Archive | Motivasi RSS feed for this section

Dari Kegelapan Kepada Cahaya

24 May

…Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. (Al-Maaidah, 15-16)

Diutuskan Rasullullah S.A.W adalah sebagai pembawa rahmat ke sekelian alam. Cahaya nubuwwahnya menerangi segenap lapisan bumi dan langit. Satu rahmat yang maha agung telah diturunkan untuk menerangi semula hati-hati yang mati dengan cahaya keimanan.

Dalam apa jua senario kegelapan, manusia akan sedaya upaya mencari cahaya sebagai petunjuk. Ibarat sebuah kapal yang belayar dilautan, susunan cahaya bintang dilangit dijadikan panduan arah pelayaran.

Eropah telah melangkaui zaman gelapnya dengan kecerahan tamadun ilmu. Tamadun-tamadun zindiq juga telah banyak yang diruntuhkan dengan kekuasaan cahaya kebenaran.

Seringkali aku tersilap dalam memilih cahaya. Aku menyangka telah memilih jalur cahaya yang benar sedangkan adakalanya cahaya-cahaya itu menipu.

Umpama menentukan masuknya waktu subuh di  pagi hari, hadis nabi ada menyebutkan dengan jelasnya tentang dua benang hitam dan benang putih. Benang putih adalah jalur cahaya yang betul untuk masunya waktu subuh sedangkan benang hitam (cahaya hitam) adalah cahaya palsu ciptaan syaitan untuk mengelirukan manusia.

Aku menyangka bahawa kemewahan dunia itu adalah cahaya petunjuk yang mengeluarkan manusia dari kegelapan dan kesusahan hidup. Buktinya, setelah kekayaan dikecapipun, hati masih teraba-raba dan sentiasa merasa gelisah.

Aku merasa diriku telah cukup dan pandai dalam memilih arah tujuan hidupku, sedangkan hakikatnya aku hanya menentukan halatuju hidupku dengan pedoman nafsu.

Sebenarnya semua faktor cahaya ada dikelilingku,  tetapi keegoaanku seringkali mengabaikan agen-agen cahaya yang ada. Sebenarnya, halatuju hidupkulah yang menyebabkan hati ini menjadi hitam dan dipenuhi dengan zulumat. Aku sendiri yang telah membina tembok penghalang untuk semua cahaya itu dapat menembusi kesanubariku. Lebih malang lagi adakalanya aku sendiri yang menjauhi sumber-sumber cahaya.

Aku merasakan mataku cerah dan bersinar, dapat menikmati semua keindahan ciptaan tuhan, sedangkan sebenarnya qalbi ini masih gelap dan kotor dengan kekotoran rohaniyah.

Aku sedar bahawa semua kekotoran dan kegelapan ini bukanlah bekalan yang sebenar untuk menuju ke alam sana. Semuany perlu disucikan dan dikembalikan kepada fitrah. Tetapi idea-idea itu kadangkala hanya menjadi satu angan-angan indah…dan aku tetap dengan egoku.

Aku Yang Kepenatan

17 May

Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini,iaitu:wanita-wanita,anak-pinak,harta yang banyak berupa emas,perak,kuda pilihan,binatang ternakan dan sawah ladang.Itulah kesenangan di dunia,dan sesungguhnya,apa yang ada di sisi ALLAH itu adalah lebih baik.” (ali imran:3:15)”

Seloka kehidupan dunia menjadikan manusia diantara golongan yang kepenatan. Mahkluk lain juga mungkin akan merasa tempias kepenatan ini angkara tangan-tangan manusia juga. Mungkin saya juga adalah seorang yang merasa kepenatan kerana menghambat kepenatan duniawi.

Bagi saya kepenatan ini sama sahaja samaada kita tertinggal di belakang atau terlalu jauh meninggalkan yang lain.  Samaada kita adalah golongan yang nasibnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang amakan petang, atau… kita berada dalam golongan elit hartawan dan jutawan. Penatnya sama sahaja selagi mana mahkluk yang bernama nafsu tetap merajai jiwa dan raga manusia.

Si miskin walaupun tidak mempunyai harta, tetapi berangan-angan untuk kaya. Nafsunya masih mengaum untuk semua keseronokan dunia. Hanya hambatan harta dan wang menyebabkan ianya mengais dan mengemis. Jikalah ia diberi peluang kekayaan, belum tentu “kezuhudan” dan kesederhaan itu akan dipertahankan. Walaupun miskin, nafsunya masih belum mampu ditundukkan. Ini terbukti dengan banyak kes apabila manusia itu tiba-tiba sahaja diberi kekayaan, maka makin suburlah sifat sombong dan bongkaknya.

Golongan yang kaya dan berharta ataupun agak berharta  pula akan terus kepenatan diulik dengan himpunan harta duniawi saban hari. Kerakusan nafsu yang tidak pernah merasa cukup menyebabkan ianya terus menjadi hamba nafsu.

Hukum tajrid kehidupan menyaksikan siapa yang kuat dia yang menang. Siapa cepat dia dapat.

Terpulang kepada kita bagaimana kita mengambil kehidupan dunia. Mengambil kesenangan dunia tiada salahnya, cuma ianya menjadi soalan untuk diri sendiri samaada ianya keperluan atau untuk kelebihan. Tidak salah juga untuk mencari kelebihan asalakan ianya bersih dan diniatkan kerana Allah semata-mata, bukan kesombongan dan memenuhi selera nafsu semata-mata.

Sabar dan syukur dalam menempuh mehnah hidup. Apa yang penting, tahu kemana halatuju hidup yang sebenar.

سنة حلوة : Kematian dan Kelahiran

5 Nov

Setiap Yang Bernyawa Pasti Akan Menemui Ajal

Cukuplah mati itu sebagai satu peringatan bagi yang hidup. Nabi juga berpesan bahawa sebijak-bijak manusia ialah mereka yang sentiasa mengingati mati.

Ada apa dengan kematian.

Kematian bukanlah satu nokhtah kehidupan, bahkan sebenarnya ia adalah satu permulaan kehidupan abadi. Hidup yang selama-lamanya tanapa ada kematian lagi sesudah itu.

Kematian adalah titik permulaan soal bicara antara manusia dan tuhan. Soal perhitungan antara amal baik dan amal buruk. Soal perhitungan yang juga dinamakan “Yaumul Mizan” untuk menimbang seberat mana dosa dan pahala. Soal penentuan haluan sama ada ke syurga atau neraka.

Ada apa dengan kehidupan dunia

Ingatlah! Kehidupan dunia adalah ujian semata-mata.  Ianya bukan matlamat. Ia bukan segala-galanya. Ianya adalah medan ujian bagi ruh. Ruh yang lalai perlu diingatkan. Ruh perlu dibimbing untuk kembali kepada fitrah.

Peringatan untuk diriku… ambillah dunia sekadarnya. Kejarlah dunia untuk kepentingan akhiratmu. Jangan tertipu dengan pujukan dunia yang sia-sia. Tinggalkan perkara yang bukan keutamaan. Sudah tiba masanya untuk dirimu menghitung segala-galanya. Sebelum sampai hari perhitungan yang dijanjikan.

Kematian itu terlalu hampir

Sedangkan yang bayi juga boleh mati, inikan pula pada umurku yang mencecah 31 tahun. Apa mungkin mencecah hingga ke angka 100. Itu semua ketentuan Allah. Sudah tertulis sejak azali. Itu bukan urusanku.

Fokus urusanmu hanyalah pada tanggungjawab dirimu pada tuhanmu, dirimu, keluargamu, masyarakatmu dan juga negaramu. Pimpinlah dirimu untuk mengikut jalan yang hanif.

Di depanmu sudah terbentang dua jalan yang jelas dan nyata. Imma kafuro wa imma syakura. Sama ada kau memilih jalan keingkaran atau kau memilih jalan kesyukuran.

Pilihlah untuk dirimu. Ianya adalh pilihanmu sendiri. Mintalah hidayah Allah sebagai petunjuk disepanjang perjalanan.

Untuk Anakanda Muhammad Farhi

Farhi1

Usiamu baru mencecah 3 bulan umur dunia. Kembaramu di dunia ini adalah kesinambungan kehidupanmu yang lalu dialam ruh. Perjanjian antara dirimu dan tuhanmu hendaklah kau genggan erat. Seerat genggaman tanganmu semasa kau dilahirkan oleh ibumu.

Kenalilah dunia barumu dengan kesabaran dan ketabahan. Pelajarilah ilmu-ilmu keduniaan dalam rangka untuk mencari keredhaan Tuhanmu. Jangan jadikan kehidupan duniamu kelak sebagai tipudaya.

Selamat menempuh kehidupan.

Sila baca juga entri ini