Archive | October, 2008

Catatan Idul Fitri : SMS Sahabat

29 Oct

Anak Wak Rosdi umur 6 tahun meninggal dunia. Solat jenazah pukul 10.30 pagi nih di musolla Sek. Rendah Islam Sungai Kajang Batu Pahat.

sms dari Akhi Engku Hafiz

Kali terakhir saya berjumpa dengan beliau (Wak Rosdi) semasa kami sama-sama menjadi panel slot tamrin tahun akhir AGI pada tahun 2003 di Banting. Itupun period-period terakhir sebelum beliau menyatakan akan balik bekerja dan menetap di kampung halamannya, Johor. Selepas itu sehinggalah ke hari ini, saya langsung tak pernah bersua muka dan berjumpa melainkan perkhabaran dari kejauhan melalui email dan sms.

Menurut sumber sahabat yang saya terima, anak beliau meninggal disebabkan sakit/ demam kerana sakit otot di tangan. Semoga Allah mengurniakan ketabahan hati dengan ujian ini untuk Wak Rosdi sekeluarga.

Nota : AGI : Alumni Graduan Muslim

Majlis Kesyukuran Idul Fitri

21 Oct

klik gambar untuk paparan kad yang lebih jelas

Catatan Idulfitri :١٧ شوال

17 Oct

 

Senyuman & Ketawa Adalah Penawar Hidup

Suasana Oktober 1993 bagi insan seperti saya pada waktu itu adalah masa-masa yang kritikal dan mendebarkan. Waktu itu adalah musim peperiksaan PMR.

Saya telah menerima sekeping poskad “by-hand” yang dititipkan dari seorang rakan sekelas dengan kata-kata semangat seperti yang tertera di atas. الحمدلله, kata-kata tersebut telah memberikan saya satu inspirasi dan semangat kekuatan yang luar biasa bagi menghadapi saat-saat yang mendebarkan seperti PMR ini.

Kata-kata yang dititipkan adalah kata-kata yang biasa yang sesiapa sahaja boleh mengungkapkannya tetapi bagaimana ianya menjadi suatu azimat yang bermakna itulah apa yang cuba saya jelaskan. Saya dapat merasakan keihklasan, kemesraan dan ketulusan persahabatan terkandung didalam roh kata-kata itu yang diolah dalam bentuk yang menyegarkan pada sekeping poskad dengan kecerian gambar pemandangan disebaliknya dan yang lebih bermakna ianya telah dihantar pada waktu yang tepat, di waktu ketika mana saya memerlukan kekuatan semangat dan sokongan moral. Itu cerita 15 tahun dahulu. Terima kasih sekalung budi wahai sahabat.

Persahabatan Perlu Kreatif

Selain menjaga adab-adab persahabatan dan megetahui hak-hak persahabatan, kita perlu bersifat kreatif dalam apa jua suasana persahabatan agar jalinan ini tidak menjadi hambar. Persahabatan yang diumpamakan seperti cermin kepada diri kita perlu di pupuk dengan suasana yang kreatif. Mengenali seseorang sahabat tidak cukup hanya sekadar mengenalinya secara luaran atau fizikal. Cubalah juga unutk kita mengenalinya seperti dia adalah diri kita yang kedua, mengenali segalanya dari aspek zahiriah dan batiniyah.

Tiga perkara asas dalam pembinaan perhubungan seperti mana yang di gariskan oleh As Syahid Imam Hassan Al-Banna ialah :

  1. Taaruf – Berkenalan
  2. Tafahum – Memahami
  3. Takaful – Tolong menolong/Imbang mengimbangi.

Saya percaya bahawa jika ketiga-tiga asas ini dapat dihazam dan dijiwai, kita akan dapat menuai hasilnya dalam bentuk keindahan ukhuwah dan aspek taawun akan berlaku dalam suasana yang harmoni. Kekreatifan kita dalam membentuk persahabatan memerlukan sedikit pengorbanan dan cubalah sedaya upaya untuk bersifat “memberi” daripada banyak mengusulkan perkara-perkara “meminta”.

Apa Maksud Sebuah Persahabatan

Salah satu antara tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy Allah kelak ialah dua orang lelaki(sahabat) yang saling mencintai kerana Allah, bertemu dan berpisah juga kerana Allah.

Dalam satu hadis Rasulullah bersabda: “Allah telah mengutuskan malaikat kepada seorang lelaki semasa dalam perjalanan untuk menziarahi saudaranya kerana Allah”. Lalu malaikat bertanya: “Nak kemana?” Dijawab: “Aku mahu menziarah saudara ku… … ..” Tanya malaikat lagi: Untuk apa?” lelaki itu menjawab: Tiada apa-apa tujuan.” Ditanya lagi: “Apa hubungan dengan kamu?” Lalu dijawab oleh lelaki itu:” Tiada apa-apa hubungan.” Ditanya lagi: ” Apa budinya kepada kamu?” Dijawab:”Tiada apa-apa pun.” Ditanya lagi:” Apa tujuannya?” Lelaki itu menjawab:” Aku mencintainya kerana Allah.” Berkata malaikat: sesungguhnya Allah telah mengutusku kepada mu untuk memberitahu bahawa kerana kecintaanmu kepadanya maka ALLAH telah mengizinkan kamu memasuki syurgaNYA.” (Riwayat Muslim)

Perasaan sayang dan kasih terhadap orang lain bukan kerana ada tujuan lain. Bukan untuk memenuhi kepentingan peribadi diri sendiri, sebaliknya hanya mengharap keredhaan Ilahi. Hanya kerana Allah hubungan ini dieratkan.

Kesimpulan

Nenek pernah berpesan. Carilah kawan atau sahabat yang baik kerana sebahagian besar peribadi kita adalah terkesan dari pengaruh kawan dan sahabat. Kalau bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita juga akan mendapat kesan wanginya. Kalau bersahabat dengan penjual ikan, kita juga akan terkesan dengan bau ikannya (bukan mengatakan penjual ikan itu hina, sekadar kiasan).

Untuk sahabat-sahabatku sekelian. Maafkan daku kerana belum sempurna menjadi sahabatmu yang baik. Masih banyak hak-hak kalian yang belum dapat ku laksanakan dengan sempurna. Untuk kalian, sekalung penghargaan kerana telah menjadi sahabatku yang baik dunia dan akhirat.

Catatan Idulfitri : Ayat-Ayat Cinta

13 Oct

Sejujurnya, saya amat jarang membaca novel. Apalagi yang berkaitan dengan kisah-kisah cinta. Kalau adapun, pernah satu ketika dahulu saya amat meminati novel-novel siri penyiasatan seperti Hardy Boys dan yang seumpamanya. Tanpa dinafikan, minat untuk membaca novel itu tetap ada tetapi saya amat memilih untuk membacanya kerana tidak mahu terikat dengan komitment pembacaan yang konsisten.

Habiburrahman-el-Shirazy

Novel Ayat-Ayat Cinta

Pernah juga saya mendengar tentang menariknya novel ayat-ayat cinta sebelum ini. Itupun daripada sahabat-sahabat yang pernah memberikan respon terhadap pembacaan mereka. Sehinggakan ada segelintir sahabat yang telah mengi’traf novel tersebut seumpama sebuah kitab rujukan fiqh rumahtangga yang baru. Saya yang masih belum pernah membeleknya hanya berkata di dalam hati, hebat juga penangan novel ini.

Tanpa dirancang, saya telah terbeli senaskhah novel tersebut beberapa hari sebelum Idulfitri yang lepas ketika menemani zaujah membeli belah dipasar raya Tesco Shah Alam. Hasrat ingin mengetahui hasil daripada respon-respon sahabat sebelum ini menyebabkan saya telah membelinya. Novel ini juga adalah antara 3 buah buku yang perlu saya habiskan pembacaannya semasa pulang bercuti ke kampung nanti. Ianya termasuklah novel AAC, Nota Jutawan(Irfan Khairi) dan majalah i edisi September yang belum sempat dihabiskan pembacaannya.

Saya kira, memiliki novel AAC kali ini sangat bermakna kerana sejurus selepas pembeliannya, iklan di TV3 telah memaparkan untuk menayangkan filem AAC pada 10 Oktober 2008. Apakah ini satu kebetulan dan saya hanya mampu tersenyum sendirian.

Ulasan Tentang AAC

Seusai menonton filem AAC bersama zaujah, terus saya mendapatkan respon daripadanya. Dengan memek muka yang tersangkut diantara dahi berkerut dan bibir yang mencebik, saya kira saya tahu jawapannya.

Saya memberikan kredit yang tinggi terhadap watak Fahri kerana berjaya menonjolkan akhlak mahmudah yang tinggi sehingga mampu “menggoda” ramai wanita kerana kemuliaan akhlaknya.

Watak Aisha juga seharusnya mampu menjelaskan keindahan poligami di dalam Islam.

Watak Maria adalah manifestasi kepada kejayaan dakwah bi hal yang ditunjukkan oleh Fahri yang mana Maria telah mengakhirkan hayatnya dalam dakapan kalimah syahadah.

Penutup

Saya pernah berdiskusi dengan salah seorang sahabat bahawa faktor kejayaan poligami adalah natijah dari keberhasilan proses pentarbiyahan diri individu, baik suami mahupun isteri. Suami harus bersikap adil adil sedangkan isteri perlu bersifat redha, sabar dan menerima segalanya kerana Allah. Memperkatakannya memang mudah, tetapi untuk menempuhnya belum tentu lagi. Jadi, timbang-timbangkanlah diri kita dimana kedudukan kita. Adakah anda mampu untuk berpoligami ?

Antara Cinta Sejati Dan Keinginan Untuk Memiliki – Maria

Catatan Idulfitri : Tarbiyah Diri Selepas Ramadhan

8 Oct

Bukan mudah untuk menjadi seperti ikan dil laut. Biar semasin manapun airnya, rasa ikan tetap manis, segar dan tidak terkesan dengan rasa masinnya air laut.

Aku terpaksa mengakui bahawa bi’ah(suasana) yang solehah(baik) itu amat penting bagiku. Aku menyedari bahawa kehidupanku seringkali terlarut dengan masinnya air laut. Ilmu yang ada adakalanya dikesampingkan. Prinsip yang ada adakalanya jua menyerah kalah. Itulah hakikat nafsu yang sentiasa menggoda untuk mengajak kepada kejahatan.

Beriltizamlah dengan Jemaah kaum muslimin dan pimpinan mereka. Ya, aku memerlukannya dalam konteks pentarbiyahan diri ini agar tidak futur dan tidak gugur di dalam perjalanan. Perjalanan dakwahku masih terlalu jauh. Aku telah melalui keperitan ini bergelumang dengan nafsu yang sering menghambat. Perjalanan rohaniku masih cacat. Penyempurnaan perjalanan ini memaksaku untuk kembali ke tempat bermula.

Ya Allah… permudahkan jalanku untuk aku membersihkan jiwaku yang masih terpalit noda-noda hitam.

Catatan Idulfitri : Biasiswa ARB ke Mesir

8 Oct

Raya kedua kami sekeluarga di kampung dikunjungi oleh bapa saudara sebelah ayah dari KL, Paman Hamid. Memang itulah rutin setiap kali raya. Kalau dahulu kami berkampung di rumah embah(nenek), tetapi selepas kematian embah 2 tahun lalu, tradisi berkampung/berkumpul sudah tiada lagi. Rumah embah pun sudah menjadi urang tanpa penghuni. Maka rutin Hari Raya cuma tinggal berkunjung dan berziarah. Kira oklah daripada tak berkunjung langsung.

Saya bersembang dengan Azad, sepupu yang juga anak ketiga Paman Hamid. Beliau baru mendapat keputusan SPM, walaupun tak dimaklumkan dapat berapa “A” tetapi saya kira keputusannya cemerlang. Lagipun belajar di KISAS, tanggapan saya mesti cerdik budak nih.

Saya menzahirkan rasa terkejut bilamana beliau menyatakan akan ke Universiti Al-Azhar Mesir pertengahan bulan Oktober ini. Ligat kepala saya memikirkan sebab inilah kali pertama saya mendengar ada pelajar kita menyambung Ijazah ke Mesir selepas tamat SPM.

Rupa-rupantya, ini adalah program baru bilamana Al-Azhar ada menawarkan program matrikulasi selama 2 tahun dan diteruskan dengan program Ijazah Sarjana Muda selama 3 tahun. Kesemuanya 5 tahun. Beliau ke sana dengan tajaan biasiswa penuh Amanah Raya Berhad dan pengkhususan pengajian dalam bidang Syariah muamalat Islam. Seramai 20 orang terpilih untuk batch percubaan yang pertama. Pelajar yang pergi dengan tajaan ARB akan terikat dengan kontrak selama tiga tahun apabila tamat kelak. Saya mengagak bahawa tajaan seperti ini adalah khusus untuk melahirkan ramai lagi keperluan kepada pakar-pakar muamalat Islam yang semakin berkembang baik.

Apa pun, diucapkan selamat jalan dan dapat menyempurnakan pengajian dengan baik.

Klik sini untuk makluman tentang biasiswa ARB :

Catatan Idulfitri : Email Sahabat Tentang Takbir

6 Oct

Salam lebaran buat tuan/puan/sahabat handai dan adik2 semua.

Sejarah Takbir :

Suara takbir mula-mula dilaungkan ketika di dalam peperangan Ahzab atau juga dikenali peperangan Khandak / Parit. Diriwayatkan tentera2 Islam yang berkubu di dalam kota madinah telah membina parit disekeliling madinah untuk mengelak dari kehadiran tentera2 kafir musyrikin Quraisy dari memasuki dan menyerang Madinah. Idea membina parit dijelmakan oleh Salman Al-Farisi. Akibatnya tentera musyrikin tidak dapat memasuki Madinah dan diakhirnya Allah telah menurunkan ribut kencang memusnahkan mereka. Hasil dari kemenangan itulah tentera Islam melaungkan takbir yang selama ni kita sama-sama laungkan ketika menyambut Aidilfitri dan Aidiladha.

Makna Di Sebalik Lafaz Takbir :

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,

Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,

Allah Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”


“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,

Allah Maha Besar sebesar-besarnya,

Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) sebanyak-banyaknya,

Maha Suci Allah pagi dan petang.”


“Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan kafir.”


“Tiada tuhan melainkan Allah yang Esa yang benar janji-Nya, yang menolong hamba-Nya,

yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin) dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya.”


“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar, Allah yang Maha Besar dan milik Allah-lah segala puji-pujian.”

Sama-samalah kita hayati makna di atas. Ingatlah kemenangan yang kita war-war kan ketika menyambut Aidilfitri ni terlalu kecil nak dibanding dengan apa yang orang dahulu dah perbuat. Kalau yang dahulu bertakbir, bertahmid kerana meraikan kemenagan Islam ,hari ni tanya diri di mana kedudukan Islam. Di mana-mana di dunia Islam dilabelkan agama mundur, agama terrorist/pengganas, agama yang sempit dll.

Sama-samalah kita ingat mengingat antara satu sama lain. Tak salah beraya tapi kesihatan perlu dijaga. Tak salah beraya tapi berhati-hatilah di jalanraya. Tak salah beraya tapi ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Tak salah beraya tapi ingatlah siapa kita , tak lain dari HAMBA ALLAH yang tugasnya ;-

Ad-Zariyat :56. Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Al-Mukminun :115. Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Maaf Zahir dan Batin