Archive | Ramadhan RSS feed for this section

Catatan Idulfitri : Email Sahabat Tentang Takbir

6 Oct

Salam lebaran buat tuan/puan/sahabat handai dan adik2 semua.

Sejarah Takbir :

Suara takbir mula-mula dilaungkan ketika di dalam peperangan Ahzab atau juga dikenali peperangan Khandak / Parit. Diriwayatkan tentera2 Islam yang berkubu di dalam kota madinah telah membina parit disekeliling madinah untuk mengelak dari kehadiran tentera2 kafir musyrikin Quraisy dari memasuki dan menyerang Madinah. Idea membina parit dijelmakan oleh Salman Al-Farisi. Akibatnya tentera musyrikin tidak dapat memasuki Madinah dan diakhirnya Allah telah menurunkan ribut kencang memusnahkan mereka. Hasil dari kemenangan itulah tentera Islam melaungkan takbir yang selama ni kita sama-sama laungkan ketika menyambut Aidilfitri dan Aidiladha.

Makna Di Sebalik Lafaz Takbir :

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,

Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,

Allah Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”


“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,

Allah Maha Besar sebesar-besarnya,

Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) sebanyak-banyaknya,

Maha Suci Allah pagi dan petang.”


“Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan kafir.”


“Tiada tuhan melainkan Allah yang Esa yang benar janji-Nya, yang menolong hamba-Nya,

yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin) dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya.”


“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar, Allah yang Maha Besar dan milik Allah-lah segala puji-pujian.”

Sama-samalah kita hayati makna di atas. Ingatlah kemenangan yang kita war-war kan ketika menyambut Aidilfitri ni terlalu kecil nak dibanding dengan apa yang orang dahulu dah perbuat. Kalau yang dahulu bertakbir, bertahmid kerana meraikan kemenagan Islam ,hari ni tanya diri di mana kedudukan Islam. Di mana-mana di dunia Islam dilabelkan agama mundur, agama terrorist/pengganas, agama yang sempit dll.

Sama-samalah kita ingat mengingat antara satu sama lain. Tak salah beraya tapi kesihatan perlu dijaga. Tak salah beraya tapi berhati-hatilah di jalanraya. Tak salah beraya tapi ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Tak salah beraya tapi ingatlah siapa kita , tak lain dari HAMBA ALLAH yang tugasnya ;-

Ad-Zariyat :56. Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Al-Mukminun :115. Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Maaf Zahir dan Batin

Kullu ‘Am Wa Antum Bi Khair

26 Sep

Dari Damai Ke Bandar Anggerik

8 Sep

Sesungguhnya kami terjaga di pagi hari dengan kerajaan ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah , tiada sekutu baginya tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami dibangkitkan.

Kami terjaga dipagi haridalam fitrah Islam dan kalimah ikhlas dan dal;am agama nabi kami, Muhammad SAW dan dalam millah bapa kami Ibrahim yang hanif sedang dia bukan seorang yang musyrik.

Ya Allah! Aku terjaga olehmu dalam nikmat afiat dan terjaganya rahsia-rahsiaku, maka sempurnakan nikmat-Mu, afiatmu itu atasku, di dunia dan akhirat.

Ya Allah, nikmat apa yang aku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhluk-Mu adalah dari-Mu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagimu segala puji dan syukur.

Gambar : Suasana pagi (fajar sodiq) pandangan dari jendela kediaman baru di Bandar Anggerik.Kelihatan menara UiTM di puncak bukit dengan dilatari cahaya terbit fajar keberkatan bulan Ramadhan.

Ya Allah! Damaikanlah jiwa ini sebagaimana damainya pemandangan indah ciptaanmu di waktu pagi ini.

Ahlan Ya Ramadhan

27 Aug

Dan Allah berfirman di dalam Al-Quran :

“Orang orang yang bermujahadah* pada jalan Kami nescaya Kami tunjukkan mereka jalan Kami”.

Dan Rasulullah telah bersabda dalam Bukhari dan Muslim, getusan hadis-hadisnya;

“Telah bertanya Jibril kepada Nabi, khabar olehmu kepadaku berkenaan ihsan, berkata Nabi, ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya maka Ia (Allah) melihat engkau”.

Rahsia di sebalik Ramadan

27 Aug

Oleh MOHD. SUKKI OTHMAN

IBADAH puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri. Namun, adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadan yang diwajibkan ini?

Jika umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu Muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadan. Mereka akan berlumba-lumba memanfaatkan Ramadan dengan sebaik mungkin, serta bulan ini akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya.

Hanya orang menghayati kelebihan Ramadan akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Puasa Ramadan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Oleh itu, sewajarnya setiap individu Muslim mengambil peluang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan ini untuk mendidik diri ke arah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripada-Nya.

Untuk memastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara khusus al-khusus seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.

Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat.

Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Dalam kegembiraan menyambut puasa Ramadan, kita seharusnya memahami dengan jelas hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna.

Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa.

Hanya orang yang berpuasa dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharap seseorang Muslim itu sentiasa prihatin dan memberi bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.

Demikian juga dari sudut kesihatan. Puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”.

Hadis ini memberi gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Para pakar perubatan bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain.

Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain.

Sesungguhnya kesan lapar dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan. Seorang pakar dari Barat menyatakan bahawa setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul dalamnya.

Dr. Hisyam Ibrahim aI-Khatib menjelaskan bahawa puasa juga memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Pengkajian ini diteruskan apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutamanya puasa Ramadan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki.

Jika ia diteruskan dengan pelaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban seterusnya Isnin dan Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun.

Kesuburan lelaki

Pakar perubatan Islam iaitu Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi membuat eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki.

Eksperimen ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan seperti mana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang. Daripada sudut kesuburan seorang wanita pula, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.

Jelasnya, puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis dan kegendutan. Daripada sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan.

Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit. Contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ dalam badan.

Dua pengkaji Islam dari Syria dalam buku mereka yang berjudul al-Tib fi al-Quran al-Karim menerangkan kepada kita akan faedah berpuasa:

  • Memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan.
  • Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan.
  • Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.

– MOHD. SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah (Bahasa Arab) di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.