Archive | isu semasa RSS feed for this section

“Saya Tukar Daulat Tuanku Kepada Allahu Akbar Supaya Pelafaznya Dapat Pahala” – Sultan Kelantan

1 Jul
Sultan Yang Prihatin

https://kembarasalik.files.wordpress.com/2011/07/sultan.jpg?w=280SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.

Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.

Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.

Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.

Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.

Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.

Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai ‘saya’ bukannya ‘beta’ sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:

> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan:
Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akhbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik untuk rakyat saya.


> Mengapa memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi:
Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV. Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik… Insya-Allah.


> Bilakah akan ditabal secara rasmi selaku Sultan Kelantan:
Saya fikir, bukan perkara ini tidak pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010 sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)


> Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan adinda-adinda pada masa ini:
Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada saya ialah “Alhamdulillah…”


> Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan:
Saya rasa jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat, nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir banyak sangat why? why? why?…akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua terjadi.


> Rahsia tidak kekok untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian:
Kalau kita buat sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi, sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun tidak ada hal.


> Rahsia mudah didekati oleh rakyat dan tidak kekok memberi bantuan peribadi:
Bagi saya senang sahaja sebab jika kita perhatikan sewaktu ayahanda saya menjadi Sultan, tidak ada satu yayasan dibuat atas namanya. Jadi saya fikir mengapa tidak ada (yayasan). Jadi itu yang mendorong saya untuk memberi sumbangan peribadi kepada rakyat jelata. Sebab tidak ada yayasan di atas nama ayahanda saya yang dapat saya gunakan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat (Nota: sebaik sahaja diangkat menjadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menubuhkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Sultan Kelantan yang tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat di bawah jajahannya.)


> Mengenai perancangan Yayasan Sultan Kelantan dalam membantu rakyat:
Kita anggarkan kita akan dapat mengutip antara RM5 hingga RM6 juta (untuk dana awal). Selepas itu anggota lembaga pemegang amanah akan memutuskan cara untuk menyalurkan wang tersebut. Apa yang penting ialah untuk menentukan supaya program baru untuk mengumpul dana dapat dirancang dengan baik agar wang dana itu tidak habis. Jika wang dana tidak mencukupi atau kehabisan ini bermakna hanya segelintir pihak sahaja yang berpeluang mendapat faedah daripada dana ini. Matlamat yayasan ini ialah untuk membantu seseorang itu berdikari supaya dia sendiri dapat menguruskan dirinya selepas itu tanpa bantuan lagi.


> Pandangan tentang isu pembangunan yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Kelantan:
Masalah negeri Kelantan saya nampak adalah tentang soal kekurangan infrastruktur asas dan tidak semaju seperti mana negeri Selangor atau Johor. Jadi kalau negeri-negeri ini banyak lebuhraya dan jalan baru dibina akhirnya kampung-kampung kecil dan bandar-bandar kecil yang berada di sekitar kawasan yang memiliki kemudahan infra seperti jalan raya dan sebagainya akan menerima pembangunan secara tidak langsung. Ini kerana, saya selalu ke mana-mana menggunakan kereta, jadi saya dapat tengok bagaimana kawasan yang mempunyai jalan besar dan utama akan turut membangun dan kampung itu tidak mati. Tetapi jika tidak ada jalan dan pembangunan ekonomi susah hendak sampai ke situ, ia akan mati termasuklah masyarakat kerana mereka tidak ada kesempatan untuk turut membangun kerana tiadanya komunikasi dengan dunia luar. Di Kelantan itu yang paling ketara…


> Tentang prinsip-prinsip asas dan perubahan utama yang akan dilaksanakan:
Prinsip saya ialah kita sebagai pemerintah haruslah aktif membuat tinjauan kerana hanya dengan meninjau kita akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) dan dapat ambil tindakan sewajarnya serta dapat memberi keutamaan kepada yang mana perlu mendapat perhatian terlebih dahulu.


> Tentang tahap kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial negeri Kelantan:
Seperti mana yang saya katakan di awal wawancara tadi, tidak ada bandar di dunia ini dapat bangun tanpa ada infrastruktur asas seperti jalan, hospital, lapangan terbang. Saya bukannya hendak campur politik tetapi apa yang saya maksudkan di sini ialah kalau hendak bangunkan sesuatu kita perlu buat kajian fisibiliti terlebih dahulu. Contohnya macam saya balik (dari sesuatu majlis) dengan kereta saya dapat lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk kearah pusat bandar (Kota Baru) bila ada cuti am. Mengapa sesak? Kerana jalan tidak luas atau tidak cukup tetapi kereta banyak. Mengapa kereta banyak? Sebab pada waktu cuti umum orang Kelantan di luar Kelantan balik bercuti ke Kelantan. Jadi kalau kita buat lebuh raya dan buat tol sudah pastinya kita akan dapat menjana pendapatan kerana ramai yang balik ke Kelantan menggunakan kereta. Akhirnya hasil (wang) akan berpusing dan ini akan merancakkan ekonomi termasuk hasil pendapatan rakyat. Bila ini berlaku ia akan menyenangkan hati rakyat – tidak kiralah sama ada ekonominya ke, kesejahteraan dia ke, atau kesihatan dia ke, asalkan rakyat senang. Dan apa sahaja yang akan menyenangkan rakyat kita sokong. Jadi kita tidak hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma bila kita buat perbandingan contoh Kelantan dengan Terengganu, Kelantan dengan Pahang, Kelantan dengan Johor atau Selangor, Wilayah Persekutuan, kita akan tahu jawapannya kedudukan kita di mana.


> Mengenai impak aktiviti politik kepada perpaduan rakyat:
Sistem politik ini, bagi saya selagi ia tidak bercanggah dengan agama dan kita tidak memburuk-burukkan orang lain dalam ceramah tidak mengapa. Bagaimanapun ia bergantung atas diri masing-masing. Misalnya atas pentas ceramah, kalau sesetengah orang itu mulutnya laser, akan keluar perkataan-perkataan yang tidak elok tetapi kalau orang itu jenis orang baik, tak akan keluar kata-kata buruk ke atas orang lain. Jadi kita sendiri kena tahu bila hendak tekan brek (had). Kalau saya sendiri nak cakap apa-apa pun siapa boleh halang saya cakap tapi kita sendiri kena tahu bila hendak brek. Sebagai manusia kita kena tahu had kita di mana. Jika tidak, kita akan menjadi seperti sebuah kereta api yang out of control yang akhirnya akan terbalik.

Salaf vs Khalaf

18 Nov

Mutakhir ini, perbahasan agama diantara pendapat khalaf dan salaf dilihat agak rancak berlaku. Adakalanya, perbahasan ini lebih cenderung untuk membuka pintu perbalahan diantara pengikut kedua-dua aliran tersebut.

Sejarahnya terlalu panjang untuk di kisahkan disini tentang bila dan bagaimana ianya berlaku. Sejarah ini bukan baru setahun dua sudah bermula, tetapi telah berkurun lamanya diperbahaskan.

Di alam Melayu sendiri, pertembungan dua aliran ini telah berlaku sejak zaman awal masuknya Islam ke Nusantara. Di Malaysia khususnya, ia telah berlaku sejak dizaman gemilangnya tokoh seperti Tok Kenali. Untuk maklumat lanjut, anda boleh dapatkannya dari sumber-sumber yang lain kerana keutamaan saya menulis tidak kearah pengkisahan semula sejarah.

Apa sebenarnya?

Perkara asas yang menjadi perbezaan diantara aliran khalaf dan salaf ialah dari sudut pengambilan hukum dan dalil. Bermula dari titik inilah ianya memperbahaskan tentang tauhid, fiqah dan akhlak.

Secara asasnya, aliran salaf bersumberkan terus daripada Al-Quran dan Hadis untuk mengistinbat hukum dan bagi aliran khalaf, disana ada empat sumber pengambilan hukum yang utama. Pertamanya ialah Al-Quran, keduanya ialah Hadis, ketiganya ialah Ijma’  Ulama dan yang keempat ialah Qias.Ada juga sesetengah ulama’ yang berijtihad dengan menggunakan sumber pengambilan yang kedua seperti istihsan dan masalih almursalah.

Siapa Yang Betul & Siapa Yang Salah

Semua orang tidak sukakan pergaduhan dan perbalahan. Maka disana akan keluar dalil bahawa semua orang Mukmin itu adalah bersaudara. Dalil-dalil mengenai pergaduhan dan perbalahan juga terlalu banyak untuk di huraikan satu persatu.

Jadi, mana satukah pendapat yang boleh kita ikuti. Khalaf atau salaf? Kerana ianya melibatkan cara kita berfikir dan juga cara kita melaksanakan ibadah. Kalau solat Tarawih, anda mahu 20 rakaat atau 8 rakaat.

Kalau membicara soal ketuhanan, anda mahu menerima bahawa Allah itu duduk di atas arasy atau Allah itu tidak mempunyai tempat.

Saya percaya bahawa kebanyakan orang awam seperti saya akan keliru dan pening kerana semua hujah-hujah yang dinyatakan dibawa oleh tokoh-tokoh yang diiktiraf oleh masyarakat.

Maka sebab itulah, saya tekankan kepentingannya untuk kita berguru untuk melaksanakan ibadah. Memberi nilai tambah kepada ibadah kita dengan ilmu, bukannya sekadar ikut-ikutan ataupun lebih mudah bahasanya, ibadah itu tidak lebih dari adat sahaja.

Jadi persoalan ini saya pulangkan kepada untuk untuk menilai. Dimana salahnya khalaf dan dimana tak betulnya salaf. Fikir tuan-tuan!

Jalan Penyelesaian

Saya sendiri akan tersenyum sendirian bila memikirkan jalan penyelesaiannya. Sebab saya sendiri bukanlah insan yang layak berijtihad. Jadi bagi mendepani isu ini, saya suka memakai hujah-hujah guru saya agar kita bersikap rasional .  Pemikiran yang rasional akan menutup pintu ta’asub dan kita akan dapat menilai dengan pemikiran dan hati yang tenang. Mintalah petunjuk Allah.

Atas dasar penyatuan ummah jugalah, Imam Hassan AlBanna telah menggariskan 20 usul didalam kitabnya “Usul Isyrin” bagaimana untuk kita berhadapan dengan situasi ini. Beliau telah berusaha untuk menyatukan kedua-dua golongan ini dan memusatkan fokus umat Islam kepada satu iaitu, Jihad melawan kuffar.

Perbalahan ini telah dan akan merugikan masa depan umat Islam itu sendiri. Kita akan terjebak dengan kancah perdebatan yang melekakan. Ianya tidak akan berkesudahan.

Rumusan

Sudah sampai masanya untuk kita meninggalkan titik-titik perbezaan dan mencari serta menyusun titik-titik persamaan. Tiada ruginya untuk berlapang dada. Kita fokuskan fikiran dan gerk kerja kepada perkara yang lebih aula.

Kepada para alim ulama, para imam mujtahid serta mufti-mufti yang digaji, duduklah semeja dan leraikan permusuhan.

Kepada kita semua, beramallah selagi mana anda meyakini bahawa amalan tersebut mempunyai hujah yang kukuh serta tidak melanggar syara’.

Wallahua’lam.

PPSPPA : Bangsar (18 Nov 2009)

Kontrak Sosial : Bahagian 1

14 Jul

Suasana mutakhir politik tanahair diwarnai dengan pelbagai senario isu yang berbeza-beza dan bercabang-cabang. Bermula dari rentetan cerita Pilihanraya Umum Malaysia ke 12 yang lepas, satu persatu insiden yang agak panas membakar emosi dan ketenteraman hidup bermasyarakat.

Kontrak social adalah merupakan salah satu isu yang agak “panas” juga di perdebatkan pada masa ini. Secara keseluruhannya, isu kontrak social akan menyentuh persoalan ketuanan Bangsa Melayu sebagai bangsa asal yang membentuk kerajaan sebelum tertubuhnya Negara Malaysia. Hak dan kedaulatan yang ketuanan Melayu yang dilihat semakin terhakis dan rapuh cuba diuji dengan tangan-tangan nakal bangsa lain yang meminta hak kesamarataan sebagai warnagenara Malaysia yang sah.

Sudah semestinya, isu ini telah menjadikan sesiapa sahaja yang mengaku sebagai orang Melayu dan pihak-pihak yang memperjuangkan Melayu akan merasa tidak senang duduk kerana, ketuanan mereka sedang di pertikaikan seolah-olah ada bangsa lain yang cuba untuk memintas kedudukan dan keistimemewaan yang sedang dinikmati. Maka, apabila satu persatu tuntutan dikemukakan, pertahanan yang paling selesa ketika ini ialah dengan menjadikan Perjanjian Kontrak Sosial yang asal sabagai kubu rujukan.

“Jangan cuba mempersoalakan Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh generasi datuk nenek kita sebelum ini”. Itu adalah antara kata-kata yang sering di dengari sebagai hujah bertahan.

Persoalannya, sejauh mana dan selama manakah Kontrak Sosial yang ada ini mampu dipertahankan. Tuntutan – tuntutan semasa seolah-olah member mesej bahawa sudah sampai masanya Perjanjian Kontrak Sosial ini dibuka dan di perbaharui semula dengan Klaus-klaus yang baharu yang bersesuian dengan kehendak peredaran zaman.

Terbaru, satu forum anjuran Majlis Peguam Malaysia mengenai kontrak social ini telah menimbulkan keresahan masyarakat awam, bilamana pertikaian telah dilakukan atas kredibiliti organisasi tersebut dari segi hak menganjurkannya. Polemik inilah seterusnya telah mengundang peperangan terbuka di antara penganjur dan juga media massa terutamanya Utusan Malaysia.

Penulisan saya hari ini hanya cuba memberikan sedikit gambaran awal apa yang dikatakan Kontrak Sosial, kerana saya yakin ramai diantara kita termasuklah saya kurang arif dengan perkara ini kerana ianya bersifat sejarah lampau yang perlu di pelajari semula. Jika tidak kerana isu yang berlaku, saya yakin ramai generasi baru pada hari ini tidak akan menyelak semula coretan sejarah lalu. Setidak-tidaknya, dengan sedikit analsis ini, kita tahu untuk menilai isu semasa yang sedang melanda sebelum kita menetapkan apakah tindakan yang perlu diambil selepas ini.

Definisi Kontrak Sosial (wikipedia)                   

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.

Syarat – syarat Kontrak

Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: “Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.” [1]

Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.

Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.

Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar “meritokrasi“. Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.

Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.

Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.

Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa “…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagai mereka yang mencintai dan berasi bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.” [2]

Rujukan :