Tag Archives: tasauf

Dakwah dan Jihad Ahli Tasawuf

17 Jul

Sejarah membuktikan Ahli Tasawuf memainkan peranan penting di dalam usaha menegak dan mempertahankan agama Allah. Mereka bukanlah hanya menghabiskan masa dengan berzikir, tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak mengendahkan suasana di sekelilingnya. Sebaliknya mereka turut mengambil bahagian yang serius di dalam dakwah dan jihad, malah memberikan sumbangan yang besar dalam perjuangan umat Islam atau dalam jihad menentang kuffar di medan peperangan, mahupun menentang kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan golongan berkuasa.Pembelaan para pemimpin kerohanian terhadap Islam sangat jelas di dalam lembaran sejarah. Di antaranya ialah Syeikh Hatim dan gurunya Syeikh Syaqiq. Mereka berdua telah mengambil bahagian dalam jihad di zaman mereka, dan guru beliau telah syahid di medan peperangan.

Ibrahim bin Adham, seorang wali Allah, di dalam manaqibnya ada dijelaskan bahawa beliau sentiasa mengambil bahagian dalam peperangan yang berlaku di zamannya, baik peperangan itu berlaku di darat mahupun di laut. Demikian juga Syeikh Abu Yazid Al-Bistami, beliau bukan sahaja seorang guru mursyid dan pemimpin kerohanian, bahkan merupakan seorang pejuang yang berani memasuki apa jua medan peperangan sehingga beliau sendiri pernah berkata : “Aku telah ditetapkan Allah untuk bersama-sama dengan para mujahidin (di medan peperangan). Aku menetakkan pedang di muka musuh-musuh Allah itu bersama mereka di dalam masa yang lama.”

Dalam hal ini, Dr. Abd Halim Mahmud di dalam sebuah bukunya menegaskan bahawa Syeikh Abu Yazid ketika berada di barisan hadapan, bukan hanya semalaman bersandar di tembok-tembok kubu Islam, tetapi beliau juga terus berzikrullah tanpa putus-putus, sehingga beliau benar-benar menjadi orang Mukmin yang menepati kehendak sabda Rasulullah SAW :

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (di akhirat) ialah mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang celik sepanjang malam kerana menjaga (musuh) di dalam perang fi sabilillah.”

Uwais Al-Qarni adalah seorang wali Allah dan semulia-mulia tabi’in. Sejarah mencatatkan bahawa beliau telah turut sama mempertahankan Saidina Ali di dalam peperangan Siffin kerana berpendapat golongan yang menentang Saidina Ali adalah salah, dan wajib memerangi mereka sehingga mereka bertaubat dan kembali kepada jalan sebenar. Kemudian ketika tentera Islam berperang dengan tentera Rom, beliau telah sama-sama mencabut pedang dan terjun ke medan perang. Beliau telah syahid akibat mengalami kecederaan di dalam peperangan tersebut.

Dalam peperangan Salib, para ulama tasawuf telah memainkan peranan yang cukup penting sebagaimana yang dinukilkan di dalam Haqaiq ‘an al-Tasawuf :

“Dan di Mesir, di waktu tentera Salib sampai di Dimyat, golongan sufiyyah seperti Syeikh Abu Hasan Asy-Syazili, ‘Izuddin bin Abd Salam dan Abu Fath bin Daqiq al-’Iyd dan ulama-ulama lain telah memberikan khidmat yang sebaik-baiknya untuk menentang tentera Salib.”

Begitu juga dengan Imam Sanusi yang hidup di sekitar tahun 1200 Hijrah. Beliau mengetuai umat Islam menentang penjajahan Itali selama berpuluh-puluh tahun. Syeikh Abd Qadir al-Jazairi juga adalah seorang panglima dan pemimpin agung gerakan menentang penjajahan Peranchis di Algeria. Kita juga mungkin telah membaca sejarah dan menonton tayangan filem mengenai perjuangan Syeikh Umar Mokhtar yang gigih menentang penjajahan Itali di Libya di mana beliau akhirnya syahid di tali gantung.

Di benua India pula, kita menemui tokoh-tokoh perjalanan kerohanian seperti Syeikh Ahmad al-Sirhindi, Syah WaliyuLlah al-Dihlawi dan lain-lain yang sangat berjasa kepada Islam kerana jihad mereka dalam politik dan agama sehingga Syeikh Abu Hassan An-Nadwi menyebutkan pentingnya peranan mereka itu dengan katanya :

“Sesungguhnya saya sentiasa menyatakan bahawa jika tidak kerana wujudnya mereka itu dan jihad mereka, nescaya Islam telah (lenyap) ditelan oleh agama Hindu, tamadunnya dan falsafahnya.”

Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokoh tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman keagungan empayar Islam Acheh pada abad ke-16 dan 17, kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

Sejarah kedatangan Islam di Terengganu, malah di Semenanjung Tanah Melayu juga berkait rapat dengan usaha dakwah golongan Tasawuf. Ia bermula di Kuala Berang yang menjadi pusat tamadun dan kerohanian Islam pertama.

Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam. Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi. Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya.

Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Mekah. Selepas Mekah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit.

Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat. Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

Tok Pulau Manis kemudiannya menubuhkan pula ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang tertua dan terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Beliau telah mengambil jalan wara’ dengan menyerahkan pemerintahan kerajaannya kepada menantunya iaitu Tun Jenal yang berkahwin dengan anaknya Siti Zubaidah. Tun Jenal ditabalkan sebagai raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Seorang lagi ulama tasawuf Terengganu ialah Tokku Paloh, seorang guru mursyid Tariqat Naqsyabandiah yang banyak berjasa terhadap kerajaan Terengganu dan rakyat jelata di dalam usaha menentang kerajaan British.

Salah satu peristiwa yang masyhur ialah ketika pihak Inggeris mahu berunding dengan Raja Melayu mengenai satu tempat bernama Bukit Besar yang ingin mereka miliki. Raja atau Sultan Terengganu pada ketika itu ialah Sultan Zainal Abidin III dan regu baginda ialah Tokku Paloh. Bila Inggeris bertemu baginda dan menyatakan hasrat mereka, lantas Sultan bertitah, “Negeri ini ada tuannya, hendaklah berunding dengannya terlebih dahulu.” Maksud baginda ialah Tokku Paloh.

Pihak Inggeris pun bertemu dengan Tokku Paloh dan berunding mengenai hal itu. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka, punggahlah tanahnya ke dalam kapal. Pihak Inggeris amat marah lalu bangun untuk meninggalkan majlis tersebut. Tapi dengan izin Allah dan karamah Tokku Paloh, kerusi yang diduduki pihak Inggeris melekat pada punggung mereka. Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar sahaja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi kamipun kamu mahu ambil juga”. Pergilah pihak Inggeris dengan penuh rasa malu.

Kemudian, mereka mahu berunding buat kali kedua tapi ia mestilah diadakan di atas kapal mereka yang besar itu. Bila diajukan jemputan kepada Tokku Paloh, beliau mengatakan kapal besar tak mampu bertahan kalau ia naik. Pihak Inggeris ketawa mendengar kata-kata Tokku Paloh itu. Namun dengan izin Allah dan karamahnya, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal yangbesar itu turut senget mengikut perbuatan Tokku Paloh. Hal itu menimbulkan perasaan cemas di pihak Inggeris sehingga rundingan dibatalkan serta merta.

Begitu juga dengan murid Tokku Paloh, Haji Abd. Rahman Limbong yang telah memainkan peranan penting dalam kebangkitan tahun 1921-1928 Masihi di Terengganu dalam mempertahankan Islam dari anasir penjajahan.

Selain itu, sejarah juga mencatatkan peranan besar yang dimainkan oleh Wali Songo (Wali Sembilan) di Pulau Jawa. Dengan usaha gigih yang dilakukan, dengan sokongan rakyat jelata, mereka berjaya menubuhkan pemerintahan Islam, menewaskan kekuasaan Hindu, mendirikan masjid, pesantren (pondok), mewujudkan keamanan dan ketenteraman dalam kehidupan masyarakat.

Sejarah Islamnya Kerajaan Pattani juga melibatkan ahli Tasawuf dengan kaedah menarik. Menurut ceritanya, tiga orang ulama sufi yang merupakan sahabat karib telah menjalankan dakwah di Patani. Mereka ialah Syeikh Shafiyuddin, Syeikh Sa’id Barsisa dan Syeikh Gombak Abdul Mubin. Sebaik tiba di Patani, mereka bertiga telah membuat pondok kecil di satu tempat bernama Kerisik. Di situ, mereka mengumpul maklumat, membuat kajian mengenai suasana dan budaya setempat serta memikirkan strategi dakwah yang sesuai kerana di masa itu Patani diperintah oleh raja yang beragama Budha.

Syeikh Shafiyuddin amat kuat beribadah, berkhalwat dan berzikir memohon pertolongan Allah dalam dakwahnya. Manakala kedua sahabatnya keluar meninjau dan mendapatkan maklumat-maklumat baru. Suatu hari, tersebarlah berita bahawa Maharaja Antira iaitu pemerintah Patani mengalami penyakit yang berat. Maka sesiapa yang dapat merawatnya akan diberi upah yang besar. Sebelum ini telah ramai bomoh yang mengubati beliau, namun tidak juga sembuh-sembuh. Apabila pegawai raja sampai ke tempat Syeikh-Syeikh ini, salah seorang dari mereka menyapa dan memberitahu bahawa terdapat seorang dukun yang sangat sakti yang mampu menyembuhkan maharaja itu. Dukun yang dimaksudkan itu sebenarnya ialah Syeikh Shafiyuddin sendiri.

Keesokan harinya, ketiga-tiga orang Syeikh itu dijemput ke istana untuk mengubati raja. Sebelum upacara pengubatan dilakukan, terjadi perjanjian dimana jika raja sembuh hasil pengubatan Syeikh Shafiyuddin, maka raja mestilah menukar agama dari Budha kepada Islam. Syarat itu dipersetujui raja. Kemudian, Syeikh mula membacakan doa-doa dan ayat-ayat al-Quran.

Dengan izin Allah, tiga hari selepas itu raja pun sembuh dari penyakitnya. Tapi raja engkar dengan janjinya untuk memeluk Islam. Dengan karamah Syeikh Shafiyuddin, penyakit raja berulang semula. Maka diubati lagi seperti janji yang pertama, dan sembuh kembali. Raja mungkir lagi, tiba-tiba penyakitnya datang kembali. Diubati lagi dan sembuh semula. Akhirnya raja Budha itu pun memeluk Islam dan diikuti oleh ramai rakyatnya. Sejak itu, ketiga-tiga Wali Allah tadi mendapat tempat kedudukan yang tinggi di Kerajaan Patani.

Selain itu terdapat tokoh-tokoh lain yang juga berperanan besar dalam menegakkan Islam di Nusantara seperti Syeikh Abd Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Ismail Minangkabau, Muhamad Salleh al-Zawawi, Arshad Banjari dan banyak lagi.

Di samping itu, yang sudah termasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abd Qadir Jailani, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mengenai hal ini, Al-Maududi berkata :

“Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India.”

Abu Hasan Ali an-Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abd Qadir al-Jailani dengan katanya :

“Kira-kira 70,000 orang telah menghadiri majlis (ta’limnya). Lebih 5,000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100,000 orang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai’ah seluas-luasnya, maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali Allah sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keIslaman mereka itu.”

Demikianlah beberapa contoh mengenai peranan golongan tasawuf, wali-wali Allah dan pengikut perjalanan kerohanian di dalam amal dakwah dan jihad. Jelaslah bahawa golongan tasawuf bukanlah mereka yang hanya berzikir dan beramal semata-mata, malah berada di barisan hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Bagi setengah golongan yang meninggalkan amal-amal seperti ini, bermakna mereka telah meninggalkan sunnah Nabi SAW dan perjalanan para sahabat (radiaLahu ‘anhum).

Wallahu ‘alam.

Petikan buku : Sufi Mujahid

Advertisements

Buku:Bisikan Sirr

12 Jun

Saya diberi peluang oleh Allah untuk bertemu mata dengan sahabat lama di pejabat beliau di Petaling Jaya. Beliau bekerja sebagai pegawai di sebuah agensi pelancongan dan umrah. Pertemuan ini membuatkan saya terkenang dan menjadi rindu kepada Tokku kerana kami adalah sahabat seperguruan dan seperjuangan.

Kami bertukar-tukar perkembangan semasa dan kesempatan ini juga saya gunakan untuk mengutip buah-buah ilmu dari beliau. Saya telah dihadiahkan dengan sebuah buku kecil hasil dari nukilan Tokku sendiri yang menyentuh tentang motivasi kerohanian, tauhid dan ketuhanan. Saya meminta kepada beliau jika ada naskhah yang lebih. Jadi saya telah diamanahkan dengan 10 naskhah untuk edaran jualan. Harga sebuah hanyalah RM3.00 dan sesiapa yang berminat boleh hubungi saya melalui email ( csm_razani@yahoo.com ). Sesiapa yang berminat juga boleh dapatkan buku tersebut seperti yang dinyatakan di perenggan bawah.

Petikan Sirr 12

“Dunia bukanlah syurga. Mereka yang mencintai dunia adalah mencintai penderitaan. Penderitaan berpunca dari nafsu dan akal. Mereka yang tiada memiliki keduanya adalah bebas dari merasai apa yang berlaku. Akal menangkap peristiwa, hati menerima dan mengolahkannya. Jika hati bernafsu ammarah, segala peristiwa akan diolah oleh nafsu ammarah. Maka jiwanya tidak pernah kenal diam dari merungut, kecewa, dengki, marah, dendam dan kesedihan. Hatinya tidak akan tenang walaupun memiliki segunung emas. Nafsu ammarah adalah punca penderitaan insan. Lihatlah dunia hari ini yang penuh penderitaan. Ia adalah lontaran nafsu ammarah yang ada dalam diri ramai manusia dan pemimpin dunia. Nafsu tamak, angkuh dan gilakan kekuasaan, tiada belas kasihan adalah pendorong kepada kemusnahan alam.

Nafsu ammarah adalah sebahagian nyalaan api neraka yang ada dalam diri insan. Ia sentiasa membakar hati dan akal, maka lahirlah tekanan dalam kehidupan.”

“Apakah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara ke atasnya?” (Al-Furqan: 4)

Ringkasan Tentang Buku

Ayat-ayat di atas merupakan sebahagian petikan daripada buku ini. Ia mengandungi 28 bicara sirr (sirr = rahsia qalbu) dan beberapa sajak kerohanian. Bersaiz poket, keseluruhan 84 mukasurat (tak termasuk kulit), dijual dengan harga RM3 sahaja (+ RM1 lagi untuk kos penghantaran).

Diolah dalam bahasa jiwa yang mudah dan menyentuh hati. Sesuai dibawa ke mana-mana sebagai penawar jiwa atau dihadiahkan kepada orang lain.

Tempahan juga boleh dibuat dengan menghantar sms nama dan alamat penuh ke 0199241197 @ 0133635451. Bayaran melalui transfer credit RM4 sahaja ke no hp ini, tak perlulah ke bank. Pembelian 30 naskah ke atas, akan diberikan diskaun istimewa! Cetakan terhad.

Hakikat Tenang dan Bahagia

30 May

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan dalam keadaan Ia redha kepadamu dan engkau redha kepada-Nya, masuklah engkau dalam golongan hamba-Ku, masuklah engkau ke alam syurga-Ku.” (Al Fajr : 27-30)

Wahai Anakku,

Aku memperingatkan diriku dan dirimu agar sentiasa memelihara iman dan mengawasinya sert menjauhi perkara yang boleh menyebabkan hilang kemanisannya. Iman akan memuncak cahaya makrifatnya apabila kekotoran yang diselaputi oleh hawa nafsu dapat dikikis.

Ketahuilah anakku, nafsu ammarah adalah musuh yang paling besar dalam perjalanan menuju kepada Tuhan. Ia adalah punca hati manusia tidak tenteram di bawah takdir Allah. Nafsu ini akan merungut-rungut, memberontak, berkeluh kesah dengan apa jua takdir yang menimpanya sama ada ia berbentuk nikmat atau berbentuk musibah.

Ia tidak aman dari merungut sehingga manusia yang mendengar bisikannya akan menjadi manusia yang miskin walaupun ditangannya mempunyai segala perkara yang diidamkan manusia seperti kuasa, kekayaan, keluarga dan sebagainya. Mereka yang berjaya mendidik nafsunya sehingga sampai kepada peringkat mutmainnah (nafsu yang tenang dengan kehendak Allah) sahaja akan dapat merasai kebahagiaan. Dadanya lapang, hatinya tenang, walaupun Allah mentakdirkan ia tidak memiliki apa jua sebagaimana bahagianya Nabi Isa (a.s).

Wahai Anakku,

Kebahagiaan yang hakiki adalah dalam dirimu. Layarkan dirimu ke lautan kebahagiaan dengan sanggup merempuh badai gelombang dipermulaannya. Kuatkan kapal dan besarkan ia agar tidak terasa gelombang ombak dan tiupan badai. Jika tiupan badai terlalu kuat, hanya sedikit sahaja terasa goncangannya, dan dirimu masih boleh tersenyum dan menikmati hidangan tanpa rasa takut. Nakhoda yang hebat ialah seorang yang mempersiapkan kapal dengan segala kekuatan agar dapat menghadapi segala gelora pelayaran dengan tenang. Ia juga mempunyai ilmu dalam menghadapi dan mengatasi gelombang dan taufan.

Wahai Anakku,

Didiklah nafsumu dengan ilmu, ibadah dan mujahadah yang berterusan sehingga ia menjadi nafsu yang tenang dengan tadbir Tuhan, bukannya senang dengan kehendaknya. Ia perlu ditekan dengan bersungguh-sungguh sehingga pecah segala kejahatannya dan terbukalah tadbir penipuan yang melindungi dirimu selama ini dari melihat kebenaran. Akan tersingkaplah rahsia dirimu dari alam keTuhanan, rahsia dunia yang penuh penipuan, rahsia akhirat yang penuh dengan keindahan. Dengan itu, engkau telah mencapai hakikat kebahagiaan sebagaimana hati para kekasih-Nya.

:. Hubaib

Sufi Mujahid

23 Apr

“Jadilah mujahid yang kuat kerohanian dan seorang yang kuat berfikir serta berusaha membangunkan kekuatan Islam di mana saja kita berada. Mujahid Agama ialah mujahid yang kuat kerohaniannya, bijaksana, menguasai kemahiran ilmu dunia, memahami musuh, penuh strategi, sentiasa merancang dan bergerak pantas apabila berlaku krisis. Fokuslah kepada musuh yang besar iaitu Yahudi dan kuncu-kuncunya. Tiada masa untuk kita bermain-main atau bergaduh sesama sendiri pada abad ini. Berlapang dadalah dengan segala perkara yang bercanggah sesama Islam, kumpulkan tenaga untuk merancang dan mengatur strategi berhadapan dengan musuh yang besar dan menggunakan seribu satu tipu helahnya untuk menghancurkan Islam dan umatnya.”

Isi kandungan :

Generasi Teladan ………………………….

1

Ilmu Penyuluh Kebenaran …………………

3

Umat Dakwah …………………………….

5

Dakwah dan Jihad Ahli Kerohanian ………

7

Cerita Luar Biasa & Perbahasan Khilafiah Melemahkan Umat ……………………….

16

Sufi : Mujahid Agama ……………………

20

Pesanan buat Mujahid …………………….

24

Kalam Hikmah ……………………………

33

Kalam Tokku :Bicara Seorang Guru

23 Apr

Siapa yang datang kepadaku untuk mencari kelebihan, ia hanya akan membuang masa. Carilah Guru yang lain kerana padaku tiada apa-apa kelebihan.

Siapa yang datang kepadaku kerana ALLAH, In Sya Allah, dengan amalan dan latihan yang diberikan, perasaan cinta, rindu, asyik, takut pada Allah akan memancar pada jiwanya. Cinta pada ibadah, khusyuk, kasih sayang pada manusia dan cinta pada agama adalah natijah dari pendidikan ini.

Di sini kami melihat tiada keutamaan membincangkan tentang karamah, kasyaf, ilham, firasat, mimpi, wali-wali ghaib, syeikh-syeikh yang hebat, perubatan, persoalan imam Mahadi dan dunia mistik yang lain. Di sini kami melihat agenda membangunkan ummah, keimanan, kasih sayang, kefahaman, amal, mujahadah, dakwah, jihad adalah lebih besar dan utama untuk dibincangkan.

Dalam pendidikan ini, ukuran natijah kerohanian bukannya dilihat dari segi apa yang ia dapat dari alam ghaib seperti bisikan, mimpi yang hebat, karamah, firasat yang hebat, kelebihan perubatan atau persilatan. Tetapi, ukuran kehebatan kerohaniannya yang sebenar ialah keimanan, ketaqwaan, tercabutnya mazmumah, ubudiyyah, perlaksanaan syariah, akhlak, ibadah, cinta Allah, rasul, akhirat, warak, khusyuk dalam ibadah, ketenangan menghadapi musibah, mencintai dakwah dan jihad.

Pendidikan ini untuk mereka yang mencari kefakiran diri dengan meninggalkan pakaian kesombongan dan keduniaan. Juga untuk mereka yang mahu menghilangkan wujud diri untuk melihat wujud Diri-Nya (ALLAH).

al-faqir ilaLlah Hubaib Mohamad