Archive | Diary Ramadhan 1430 RSS feed for this section

Ramadhan Bertandang Lagi

16 Aug

Ramadhan bertandang lagi. Tahun demi tahun ianya hadir dengan suasana yang berbeza. Walaupun suasananya berbeza, namun hakikat dan matlamat puasa itu tetap sama dan tetap satu, iaitu mencari redhaNYA jua semata-mata.

Ibadah ini didatangkan dengan syariat berpuasa seperti umat-umat terdahulu juga telah difardhukan ke atas mereka kewajipan ini.  Ini bermakna umat Islam diarahkan untuk berlapar, berdahaga dan juga menahan dari melakukan perkara-perkara maksiat zahir dan batin, maka akan sempurnalah makna puasa pada zahir dan batinnya.

Puasa Satu Proses Metamorfosis.

Metamorfosis adalah satu fasa perubahan sang rerama daripada seekor beluncas kepada seekor rama-rama atau kupu-kupu yang cantik. Sebelum seekor rama-rama dilihat sebagai satu makhluk tuhan yang cantik, ianya perlu terlebih dahulu untuk berUZLAH dan berPUASA. Tanpa melalui proses ini, sang beluncas tidak akan tersempurna kejadinannya seperti mana yang telah difitrahkan.

Maka, apa signifikannya puasa seorang manusia dan puasanya sang beluncas. Apakah puasa itu nilaianya hanya pada lapar dan dahaga. Atau puasa itu nilaiannya pada waktu berbuka yang enak-enak, atau puasa itu satu syarat untuk kita berpesta suka ria pada Idul Fitri kelak.

Hakikat puasa sebenarnya adalah satu syariat untuk mendidik jiwa, nafsu dan juga menggilap potensi roh untuk mengenal penciptanya. Manusia yang telah dilayan dengan nafsu haiwani selama 11 bulan perlu dingatkan dan ditarbiyah agar manusia sentiasa beringat dan tidak terus lalai.

Keindahan sang rama-rama diumpamakan sebagai kehidupan indah di Syurga dan juga keasyikan seorang hamba yang mengenali dan mengasihi TUHANnya. Untuk menggapai natlamat ini, manusia perlu tunduk dan patuh pada semua apa yang telah di syariatkan. Ibadah puasa pula adalah booster untuk menyucikan semula potensi roh agar tetap terpelihara.

Persediaan Menjelang Ramadhan.

Adakah sama antara orang yang berilmu dan tidak berilmu. Pastinya tidak sama. Sudah barang pasti puasa bagi seorang yang berilmu juga berbeza dengan puasa orang-orang yang tidak berilmu. Walaupun pada zahirnya dilihat mereka sama-sama lapar, dahaga dan kepenatan tetapi hakikatnya tetap tidak sama.

Secara fardhu ainnya, kita perlu mengetahui apakah syarat-syarat wajib berpuasa dan juga perkara-perkara yang membatalkan puasa. Seterusnya, asas ini perlu dilanjutkan untuk mengatahui ilmu-ilmu yang menyebabkan terbatalnya pahala puasa. Batal puasa dan juga batal pahala puasa adalah dua perkara yang perlu dibezakan.

Semua anggota perlu berpuasa termasuklah hati. Hati perlu ditarbiyah agar sentiasa bersifat mahmudah dan menahan kepada perkara-perkara yang mazmumah.

Proposal Plan Berpuasa.

Ada baiknya kalau kita dapat menyediakan satu plan puasa secara bertulis. Proposal ini perlu disiapkan sebelum Ramadhan tiba. Proposal ini perlu mengambil kira muhasabah puasa-puasa kita yang terdahulu. Mungkin boleh juga dinilai dari semenjak kita baligh. Ini bagaikan satu SWOT analisis dan daripada analisa inilah maka akan lahirnya ‘Plan of Action’ untuk puasa yang akan datang.

Letakkan target yang mudah dan realistik. Ukur kepada kemampuan diri. Dan berusahalah untuk mencari bi’ah yang baik agar nilai-nilai puasa yang baik itu dapat dijaga dan dikekalkan. Apa salahnya untuk memulakan azam baru untuk berubah daripada seorang kaki rempit kepada seorang kaki surau atau masjid.

Ambil juga peluang untuk berubah daripada seorang penagih rokok kepada penagih zikir dan tahmid.

Ambil peluang untuk berubah daripada seorang penagih kasih sayang palsu manusia kepada penagih kasih sayang Ilahi.

Ambil peluang untuk berubah dari seorang yang kaki tuang solat kepada hamba Allah yang taat.

Ambillah peluang apa sahaja yang baik, kerana hari esok belum menjanjikan umur yang panjang. Ramadhan tahun hadapan belum menjajikan untuk menjelma sekali lagi.

Masih belum terlambat untuk kita memulakan sesuatu yang baru dan baharu. Selamat beramal untuk semua.