Archive | November, 2008

Kelana HAMJIK 2008

27 Nov

HAMJIK 2008

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dilahirkan. Itu merupakan satu pepatah yang sering dituturkan apabila kita terkenang akan tempat asal kelahiran kita. Di dalam entri yang terdahulu, saya telah mengupas sedikit sebanyak berkenaan konsep kelahiran seorang manusia.

Konsep kelahiran juga boleh dibincangkan dalam konteks untuk membicarakan sesuatu pengujudan sasuatu yang tiada kepada ada. Contohnya kita sering mengungkapkan kata-kata seperti untuk melahirkan pelajar cemerlang, melahirkan generasi Al-Quran dan sebagainya.

HAMJIK telah melalui period kelahiran generasi ke 20 dan saya sendiri di lahirkan dalam generasi yang kedua. HAMJIK adalah satu kelompok duat yang dilahirkan melalui proses pentarbiyahan dan ianya menjadi satu mata rantai kepada kesinambungan kerja-kerja dakwah dari para duat terdahulu sejak zaman Rasulullah lagi.

Kelana Ke Pantai Timur

Kami berkelana ke Pantai Timur di atas tuntutan tanggungjawab dakwah, tarbiyah dan ukhwah. Kelahiran generasi baharu perlu di sambut dengan penuh rasa tanggungjawab agar mereka juga tahu erti memerlukan dan diperlukan.

Sesekali (shakali-shakali : Samhan/Zahid) berkelana seperti ini dapat menyegarkan kembali memori lama dan jalinan ukhwah menjadi semakin erat. Saya tidak pasti siapa yang mengungkap petua untuk mengenali sahabat tetapi ianya telah teraplikasi dalam kelana ini. Kami berjalan, makan dan tidur sekali. Terima kasih buat akhi Samhan yang menjadikan rumah bondanya sebagai tempat bermalam rombongan kelana kami.

Berkelanalah….

Ternyata dalam kelana ada rahsia ilmu yang tersirat. Saya teringat kata-kata seorang guru semasa di tingkatan 4 dahulu dimana beliau telah menggalakkan kami berkelana kerana ianya akan mematangkan ilmu dan kehidupan kita. Dalam kelana ada rahsia ilmu. Dalam kelana juga ada rahsia ukhwah. Dalam kelana ada rahsia kebesaran tuhan. Dalam kelana ada rahsia keinsafan. Fikir-fikirkanlah.

Foto-foto kelana

ks_dsc03145 ks_dsc03146 ks_dsc03147

ks_dsc03148 ks_dsc03149 ks_dsc03151

ks_dsc03152 ks_dsc03154 ks_dsc03156

ks_dsc03157 ks_dsc03158 ks_dsc03161

ks_dsc03162 ks_dsc03163 ks_dsc03164

ks_dsc03165 ks_dsc03167 ks_dsc03168

ks_dsc03170 ks_dsc03171 ks_dsc03172

ks_dsc03181 ks_dsc03188 ks_dsc03195

ks_dsc03206

 

 

 

Advertisements

SYEIKH ABDUL MALIK (TOK PULAU MANIS)

27 Nov

makampm

Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali Tok Pulau Manis dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060an/1650an, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri.

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah. Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050/1620-1693) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011/1616-1690), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian. Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fikah, Usuluddin dan Tasawuf disamping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya.

Beliau mendalami Fikah al-Shafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Shafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.

Syeikh Abdul Malik memilih Tarekat Shadhiliyah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Shadili (M. 656/1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau berkenalan dengan tarekat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga aliran sufi iaitu Ibnu ‘Athaillah (M. 709/1309). Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam disamping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus.

Pengajaran al-Shadhili dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan dari pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi Imam Abu al-Hassan al-Shadhili dan pendokong-pendokongnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat disamping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, diantara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Shadhili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin  dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i.

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bi Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata’ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya :

(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikina itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah au memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia……?.

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

 Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu  Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah.

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun  iaitu pada  tahun 1149H bersamaan 1736 sebagaimana yang terakam pada makamnya.

Sunnah Orang Berjuang

14 Nov

pic06334

pic19169

pic26500

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid.

Dibuang dia berkelana
dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
membara demi Allah dan Rasul-Nya.

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Senang susah silih berganti
Inilah sunah orang berjuang.

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Diiring serta air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga.

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih.

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerana kebenaran
Antara dua pasti terjadi
Tunggulah syahid atau menang.

سنة حلوة يا جميل

5 Nov

dsc02255

Tazkirah & Muhasabah Ulangtahun ke 30 Untuk Diriku Yang Hina & Faqir

Saya menerima email dengan tajuk tarikh keramat dari seorang sahabat. Tiada apa yang keramat. Cuma terkenang balik detik 30 tahun yang lepas yang mana Allah telah mengizinkan saya untuk lahir buat kali pertama ke dunia ini. Kelahiran ini adalah misi kembara ruh ke alam dunia dengan pinjaman pakaian alam ajsam/jasadi. Potensi dan rahsia roh tetap tersimpan rapi di dalam qalbi yang diliputi pakaian alam jamadat dan nabatat. Roh yang telah maarifat kepada Allah di alam lahut sebelum ddilahirkan kedunia akan mengharungi ujian keduniaan yang mempunyai tarikan graviti dari unsur nafsiah,insaniah dan syaitaniah.

Kembara menuju kelahiran yang kedua

Aqidah Islamiyah mengharamkan kita untuk mempercayai irkarnasi (kelahiran semula) seperti mana yang di percayai oleh penganut hindu dan buddha. Mereka percaya bahawa roh mereka pernah dilahirkan satu masa dahulu dan dilahirkan semula pada masa kini ataupun mereka juga percaya bahawa mereka akan dilahirkan semula pada kelahiran masa hadapan.

Aqidah Islamiyah juga mengharamkan kepercayaan tanasukh ruh seperti mana yang dipercayai oleh aliran syiah atau pun aliran-aliran tarekat yang sesat. Mereka percaya bahawa roh manusia boleh berpindah-pindah dari satu jasad ke jasad manusia yang lain serta memberi pengaruh ke atas jasad tersebut. Sebab itu di dalam bidang perubatan tradisional dan perbomohan, aktiviti “menurun” adalah syirik dan haram.

Manusia yang lahir ke dunia akan melalui satu fasa ghaflah(lupa dan lalai) terhadap penciptanya. Ghaflah ini akan mengakibatkan potensi roh yang asalnya bersifat fitrah, suci dan bersinar (maarifat) akan pudar bilamana titik-titik hitam dan noda-noda dosa membaluti qalbi (hati) dengan zulumat(kegelapan). Bermula dari point inilah setiap manusia wajib melalui proses pembersihan semula jiwa (tazkiyatun nafs) agar kesucian maarifatullah tetap terpelihara. Maka maksud sebenar kelahiran semula untuk kali yang kedua yang perlu difahami di sini ialah kelahiran kembali ruh kita dalam konteks dan erti kata bersih, suci dan bersinar dari unsur-unsur syirik, asyik dan jelira terhadap kasih sayang tuhan, sentiasa maarifatullah dan tidak ghaflah dan pandangan hati kita terus tembus ke hadrat Allah tanpa ada hijab dan penghalang ( syuhudiah ).

Hakikat Roh

Mengenang dan menhitung perkiraan tahun untuk umur adalah kerana kita terikat dengan relatif duniawi sedangkan hakikat ruh tidak begitu. Harun Yahya dalam hurainya telah menjelaskan tentang konsep keabadian masa yang mana hakikat ruh tidak mempunyai ruang, waktu dan tempat yang khusus. Tetapi oleh kerana keterikatan dengan perjanjian umur dunia, roh telah dibebankan dengan pakaian alam jisim/jasadi dan terpaksa memikul bebaban syariah untuk ditunaikan.

Ruhiyah dalam Tanggungjawab Khalifah dan Ubudiyah

Setiap manusia majib bermaarifat kepada Allah dalam konteks melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Tuntutan bermaarifat ini adalah tuntutan rukun agama yang ketiga iaitu ehsan. Rasulullah menjawab tentang ehsan apabila ditanya oleh penghulu malaikat (Jibrail) bahawa ehsan itu ialah kamu beribadah dengan melihat Allah tetapi kalau kamu tidak melihatnya yakinlah bahawa Allah melihat kamu.

Mengapa kita solat tetapi masih melakukan perkara keji dan mungkar sedangkan Allah berkata “Solat itu mencegah dari perkara keji dan mungkar”. Sebab itu penyempurnaan rukun yang 13 itu adalah penyempurnaan dari rukun iman dan islam, tetapi mungkin belum disempurnakan dari aspek penyempurnaan rukun ehsan.

Penyempurnaan Rukun Ehsan

Penyempurnaan rukun ehsan di perbahaskan dengan pelbagai kaedah kerana ianya berorientasikan sifat-sifat ruhiyah. Allah telah menggariskan dengan cantiknya panduan untuk manusia bagaimana untuk menggapai hakikat ehsan. Ianya diungkap dalam bentuk mujahadah nafsu untuk menyucikan kembali jiwa-jiwa yang ghaflah. Walau apa juapun jalan yang dipilih, pastikan ianya seperti yang di sarankan oleh Al Quran dan As sunnah.

Segala tuntutan syariah seperti solat, zakat, puasa, haji, dakwah & jihad, jika dilakukan dengan penuh keikhlasan akan menghasilkan maarifatullah yang hebat. Cuma mana persoalannya, bila soal kemanisan ehsan belum dapat di capai di dalam manhaj ibadah ini, mungkin persembahan ubudiyah kita kepada Allah masih bercampur dengan jiwa yang tercemar dan tidak sakinah. Inilah tujuan tazkiyatun nafs dalam menggapai kesempurnaan rukun ehsan.

Untuk memenuhi tuntutan ini mengikut selera harakiyah, bacalah buku2 seperti Bahtera Penyelamat(Mustafa Mashyur), Hikam Syarah Said Hawa (perbahasan tasauf tauhid untuk haraki) dan menadahlah kitab-kitab yang lain dari guru yang arif seperti kitab minhajul abidin ( Imam Al Ghazali), hikam ( Ibn Athaillah Al Askandari), penawar bagi hati dan sebagainya. Adalah lebih aula untuk mencari guru-guru yang arif sebagai mursyid untuk membimbing jalan ke manhaj ruhiyyah. Muliakan mereka dan muliakan jalan ibadah, dakwah & jihad kita dengan keberkatan ilmu ulama’-ulama’ yang mukhlis, bukan dengan manhaj yang dibuat-buat dengan bimbingan nafsu dan ammarah.

Selamat Ulangtahun Hari Lahir!