Penyakit ‘aku hebat’

18 Aug

Ulasan Ringkas Dari Saya :

Saya membaca artikel ini daripada tabloid Harian Metro, Ahad semalam. Menghalusi artikel ini menjadikan ianya tidak lari dari tajuk perbincangan yang pertama di dalam kitab Hikam Ibnu Athaillah Al Askandari.

Dalam posting kali ini, saya tidak mahu mengulas panjang, sekadar memanjangkan buah tangan tulisan Ustaz Zaharuddin untuk renungan kita bersama. Tokku pernah berpesan bahawa sifat “aku” tidak boleh di aplikasikan dalam kehidupan kerana ianya mewarisi 2 sifat keakuan yang berbeza.

“Aku” yang pertama ialah sifat ananiyah syaitan yang mana syaitan telah mengaku tiada yang lebih hebat melainkan dia. Keengganan syaitan sujud kepada Nabi Adam adalah kerana keegoaan sifat “aku” yang menyatakan dia lebih mulia dari adam kerana adam dari tanah dan dia dari api.

“Aku” yang kedua sifat keakuan yang datang dari sifat ketuhanan. Manusia selaku hamba diharamkan untuk menggunakan gelaran “aku” seumpama ini kerana ianya merupakan syirik yang besar dan menyesatkan. Inilah yang telah berlaku kepada Firaun apabila menyebut “Akulah tuhan sekelian kamu yang paling tinggi”.

Petikan dari Harian Metro :

CABARAN dan ujian datang dalam pelbagai bentuk. Bagi yang beramal, ia datang dalam bentuk yang tersorok dan mengelirukan niat dan berasakan keagungan diri adalah pemusnah amal baik yang diusahakan.

Nabi SAW bersabda, ertinya: “Tiga pemusnah (amalan) ialah kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan berasa agung dan hebat dengan diri.” (Riwayat al-Bazzar dan at-Tabrani, Hadis Hasan: Albani)

Ada manusia yang terdetik di sudut hatinya: “Aku hebat, aku sentiasa solat berjemaah di masjid.”

Padahal dia lupa ada yang serupa dengannya, malah jauh lebih khusyuk solatnya dan hatinya tawaduk. Sedarkah kita walaupun kita sentiasa ke masjid, namun biasanya mesti ada yang berjaya mendahului kita ke masjid itu.

Mungkin sekali sekala kita yang terawal, namun dalam banyak keadaan lain kita bukan yang terawal. Malah, yang terawal sekalipun belum tentu yang paling berkualiti di sisi Allah SWT.

Ada yang terdetik: “Aku hebat kerana berani dan berjuang untuk Islam,” sedangkan dia lupa ramai lagi yang lebih lama berjuang daripadanya, malah ada yang terkorban. Jauh lebih berani daripada dirinya.

Dahsyatnya aku, sibuk betul. Lagi detikan hati: “Nampaknya sibuk betul aku dalam perjuangan dan dakwah… hebat, hampir setiap hari ada kuliah dan ceramah di sana sini.”

Ada yang berasakan diri terlalu sibuk memberi manfaat dan berdakwah kepada orang lain, sehingga mindanya terhalang daripada berasakan ada insan lain yang jauh lebih sibuk dan berjasa daripadanya.

Sedarkah kita, sejenak terdetik diri sibuk dalam dakwah, itulah detik pemusnah diri dan amal. Malah dia terlupa dek keghairahan memuji dirinya, ada ramai lagi yang lebih sibuk daripadanya dalam hal dakwah, malah lima hingga enam ceramah setiap hari.

Malah, ada yang jauh lebih sibuk daripada berceramah seperti mereka yang berjuang dalam penulisan kitab selama 12 jam sehari, lalu tersebarlah ilmunya seantero dunia.

Lupakah dirinya, ramai yang berjuang, namun bukan sekadar memberi ceramah tapi sampai ke tahap berusaha dan bekerja melaksanakan inti ceramah itu, sama ada dalam sebuah kerajaan negeri atau persekutuan.

Sudah tentu manfaatnya lebih hebat dan besar buat umat daripada sekadar berceramah atau menulis teori semata-mata.

Justeru, janganlah sumbangan kita hingga kesibukan berceramah, menulis, mengolah artikel, mesyuarat jemaah beberapa malam menjadi pemusnah amalan, sudahlah ia sedikit, malah perasaan sebegini menjadikannya semakin kurus kering di sisi Allah SWT. Inilah nasihat buat saya dan rakan pendakwah di luar sana.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk sentiasa mencari dan memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih daripada kita dalam hal keagamaan, manakala dalam hal dunia segeralah melihat mereka yang lebih kurang bernasib baik, dengannya kita akan sentiasa mensyukuri nikmat-Nya.

Sabda Nabi bermaksud: “Dua perkara yang sesiapa dapat memperolehnya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar.

“Iaitu sesiapa yang melihat mengenai agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu dia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang yang kurang daripadanya sehingga dia memuji Allah atas nikmat yang diperolehnya.” (Riwayat At-Tirmidzi, 4/665; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Namun, malang bagi ramai yang mengamalkan hadis ini tetapi secara terbalik. Dalam hal dunia, sering kita dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga nafsu keduniaan meningkat dan kelabu daripada segala hukum halal haram.

Malangnya dalam bab akhirat pula ada yang sering melihat orang yang lebih teruk daripadanya, lalu menganggap dirinya lebih baik, seperti berkata: “ala, orang lain ada yang tidak solat langsung, aku ‘at least ‘ (sekurang-kurangnya) solat la jugak walaupun tidak penuh lima waktu.”

Paling alim

Selain daripada itu, ada yang terdetik: “Akulah antara yang paling alim dan paling mendalam.” Tidak kiralah sama ada dalam kajian hadis, fiqh, kewangan dan lain-lain.

Sedangkan terleka daripada firman Allah SWT, ertinya: “…dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang lebih mengetahui.” (Yusuf: 76)

Ini yang menjadikan Khalifah Umar al-Khattab berkata: “Semua orang lebih faham daripada Umar al-Khattab.” (Tafsir Ibn Su’ud, 6/276)

Ini yang disebutkan oleh Ibn Qayyim, ertinya: “Di atas setiap orang alim itu yang Allah naikkannya dengan ilmu, ada pula mereka yang lebih mengetahui daripadanya sehingga tamat pada ilmu Allah SWT, dan yang sempurna dalam ilmu tidak lain selain Allah.” (Zad Al-Masir, 4/262)

Ya Allah, diminta jauh daripada penyakit sebegini di dalam hati kami. Perlu diketahui antara punca penyakit ini adalah pujian yang diperoleh daripada sesuatu amal yang dijalankan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: