Archive | January, 2011

Mutiara Iman Edisi 976

29 Jan

HUBUNGKAN PERSAUDARAAN

عن أنس بن مالك رضى الله عنه عن النيى صلى الله عليه وسلم قال : من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليصل رحمه، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت.   –  رواه البخاري  

Dari Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mahu supaya rezekinya ditambah dan umurnya dipanjangkan, hendaklah dia menghubungkan silaturrahim diantara saudara-saudaranya. ( Riwayat Bukhari)

HURAIAN HADIS:

Hadis ini mengingatkan kita betapa pentingnya nilai persaudaraan di dalam Islam. Seperti mana firman ALLAH Taala yang bermaksud : “Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap ALLAH, supaya kamu mendapat rahmat “.

Sesungguhnya persaudaraan adalah asas bagi ajaran Islam kerana ia bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan ALLAH semata-mata tetapi hubungan baik sesama manusia dan mahkluk-mahkluk yang lain.

Terdapat pelbagai cara yang boleh kita sama-sama praktikkan untuk meningkatkan prestasi persaudaraan kita kerana ALLAH. Antaranya :

  • Menjalinkan persaudaran kerana ALLAH dan bukan kerana hal-hal lain. Contohnya harta, rupa paras, pangkat dan lain-lain.
  • Saling nasihat menasihati dan berpesan-pesan. Namun begitu, terdapat juga cara- cara yang sesuai untuk menasihati saudaranya, contohnya menasihati dengan penuh hikmah, menasihati saudaranya dalam keadaan tersembunyi yang mana tidak akan menjatuhkan aibnya dan lain-lain.
  • Mengetahui kebaikan dan kelebihan saudara kita.
  • Berterus terang: Kerana ia mampu menghilangkan perasaan-perasaan yang boleh mengeruhkan ikatan ukhuwwah dengan syarat ia dilakukan dengan adab-adabnya dan cara yang betul.

 Akhirnya, marilah kita sama-sama mempraktikkan adab-adab Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Baginda dalam menjalinkan persaudaraan. Kerana sesungguhnya persaudaraan adalah punca kekuatan umat Islam. WALLAHU’ALAM

Mutiara Iman Edisi 975

28 Jan

 

SEMPURNAKAN IMAN : JIRAN & KITA

 عن ابن عباس رضى الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ليس المؤمن الذي يشبع وجاره جائع

Dari Ibn Abbas Radiallahu ‘Anhu meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W        bersabda: “ Tidak sempurna iman seorang daripada kamu yang makan sehingga kekenyangan sedangkan jirannya kelaparan.”
( Riwayat At Thabrani )

Huraian Hadis:

  1. Hadis diatas mengingatkan kita bahawa tidak sempurna iman seseorang jika hidupnya di dalam kesenangan / kekenyangan sedangkan orang-orang yang berada di sekelilingnya hidup dalam kesusahan / kelaparan.
  2. Sebagai seorang manusia (hamba) yang beriman, kita tidak boleh mempunyai sikap mementingkan diri sendiri dalam mengecapi nikmat yang ALLAH kurniakan, sehingga melupakan orang-orang yang berada di sekeliling kita. Sesungguhnya nikmat yang ALLAH kurniakan hanyalah bersifat sementara, atau mungkin juga ia merupakan ujian ALLAH terhadap hambanya.
  3. Hadis ini juga mengajar kita cara hidup / adab-adab berjiran. Jiran yang baik adalah mereka yang mengambil tahu keadaan jirannya dalam susah atau senang. Jika jirannya memerlukan pertolongan atau bantuan, maka dialah orang pertama yang akan menghulurkannya.
  4. Fitrah semulajadi manusia yang telah ALLAH ciptakan ialah saling memerlukan antara satu sama lain.
  5. Sebagai manusia yang mengaku beriman, mestilah menjaga hubungan antara manusia dengan penciptaNya dan juga hubungan sesama manusia. Hubungan sesama manusia ini termasuklah  hubungan kita sesama jiran tetangga. Kita sebagai manusia mestilah bergaul baik sesama jiran tetangga, susah dan senang hadapi bersama. Bak kata peptah melayu “ Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”. WALLAHU’ALAM

Barang Lama Tetap Berharga

11 Jan

Alhamdulillah. Terkudrat jua jari jemari ini untuk menitipkan sesuatu di atas lembaran ini. Salam ceria di awal tahun baru 2011. Ini adalah entry saya yang pertama untuk tahun 2011 yang baru bermula.

Masa-masa begini semua orang teruja untuk berbicara soal yang baru. Azam baru, kerja baru, kereta baru dan apa-apa sahaja yang baru. Azam baru, semangat pun baru panas-panas lagi. Rasanya, itulah trend yang sama berlaku apabila bermulanya sesuatu yang baru. Apapun, semua itu adalah satu motivasi yang bagus untuk kemajuan diri sendiri. Intipatinya ialah perubahan, dan setiap perubahan mesti ada titik permulaan untuk bergerak (turning point). Tanpa turning point yang bagus, momentum akan menjadi perlahan dan perjalanan tidak akan terfokus dan terarah.

Muqaddimah saya mulakan dengan cerita yang baru-baru sahaja, sedangkan tajuknya berbunyi yang lama-lama. Agak tersenyum saya membacanya. Apa kolerasinya. Itu yang cuba saya nak sebut.

Entri ini saya ungkapkan lebih kepada untuk mencari makna diri. Makna diri bermaksud jatidiri. Sesuatu yang baru hendak dimulakan, perlulah harus ada kesinambungan dengan apa yang telah dimulakan terdahulu. Bermakna, sesuatu pembaharuan haruslah berantaian dengan cerita-cerita lama. Kalau ianya “totally” baru, itu namanya “bid’ah”.

Barang lama yang saya maksudkan disini ialah budaya dan warisan “kita” dalam menggembling ketamadunan arus kemodenan hari ini. Kalau boleh saya sambungkan tajuk entri ini, ia berbunyi

“…….ramai yang sudah lupakannya”. (Macam lirik lagu jer).

Mungkin telah sampai masanya untuk kita menggali semula khazanah lama warisan silam untuk sama-sama kita mencari sesuatu yang telah hilang ditelan arus zaman. Ianya adalah warisan keilmuwan, warisan kebudayaan, warisan keindahan hidup bertuhan.

Tujuannya hanya satu, menelusuri akar untuk mencari punca. Disitulah makna KITA.