Kiai Muhammad Ali Qaribun ulama Selangor berjiwa besar

11 Feb

Petikan dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

TOKOH ulama Selangor yang dibicarakan ini adalah lanjutan daripada ruangan minggu lalu iaitu mengenai Kiai Muhammad Ali Qaribun. Beliau adalah ulama yang dikenali sebagai pelopor institusi pendidikan pondok di negeri Selangor. Perbicaraan mengenai tokoh ini adalah hasil kajian Ustaz Ahmad Shukri Ghazali, yang dibentangkan pada Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008 anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 22 November yang lalu, dengan judul Kiai Muhammad Ali Qaribun: Pengasas Awal Pondok di Selangor.

Pada ruangan yang lepas dibicarakan mengenai latar belakang keluarga, pendidikan dan beberapa sejarah kehidupan mengenai tokoh ini. Kesinambungan daripada itu, perkara yang akan difokuskan kali ini pula membicarakan sejarah pendirian pondok di Sijangkang serta kitab-kitab pengajian yang diajar, keperibadian dan kewafatan beliau. Mendirikan pondok di Sijangkang Setelah berada di Sijangkang sekitar 1917 atau sebelum dari itu, Kiai Muhammad Ali diberikan sebidang tanah untuk membangunkan pondok pesantren dengan bergotong-royong. Bermula dengan pengajian di masjid, akhirnya murid Kiai Muhammad Ali bertambah ramai di antaranya dari Batu Pahat, Johor yang mengikutinya semasa berhijrah ke Klang, kemudian dari Perak, Melaka, Selangor termasuk Sabak Bernam, Sungai Air Tawar dan seorang dari Kelantan sehingga dianggarkan kira-kira 100 orang dari seluruh Tanah Melayu.

 Apabila murid beliau bertambah ramai sekitar 400 orang, pondok-pondok kecil mula didirikan sekitar kawasan masjid secara bergotong-royong. Sementara adiknya Kiai Abbas (Abdullah Kahfi) sebagai pembantu. Bermula dengan tertubuhnya pondok Kiai Haji Muhammad Ali, maka muncullah pondok-pondok lain disekitar Klang. Antaranya pondok Masyhudi di Sungai Pinang, Pondok Kiai Haji Muhammad Khalil al-Jawi (1940), Pondok Kiai Hairawi (1960) dan banyak lagi. Pondok yang terawal di Selangor ialah Pondok Kiai Haji Muhammad Ali di Sijangkang dan pondok Kiai Mashudi di Sungai Pinang, Klang.

 Sejak pesantren tersebut didirikan, penuntut Kiai Haji Muhammad Ali semakin bertambah. Kebanyakan mereka tertarik dengan kewibawaan dan ketinggian ilmu Kiai Haji Muhammad Ali yang mengajar tanpa menggunakan kitab. Di antara kitab yang digunakan semasa mengajar ialah Safinatun Naja, Fathul Mu’in, Matan al-Jurumiyah, Ihya ‘Ulumuddin, Khazinah al-Asrar yang diperoleh dari Singapura dan Pulau Pinang. Kebanyakan murid lama dan berpengalaman pula akan mempelajari Tafsir al-Munir karya Imam Nawawi al-Bantani dan Tafsir Jalalain pada setiap hari Jumaat pukul 10 pagi. Di antara murid Kiai Muhammad Ali yang mahir Awamil Jurjani ialah Kiai Basri, Sijangkang, manakala di antara murid yang menghafal Matan Alfiyah adalah Kiai Yunus dan Kiai Parjo.

 Murid-murid yang layak untuk mengajar biasanya akan disemak oleh Kiai Haji Muhammad Ali, setelah itu barulah dibenarkan mengajar. Beliau juga mengajar beberapa kitab lain seperti Tafsir Yasin dan ilmu hikmah seperti Mujarobat dan sebagainya. Di antara pembantu-pembantu beliau pula ialah Kiai Bukhari dari Sungai Simon Perak, Kiai Rubai’, Kiai Mansor dan Kiai Tahir. Salah seorang murid Kiai Haji Muhammad Ali yang bijak ialah Kiai Ghafur dari Temoh, Perak, merupakan seorang murid yang mahir berbahasa Inggeris. Semasa tinggal di pondok, beliau memberi tunjuk ajar kepada murid yang kurang mahir berbahasa Inggeris.

 Murid-murid Kiai Muhammad Ali diberi kebebasan dalam berpakaian. Hal ini berbeza dengan pondok Kiai Hussin bin Kiai Abbas, yang tegas dan melarang murid-muridnya memakai topi dan seluar kerana menurutnya menyerupai orang-orang Barat. Pernah terjadi satu ketika Kiai Hussin menyarankan agar Kiai Muhammad Ali mendisiplinkan murid-muridnya untuk berpakaian, akan tetapi beliau enggan memaksa. Katanya: “Asalkan menutup aurat sudah dan orang muda jangan dipaksa.” Oleh itu, dalam berpakaian Kiai Haji Muhammad Ali memberi kebebasan untuk berpakaian, sama ada hendak memakai seluar, kain atau jubah. Keterbukaan beliau untuk berpakaian menarik ramai muda-mudi untuk mengaji agama di pondok pesantrennya.

Keperibadian Kiai Muhammad Ali Pada kebiasaannya setiap lepas solat, beliau akan masuk ke bilik suluk untuk berzikir di sebelah rumahnya dengan berjalan kaki di petak-petak batu yang berjumlah 83 biji. Jikalau ada yang mengekorinya, beliau akan berhenti dan duduk bertanya. Pada Subuh hari Jumaat beliau sentiasa membaca surah As-Sajadah dan surah Al-Insan, meskipun usianya sudah menjangkau hampir 100 tahun. Beliau menyatakan siapa yang baca dengan ikhlas pahalanya seperti mendapat malam Lailatul Qadar. Selepas itu beliau akan mengadakan syarahan agama berbahasa Jawa dan menasihati muridnya agar mendirikan solat, menuntut ilmu dengan ikhlas dan beramal.

Apabila masuk waktu Subuh, Kiai Haji Muhammad Ali akan memukul tin-tin kecil mengelilingi pondok untuk mengejutkan muridnya. Begitulah rutin harian yang dilalui oleh seorang tokoh ulama yang tidak pernah merasa jemu. Setelah itu beliau akan menunggu muridnya di pintu masuk dan mendenda murid-murid yang lambat solat Subuh.

Kiai Haji Muhammad Ali adalah seorang yang mahir ilmu falak. Semasa beliau berhijrah dari Tanah Jawa ke Tanah Melayu, beliau akan berpandukan ilmu falak untuk menentukan arah kiblat dan waktu solat, begitu juga semasa di dalam hutan dan pelayaran. Setiap kali beliau melangkah masuk ke dalam masjid, pasti tepat dengan laungan azan. Beliau pernah berpuasa terlebih dahulu daripada orang lain. Pernah satu ketika Pejabat Agama Islam Selangor mengunjungi beliau dan bertanya: “Mengapa berpuasa terlebih dahulu?” Lalu beliau menjawab: “Ini mengikut kiraan hisab, dan beliau juga berkata pada waktu sekian, jam sekian, di tempat sekian, sila lihat anak bulan Syawal. Akhirnya firasat beliau benar sehingga dicalonkan sebagai mufti, tetapi beliau menolaknya.

Keperibadian beliau pula adalah seorang yang sentiasa berjubah, bertongkat dan berserban. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan agak sedikit gempal dan kelihatan sihat. Meskipun sudah terlalu tua tetapi giginya masih elok dan matanya masih terang. Beliau banyak bermujahadah, bersuluk, berzikir, bertahajud, berpuasa mutih (berbuka dan bersahur hanya dengan sekepal nasi putih dan secawan air putih). Apabila beliau membuang air besar, najisnya sangat kecil seumpama sebutir kurma lalu dibersihkan oleh anak muridnya. Begitulah penghormatan yang diberikan oleh murid-muridnya sebagai seorang yang tinggi darjatnya, bertaraf wali Allah. Hal-hal yang sedemikian menyebabkan ramai murid beliau tidak berpindah guru lain sehinggalah pemergian beliau.

Kiai Haji Muhammad Ali mengajar hampir 50 kitab dan senarai kitab tersebut diperoleh daripada murid beliau Kiai Haji Muhammad Dahlan, berdasarkan dhabit dan catatan. Ada sebahagian kitab diajar secara berkumpulan atau beramai-ramai yang disebut orang Jawa sebagai bandungan, iaitu guru membacakan dan menjelaskan isi kitab yang dikaji manakala murid mendengarkannya. Terdapat juga sebahagian kitab hanya didengar oleh Kiai Haji Muhammad Ali melalui pembacaan muridnya. Kitab-kitab yang tertinggi hanya dikhususkan untuk murid-murid yang mahir sahaja. Pengajian asas akan diajar secara berkumpulan sehingga khatam, sementara pengajian khusus untuk murid yang ingin mendalami ilmu dengan lebih meluas.

Kewafatan Setelah hampir 40 tahun menabur bakti di negeri Selangor, Kiai Muhammad Ali ditakdirkan kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, bertarikh 28 Januari 1955 bersamaan 5 Jamadilakhir 1374H sebagaimana yang tercatat pada batu nisannya. Sebelum wafatnya, beliau berwasiat agar dimakamkan bersebelahan mimbar Masjid Sijangkang bersama isterinya. Murid-murid beliau juga memohon agar jenazahnya dimakamkan di tempat yang sama. Maka permintaan tersebut diperkenankan oleh Sultan Selangor sebagai mengenang jasanya yang gigih mendirikan pondok pesantren. Kewafatan beliau disiarkan di corong radio sebagai mengenang seorang ulama yang sangat gigih berjuang dalam agama dan mendidik anak bangsa.

2 Responses to “Kiai Muhammad Ali Qaribun ulama Selangor berjiwa besar”

  1. azmir b Assaad b Kyai amir b Kyai Ali bi Kyai Qoribun Al Muntaromi Al Jukjawi February 14, 2011 at 4:54 am #

    Semoga dengan manakib beliau…kita juga dapat menjadi insan yg sentiasa berada di landasan agama islam

  2. azman asfan al-jawi an-najaai June 20, 2011 at 3:38 am #

    sangat brmanafaat dlm usha mmbantu mengembalikn jati diri ummah melalui penghayatan kepribadian luhur ulama” alam melayu. moga kberkatan mereka melimpahi sekalian pejuang islam & pencinta akhirat khususnya d slngor de..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: