungut, kecewa, dengki, marah, dendam dan kesedihan. Hatinya tidak akan tenang walaupun memiliki segunung emas. Nafsu ammarah adalah punca penderitaan insan. Lihatlah dunia hari ini yang penuh penderitaan. Ia adalah lontaran nafsu ammarah yang ada dalam diri ramai manusia dan pemimpin dunia. Nafsu tamak, angkuh dan gilakan kekuasaan, tiada belas kasihan adalah pendorong kepada kemusnahan alam.

Nafsu ammarah adalah sebahagian nyalaan api neraka yang ada dalam diri insan. Ia sentiasa membakar hati dan akal, maka lahirlah tekanan dalam kehidupan.”

“Apakah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara ke atasnya?” (Al-Furqan: 4)

Ringkasan Tentang Buku

Ayat-ayat di atas merupakan sebahagian petikan daripada buku ini. Ia mengandungi 28 bicara sirr (sirr = rahsia qalbu) dan beberapa sajak kerohanian. Bersaiz poket, keseluruhan 84 mukasurat (tak termasuk kulit), dijual dengan harga RM3 sahaja (+ RM1 lagi untuk kos penghantaran).

Diolah dalam bahasa jiwa yang mudah dan menyentuh hati. Sesuai dibawa ke mana-mana sebagai penawar jiwa atau dihadiahkan kepada orang lain.

Tempahan juga boleh dibuat dengan menghantar sms nama dan alamat penuh ke 0199241197 @ 0133635451. Bayaran melalui transfer credit RM4 sahaja ke no hp ini, tak perlulah ke bank. Pembelian 30 naskah ke atas, akan diberikan diskaun istimewa! Cetakan terhad.

KRISIS MINYAK : Sambungan episod kisah kezaliman…

9 Jun

Saya mengikuti perkembangan isu kenaikan harga minyak dengan penuh minat sejak ianya diumumkan minggu lepas. Saya percaya bahawa apa yang saya rasakan pada saat ini turut dikongsi oleh jutaan umat rakyat Malaysia khususnya. Tidak ketinggalan, Indonesia juga dilanda badai “tsunami minyak” yang menimbulkan reaksi bantahan rakyat jelata dari pelusuk negara tersebut. Fenomena ini saya istilahkan dengan “fenomena kejutan” kerana secara fitrahnya, apabila manusia mengalami apa-apa kejutan, secara spontan ia akan memberikan reaksi yang diluar jangkaan samaada ianya berbentuk negatif ataupun positif. Teori ini jugalah yang pernah kita pelajari didalam subjek sains semasa di sekolah menengah dahulu dengan apa yang kita namakan ianya sebagai hokum/teori refleksi (tindak balas).

Kecelaruan perasaan diantara rasa terkejut, marah dan geram cuba untuk diredakan oleh pihak kerajaan dengan pelbagai solusi yang bertemakan kepada subsidi, rebet, langkah-langkah penjimatan dan sebagainya. Tetapi pujukan-pujukan ini secara keseluruhannya masih gagal untuk meredakan suasana kemarahan hati-hati rakyat kerana dengan naiknya harga bahan bakar petrol & diesel, maka menurut bacaan ilmu ekonomi, barang-barang keperluan lain juga akan turut meningkat. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah tidak dapat dinafikan lagi kerana semua peniaga merasakan kos operasi yang semakin meningkat akan mengecilkan skala margin keuntungan mereka.

Maka rakyat jelatalah juga yang akan terus meraung dan menanggung azab yang berpenjangan kerana kuasa beli wang yang ada pada mereka semakin mengecil dan menghaus. Tidak keterlaluan kalau saya katakana kenaikan harga minyak ini telah MEROMPAK hak kehidupan golongan marhaen seperti saya kerana segala-galanya akan dinilai semula dengan nilai wang yang semakin tiada nilainya. Gejala inflasi akan terus menjadi-jadi dan dalam suasana inilah segala macam musibah, bala dan petaka boleh berlaku. Suasana huru-hara ini akan menjadi bertambah rumit kerana ukuran nilai kehidupan pada hari ini semuanya diukur dengan kekayaan wang dan kebendaan.

Penstrukturan Semula Bajet Kewangan Bulanan

Saya memperuntukkan secara tetap bajet mingguan untuk penggunaan petrol kereta sebanyak RM50.00. Ini hanyalah untuk kegunaan pergi berulang alik ke pejabat, belum lagi peruntukan sekiranya ada perjalanan jauh hujung minggu seperti balik ke kampung, kursus dsb. Sebelum kenaikan harga petrol, saya akan mendapat sebanyak lebih kurang 25 liter petrol untuk setiap RM50.00. Selepas kenaikan kepada RM2.70 seliter, ini bermakna dengan bajet RM50.00, saya hanya akan mendapat lebih kurang 18.5 liter petrol. Jika saya ingin mengekalkan penggunaan sebanyak 25 liter seminggu, ini bermakna bajet bulanan saya akan bertambah sebanyak RM70.00.

Mungkin nilai RM70.00 tidak begitu banyak dirasakan jika tidak mengambil faktor kenaikan harga-harga barangan yang lain. Tetapi, dengan melihat perkembangan mutakhir yang segala-galanya dibayangkan dengan kenaikan yang mencanak-canak seperti tarif elektrik, gula, tepung, beras dan entah apa lagi, bolehkah saya katakan jumlah RM70.00 itu tidak banyak. Itu saya istilahkan baru ibunya, yang mana anak-anak kenaikan harga barang akan terus meningkat. Secara jujurnya kalau boleh saya katakan bahawa bajet untuk sedekah mungkin tidak sebesar itu saya peruntukan. Mungkin ini juga caranya Allah mengambil balik keberkatan rezeki hamba-hambanya yang tidak menginfaqkan rezeki mereka ke jalan Allah.

Fenomena “duit pisang” ini memaksa saya untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan bulanan dan juga perancangan untuk pembelian barangan-barangan lain. Orang Kelantan/ Terengganu kata, jangan nak “tebing” juga, kerana kalau “nnebing” juga, alamat padahlah jawabnya. Wah! Dashyat betul penangan kuasa kapitalis dalam menentukan haluan ekonomi dunia, sampaikan semua pemimpin-pemimpin Islam pun terpaksa bersikap “yes bos!”

Putaran makna ekonomi yang saya pelajari satu masa dahulu iaitu bagaimana menguruskan sumber yang terhad berbanding kehendak-kehendak yang tidak terbatas tiba-tiba terlintas kembali difikiran. Terlalu banyak kehendak-kehendak yang tidak dapat saya penuhi samaada untuk saya atau keluarga saya jika diukur dengan sumber pendapatan yang terlalu terhad. Pada masa-masa sebeginilah idea-idea untuk menjalankan perniagaan menjelma kembali. Buat masa ini saya belum bersedia untuk menyambung kembali misi perniagaan yang pernah tergendala suatu masa dahulu. ( Ke macam mana saudara Arif).

Peace of Mind

Saya percaya, ramai diantara kita yang masih ligat berfikir bagaimana caranya untuk mengatasi masalah kewangan yang ketat. Belumpun sempurna untuk kita mengecapi kemewahan kewangan yang abadi dalam konteks tenang dan damai, bebas dari belenggu hutang dan ada simpanan tetap yang sempurna, sebahagian wang kita telah DIROMPAK oleh fenomena “duit pisang”. Hati dan perasaan kita terpaksa untuk menerima situasi ini dengan keadaan redha dalam keterpaksaan.

Saya bukanlah orang yang sesuai untuk membincangkan topik perancangan kewangan, tetapi paling tidak setiap kita mesti ada formula untuk keluar dari belenggu fenomena “duit pisang” ini. Saya pulangkan kembali persoalan ini kepada anda untuk melihat kepada diri masing-masing tentang perancangan kewangan yang bagaimanakah yang patut ada pada diri kita agar kehidupan “peace of mind” ini dapat dikecapi sampai bila-bila dan dimana sahaja. Tanya pada diri kita dimana letaknya nilai tenang, damai dan bahagia. Setidak-tidaknya, setiap kita perlu untuk berfikir dan bertafakur sejenak tentang perkara ini.

Munculnya Galian-Galian Bumi : Petanda Akhir Zaman

Mungkin kalau boleh saya titipkan satu hadis daripada 40 hadis akhir zaman yang dipetik dari buku yang telah di susun oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam) untuk renungan kita bersama. Insya’allah dengan berkat keinsafan kita, dapat kita mengambil iktibar dengan kejadian masa kini, mudah-mudahan ia membawa petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa. 

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah saw. sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: “Hai RasuIullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita”. Lalu Nabi saw. menjawab, “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat”.

H.R.Baihaqi

Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. sejak limabelas abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi, seperti emas, perak, timah, petrol dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu di antara petanda hampirnya hari qiamat.

Penutup

Saya merasa terpanggil untuk menyatakan disini bahawa keperluan kita kepada pemerintah negara yang adil dan bijaksana perlu di wujudkan. Paksi keadilan dan kebijaksanaan itu ialah dengan kembali kepada fitrah, iaitu melaksanakan tuntutan Syariah Islamiah secara syumul. Pelanggaran kepada nilai-nilai fitrah beragama dalam konteks pemerintahan negara akan mengakibatkan kepincangan dan kerosakan (fasad) yang amat dashyat. Apabila rintihan suara hati untuk penegakkan keadilan tidak dilaksanakan, tunggulah sehingga azab dan bala Allah sampai. Inilah juga yang disebutkan didalam satu hadis bahawa apabila harta negara hanya beredar pada pihak-pihak tertentu maka ianya akan mengundang bala dari Allah.

 
 

p/s : Berdoalah semoga semua rakyat hidup aman dan sejahtera, dan dijauhkan dari bala bencana.

Mohd Razani : KWAP, Bukit Bintang

Petrol naik 78 sen, diesel RM1

4 Jun

Harga petrol naik sebanyak 78 sen – satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70. Demikian diumumkan oleh perdana menteri petang tadi.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mengumumkan harga minyak diesel pula naik kepada RM2.58 – naik RM1 berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter.

Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini, katanya di sidang media di Putrajaya.

Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan.

Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun – rebat bagi 800 liter di bawah harga baru.

Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos.

Difahamkan rebet teresbut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Kerajaan dijangka menjimatkan RM4 bilion di bawah penstrukturan semula skim subsidi tersebut.

Jika harga petrol dijual mengikut harga penuh pasaran, ia boleh mencecah setinggi hampir RM4 seliter – 50 peratus di atas harga sekarang.

Bagaimanapun, kerajaan dijangka menuju ke arah memansuhkan terus pemberian subsidi pada masa depan.

Sejak 2004, harga petrol naik sebany7ak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik sebanyak setinggi 231 peratus [lihat carta]. 

 

REWANG : BUDAYA MUAFAKAT MASYARAKAT JAWA

3 Jun

Pulang “Rewang” Ke Kampung

 

Awal-awal lagi emak saya sudah berpesan kepada semua anak-anaknya termasuklah saya supaya pulang ke kampung pada 31/5 & 1/6 yang lepas. Ini adalah arahan kebiasaan apabila ada apa-apa majlis kenduri yang akan dibuat dikampung. Majlis kenduri kali ini ialah majlis walimah (kenduri kahwin) di rumah emak saudara saya yang merangkap kakak kepada abah, Embah Supinah. Panggilan mesra untuk beliau ialah Embah Wawok.

Pada satu-satu majlis kenduri perkahwinan seumpama ini, kami adik-beradik akan dikerah untuk balik dan berkumpul dalam satu keluarga besar untuk sama-sama membantu majlis perkahwinan tersebut. Adat inilah yang dipanggil dengan istilah REWANG menjadikan ianya satu budaya dan adat yang unik dalam masyarakat Jawa. Penglibatan dalam aktiviti rewang seolah-olah menjadi satu yang wajib dan menjadi satu kesalahan yang besar jika ada mana-mana anggota keluarga yang tidak dapat menghadirkan diri dengan alasan yang konkrit.

Saya cuba untuk menilai semula nilai-nilai adat yang baik ini kerana saya tidak mahu keterlibatan saya hanya dinilai dari aspek pandangan adat dan budaya yang baik semata-mata. Ini kerana segala-galanya bermula dengan niat yang murni. Saya menyatakan demikian kerana ada anggota keluarga yang hadir kerana seolah-olah terpaksa dan terikat kuat dengan adat. Maka saya terangkan semuanya kepada isteri saya tentang budaya ini. Maklum saja, isteri saya berasal dari Kelantan. Maka kami telah menetapkan bahawa kehadiran kami ke majlis rewang tersebut dengan misi amal, ziarah dan ukhwah.

Misi Amal, Ziarah Dan Ukhwah

Tatacara adab bergaul dengan masyarakat ada disebut dan dibincangkan di dalam kitab Sairu As-Salikin karangan Syeikh Abdul Samad Palembagi. Beliau membahaskan adab yang bagaimana untuk kita dibolehkan bergaul dengan masyarakat atau tidak. Pertamanya, tidak dibolehkan sekiranya aktiviti tersebut bercampur dengan perkara-perkara maksiat dan boleh merosakkan akhlak, iman & amal. Keduanya dibolehkan atas dasar ta’awun iaitu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan.

Maka saya melihat sebenarnya budaya rewang ini merupakan satu medan amal yang besar kerana aktiviti bergotong royong memang menjadi satu amalan masyarakat Melayu umumnya dan budaya rewang ini juga dapat dijadikan satu medan dakwah diperingkat keluarga dan sanak saudara. Maka itulah misi amal, ziarah dan ukhwah menjadi keutamaan kami sebelum mendahulukan nilai adat dan budaya setempat.

Maka, aktiviti selama dua hari tersebut telah dipenuhi dengan aktiviti yang meriah kerana masing-masing akan mencari apa sahaja kerja yang boleh dilakukan. Kalau dahulu, anak-anak muda akan berebut-rebut untuk menjadi “penanggah” yang bermaksud pelayan, tetapi fungsi tersebut kian lama kian terhakis kerana sistem kenduri sekarang lebih kepada sistem layan diri. Selain itu juga, minat belia-belia dan anak muda untuk menghadiri rewang juga kian merosot. Mungkin sebab itulah saya menyarankan agar misi amal ini di terapkan agar mereka dapat melihat semua kerja-kerja ini dengan nilai-nilai pahala amal yang soleh.

Antara lain yang menjadi tarikan anak muda ialah hiburan. Makanya, mana-mana majlis yang tiada hiburan maka kuranglah anak-anak muda yang hadir. Antara hiburan yang saya maksudkan ialah seperti kumpulan kugiran, kuda kepang, joget lambak dan sebagainya. Maka disinilah saya melihat peranan dakwah yang sesuai agar hiburan-hiburan yang melalaikan ini dapat diubah konsepnya kepada hiburan yang lebih Islamik.

Bermain-main dengan keletah adik-adik sepupu dan anak-anak buah juga menjadikan misi ukhwah amat bererti buat saya. Kami sesama sepupu berborak-borak panjang bercerita dari hal kerjaya, rumahtangga, politik dan lain-lain lagi. Bagi saya ukhwah inilah sebagai satu jambatan jangka panjang untuk misi dakwah yang lebih jauh pada masa-masa mendatang.

In Sya Allah, selepas ini saya akan mengupas tajuk-tajuk lain yang saya letakkan di bawah kategori Masyarakat Jawa sebagai satu pengenalan untuk anda mengenali budaya Masyarakat Jawa ini dan sejarah telah membuktikan bahawa adat dan budaya setempat merupakan salah satu senjata yang ampuh untuk menguasai medan dakwah setempat.

Foto-Foto Rewang