Archive | August, 2008

Ahlan Ya Ramadhan

27 Aug

Dan Allah berfirman di dalam Al-Quran :

“Orang orang yang bermujahadah* pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalan Kami”.

Dan Rasulullah telah bersabda dalam Bukhari dan Muslim, getusan hadis-hadisnya;

“Telah bertanya Jibril kepada Nabi, khabar olehmu kepadaku berkenaan ihsan, berkata Nabi, ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya maka Ia (Allah) melihat engkau”.

Rahsia di sebalik Ramadan

27 Aug

Oleh MOHD. SUKKI OTHMAN

IBADAH puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri. Namun, adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadan yang diwajibkan ini?

Jika umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu Muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadan. Mereka akan berlumba-lumba memanfaatkan Ramadan dengan sebaik mungkin, serta bulan ini akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya.

Hanya orang menghayati kelebihan Ramadan akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Puasa Ramadan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Oleh itu, sewajarnya setiap individu Muslim mengambil peluang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan ini untuk mendidik diri ke arah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripada-Nya.

Untuk memastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara khusus al-khusus seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.

Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat.

Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Dalam kegembiraan menyambut puasa Ramadan, kita seharusnya memahami dengan jelas hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna.

Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa.

Hanya orang yang berpuasa dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharap seseorang Muslim itu sentiasa prihatin dan memberi bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.

Demikian juga dari sudut kesihatan. Puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”.

Hadis ini memberi gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Para pakar perubatan bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain.

Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain.

Sesungguhnya kesan lapar dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan. Seorang pakar dari Barat menyatakan bahawa setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul dalamnya.

Dr. Hisyam Ibrahim aI-Khatib menjelaskan bahawa puasa juga memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Pengkajian ini diteruskan apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutamanya puasa Ramadan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki.

Jika ia diteruskan dengan pelaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban seterusnya Isnin dan Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun.

Kesuburan lelaki

Pakar perubatan Islam iaitu Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi membuat eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki.

Eksperimen ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan seperti mana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang. Daripada sudut kesuburan seorang wanita pula, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.

Jelasnya, puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis dan kegendutan. Daripada sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan.

Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit. Contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ dalam badan.

Dua pengkaji Islam dari Syria dalam buku mereka yang berjudul al-Tib fi al-Quran al-Karim menerangkan kepada kita akan faedah berpuasa:

  • Memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan.
  • Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan.
  • Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.

– MOHD. SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah (Bahasa Arab) di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Penyakit ‘aku hebat’

18 Aug

Ulasan Ringkas Dari Saya :

Saya membaca artikel ini daripada tabloid Harian Metro, Ahad semalam. Menghalusi artikel ini menjadikan ianya tidak lari dari tajuk perbincangan yang pertama di dalam kitab Hikam Ibnu Athaillah Al Askandari.

Dalam posting kali ini, saya tidak mahu mengulas panjang, sekadar memanjangkan buah tangan tulisan Ustaz Zaharuddin untuk renungan kita bersama. Tokku pernah berpesan bahawa sifat “aku” tidak boleh di aplikasikan dalam kehidupan kerana ianya mewarisi 2 sifat keakuan yang berbeza.

“Aku” yang pertama ialah sifat ananiyah syaitan yang mana syaitan telah mengaku tiada yang lebih hebat melainkan dia. Keengganan syaitan sujud kepada Nabi Adam adalah kerana keegoaan sifat “aku” yang menyatakan dia lebih mulia dari adam kerana adam dari tanah dan dia dari api.

“Aku” yang kedua sifat keakuan yang datang dari sifat ketuhanan. Manusia selaku hamba diharamkan untuk menggunakan gelaran “aku” seumpama ini kerana ianya merupakan syirik yang besar dan menyesatkan. Inilah yang telah berlaku kepada Firaun apabila menyebut “Akulah tuhan sekelian kamu yang paling tinggi”.

Petikan dari Harian Metro :

CABARAN dan ujian datang dalam pelbagai bentuk. Bagi yang beramal, ia datang dalam bentuk yang tersorok dan mengelirukan niat dan berasakan keagungan diri adalah pemusnah amal baik yang diusahakan.

Nabi SAW bersabda, ertinya: “Tiga pemusnah (amalan) ialah kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan berasa agung dan hebat dengan diri.” (Riwayat al-Bazzar dan at-Tabrani, Hadis Hasan: Albani)

Ada manusia yang terdetik di sudut hatinya: “Aku hebat, aku sentiasa solat berjemaah di masjid.”

Padahal dia lupa ada yang serupa dengannya, malah jauh lebih khusyuk solatnya dan hatinya tawaduk. Sedarkah kita walaupun kita sentiasa ke masjid, namun biasanya mesti ada yang berjaya mendahului kita ke masjid itu.

Mungkin sekali sekala kita yang terawal, namun dalam banyak keadaan lain kita bukan yang terawal. Malah, yang terawal sekalipun belum tentu yang paling berkualiti di sisi Allah SWT.

Ada yang terdetik: “Aku hebat kerana berani dan berjuang untuk Islam,” sedangkan dia lupa ramai lagi yang lebih lama berjuang daripadanya, malah ada yang terkorban. Jauh lebih berani daripada dirinya.

Dahsyatnya aku, sibuk betul. Lagi detikan hati: “Nampaknya sibuk betul aku dalam perjuangan dan dakwah… hebat, hampir setiap hari ada kuliah dan ceramah di sana sini.”

Ada yang berasakan diri terlalu sibuk memberi manfaat dan berdakwah kepada orang lain, sehingga mindanya terhalang daripada berasakan ada insan lain yang jauh lebih sibuk dan berjasa daripadanya.

Sedarkah kita, sejenak terdetik diri sibuk dalam dakwah, itulah detik pemusnah diri dan amal. Malah dia terlupa dek keghairahan memuji dirinya, ada ramai lagi yang lebih sibuk daripadanya dalam hal dakwah, malah lima hingga enam ceramah setiap hari.

Malah, ada yang jauh lebih sibuk daripada berceramah seperti mereka yang berjuang dalam penulisan kitab selama 12 jam sehari, lalu tersebarlah ilmunya seantero dunia.

Lupakah dirinya, ramai yang berjuang, namun bukan sekadar memberi ceramah tapi sampai ke tahap berusaha dan bekerja melaksanakan inti ceramah itu, sama ada dalam sebuah kerajaan negeri atau persekutuan.

Sudah tentu manfaatnya lebih hebat dan besar buat umat daripada sekadar berceramah atau menulis teori semata-mata.

Justeru, janganlah sumbangan kita hingga kesibukan berceramah, menulis, mengolah artikel, mesyuarat jemaah beberapa malam menjadi pemusnah amalan, sudahlah ia sedikit, malah perasaan sebegini menjadikannya semakin kurus kering di sisi Allah SWT. Inilah nasihat buat saya dan rakan pendakwah di luar sana.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk sentiasa mencari dan memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih daripada kita dalam hal keagamaan, manakala dalam hal dunia segeralah melihat mereka yang lebih kurang bernasib baik, dengannya kita akan sentiasa mensyukuri nikmat-Nya.

Sabda Nabi bermaksud: “Dua perkara yang sesiapa dapat memperolehnya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar.

“Iaitu sesiapa yang melihat mengenai agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu dia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang yang kurang daripadanya sehingga dia memuji Allah atas nikmat yang diperolehnya.” (Riwayat At-Tirmidzi, 4/665; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Namun, malang bagi ramai yang mengamalkan hadis ini tetapi secara terbalik. Dalam hal dunia, sering kita dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga nafsu keduniaan meningkat dan kelabu daripada segala hukum halal haram.

Malangnya dalam bab akhirat pula ada yang sering melihat orang yang lebih teruk daripadanya, lalu menganggap dirinya lebih baik, seperti berkata: “ala, orang lain ada yang tidak solat langsung, aku ‘at least ‘ (sekurang-kurangnya) solat la jugak walaupun tidak penuh lima waktu.”

Paling alim

Selain daripada itu, ada yang terdetik: “Akulah antara yang paling alim dan paling mendalam.” Tidak kiralah sama ada dalam kajian hadis, fiqh, kewangan dan lain-lain.

Sedangkan terleka daripada firman Allah SWT, ertinya: “…dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang lebih mengetahui.” (Yusuf: 76)

Ini yang menjadikan Khalifah Umar al-Khattab berkata: “Semua orang lebih faham daripada Umar al-Khattab.” (Tafsir Ibn Su’ud, 6/276)

Ini yang disebutkan oleh Ibn Qayyim, ertinya: “Di atas setiap orang alim itu yang Allah naikkannya dengan ilmu, ada pula mereka yang lebih mengetahui daripadanya sehingga tamat pada ilmu Allah SWT, dan yang sempurna dalam ilmu tidak lain selain Allah.” (Zad Al-Masir, 4/262)

Ya Allah, diminta jauh daripada penyakit sebegini di dalam hati kami. Perlu diketahui antara punca penyakit ini adalah pujian yang diperoleh daripada sesuatu amal yang dijalankan.

MASA

12 Aug

Masa terus berlalu dan saya masih disini, seperti ini. Seakan-akan tiada apa. Terlalu banyak ruang masa dan waktu telah memintas kedudukan saya. Saya terpaksa mengakui bahawa diri ini terlalu kerdil dan lemah untuk memintas ruang-ruang waktu yang ada. Semuanya singkat bahkan terlalu singkat. Umur pinjaman Tuhan ini juga terlalu singkat. Terlalu singkat untuk menghapus dosa-dosa silam. Terlalu singkat untuk melakukan kemaarufan berganda. Terlalu singkat untuk berbakti kepada kedua ibu bapa.

Kadangkala saya menjadi bingung. Sibuk sangatkah saya ini sehingga segalanya dirasakan singkat, seolah-olah tiada langsung ruang kesempatan. Mungkin inijugalah kebenarannya sehingga ALLAH telah menjadikan perkataan masa, waktu dan seumpamanya sebagai janji dan sumpah didalam Al Quran.

Benar juga telahan hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali yang menyatakan bahawa apa yang paling jauh dengan diri kita ialah hari-hari semalam. Jauh kita tinggalkan dan tidak akan berulang kembali. Belum sempat hari semalam disempurnakan, hari ini dan esok datang menjelma.

Kita punya agenda, misi dan bebanan yang bertimbun-timbun berbanding kesempatan masa yang ada. Kelemahan kita merancang, menyusun dan meletakkan keutamaan menyebabkan kita kalah dengan masa. Masa seringkali memintas. Akibatnya, kita seolah-olah keletihan dan tidak bermaya untuk bertarung dengan cabaran masa.

Lima Sebelum Lima

Umur hidupku semakin meningkat dan berusia. Paling tidak telah banyak asam garam telah mewarnai perjalanan hidup ini, paling tidak pun telah melewati suku abad yang pertama. Segala kebenaran ungkapan lima perkara sebelum lima perkara telah saya rasakan.

Muda sebelum tua. Saya sedar bahawa waktu telah menghukum bahawa kehidupan saya samakin tua. Walaupun belum menunjukkan tanda-tanda kulit akan mnegendur dan berkedut, fasa kehidupan ketika ini sudah saya rasakan tua. Saya cuba berkira-kira dengan pantasnya 25 tahun yang sudah berlalu, begitu jualah yang akan saya jangkakan 25 tahun yang bakal saya tempuhi.

Sihat sebelum sakit. Tanda-tanda fasa sakit telah saya rasakan. Faktor kehiudpan zaman kini dengan pemakananan dan gaya hidup moden telah memperlihatkan simtom-simtom kesakitan sebelum fasa tua menjelma. Tekanan gaya hidup dan kerjaya, menjadikan stress sebagai penyakit yang membunuh secara senyap.

Kaya sebelum miskin. Saya tidaklah kaya mahupun berharta. Sekadar memenuhi tuntutan hidup seharian ataupun sekadar cukup makan. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apa yang bertambah adalah hutang. Cabaran inilah yang saya rasakan perlu di atasi. Langsaikan segala hutang sebelum, keupayaan kudrat dan iradat pinjaman Allah ini di tarik balik.

Senang sebelum susah. Zaman susah dan zaman senang silih berganti. Ironinya, ia bagaikan satu persaingan diantara kelemahan diri dan taqdir yang telah ditentukan. Fasa ini adalah fasa beringat kerana kesusahan itu sentiasa mengekori kita sama ada ianya disebabkan kelemahan kita, ujian tuhan ataupun bala tuhan kepada manusia.

Hidup sebelum mati. Fasa ini sahaja yang belum saya rasai secara nyata. Ya Allah, singkatnya masa ini berbanding galasan dosa-dosa saya selama ini. Berkenaan mati ini, Tokku pernah berpesan. Beliau berpesan supaya mematikan diri kita sebelum mati yang sebenar tiba. Apa maksudnya wahai tuan guru? Beliau menyatakan bahawa, kita hanya boleh berjumpa dengan Allah selepas kita mati. Segala macam hijab akan dibuka selepas kita mati. Tetapi di sini Tokku menyebut bahawa kita perlu menemui Allah semasa didunia lagi. Hijab-hijab hati perlu dibersihkan supaya jaminan perjalanan ke “sana” ada jaminananya. Jangan sampai kamu mati dengan tidak membersihkan zulumat yang menyaluti qalbi insani.

Ya Allah, hanya engkaulah punca segala kekuatan. Aku hanya insan yang lemah dan kerdil yang hanya meminjam sedikit qudrat dan iradahmu untuk aku meneruskan pengembaraan mencari makna kehidupan bertuhan. Ampunilah dosa-dosaku.