Ahlan Ya Sanah Jadidah 1430h/2009

9 Jan

Selamat tahun baru untuk semua. Rasanya masih belum terlambat untuk mengungkapkannya memandangkan peralihan tahun baru sahaja bermula. Saya sendiri menjadi agak renggang dengan dunia penulisan blog untuk masa-masa mutaakhir ini. Apa pun, saya tetap dan masih disini untuk bersama sahabat-sahabat maya sekelian bagi mengutip mutiara-mutiara hikmah yang segar dan mewangi. Biarlah sedikit tetapi istiqamah. Persoalan istiqamah adakalanya menjadikan laman blog ini agak suram, seolah-olah saya sendiri menjadi ketandusan “energy” untuk mengungkap ayat-demi ayat. Mungkin kesuraman ini perlu disirami dan dibajai dengan ruh insani yang sentiasa gagah dengan maarifat Ilahiyah yang suci.

Bumi Palestin Berdarah Kembali

Tiada apa yang lebih memilukan untuk menyambut kedatangan Muharam melainkan meratapi pembantaian secara rakus oleh regim yahudi laknatullah keatas umat Islam Palestin. Luka dan duka mereka adalah luka dan duka kita jua. Walaupun tidak atas nama keagamaan, keegoan negara Israel telah melampaui norma-norma peradaban kemanusian moden yang tidak dapat dimaafkan.

Saya hanya mampu mengeluh dan menangisi nasib mereka. Jiwa merasa tidak tenteram kerana takut nanti diakhirat kelak, persoalan ini akan dibangkitkan kepada saya kerana saya hanya mampu melihatnya tanpa mampu untuk membuat sesuatu untuk menggerak seluruh jasad ini ke medan itu bersama mereka. Ampunkanlah dosa-dosa ini tuhanku. Aku  hanya mampu berdoa dan memohon keselamatan dan kesejahteraan untuk mereka. Semoga warga Palestin akan sentiasa di rahmati dan di lindungi oleh Allah.

Azam Tahun Baru

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana telah memberikan kekuatan demi kekuatan untuk mengharungi detik-detik kehidupan yang lalu sehingga saya dapat melalui hari ini dengan seadanya. Pun begitu masih banyak lompong-lompong kecacatan perlu diperbaiki dan diperkemaskan agar kejahilan-kejahilan silam dapat diatasi.

Azam adalah niat. Dalam ilmu pengurusan moden ianya disebut sebagai objektif ataupun matlamat. Sesuatu organisasi perlu meletakkan objektif,misi dan misi untuk menggerakkan halatujunya. Tanpa ini semua, organisasi yang bergerak akan menjadi organisasi yang caca merba.

Begitu jualah diri kita ini yang perlu diorganisasikan dengan sebaiknya dengan meletakan azam/matlamat/misi/visi yang jelas agar haluan perjalanan hidup tidak tersasar dan menjadi lebih bermakna.

Tidak perlulah untuk saya menceritakan apakah azam baru saya untuk tahun kehadapan ini, tetapi cukuplah untuk saya berkongsikan dengan sahabat sekelian bahawa saya telah meletakkan dua jenis azam. Azam tersebut ialah azam untuk matlamat pembangunan fizikal/material dan juga azam untuk matlamat pembangunan spiritual/kerohanian.

Isyarat Awal Menjadi Ayah

Saya memanjatkan kesyukuran berganda untuk perkhabaran gembira ini. Zaujah saya telah disahkan mengandung untuk anak kami yang pertama. Penantian selama 3 tahun perkahwinan akhirnya termakbul jua.

Ini bermakna, saya perlu menggandakan persediaan dari segala aspek seperti kewangan, emosi dan lainnya. Apa yang lebih utama adalah factor kesihatan saya dan juga zaujah. Allah lebih mengerti dan memahami apa yang telah dan akan dikurniakan untuk hamba-hambanya. Semoga tahun 2009/1430 yang baru mendatang ini akan memberikan lebih makna dan nilai dalam pengembaraan kehidupan seterusnya.MR.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: