Dakwah dan Jihad Ahli Tasawuf

17 Jul

Sejarah membuktikan Ahli Tasawuf memainkan peranan penting di dalam usaha menegak dan mempertahankan agama Allah. Mereka bukanlah hanya menghabiskan masa dengan berzikir, tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak mengendahkan suasana di sekelilingnya. Sebaliknya mereka turut mengambil bahagian yang serius di dalam dakwah dan jihad, malah memberikan sumbangan yang besar dalam perjuangan umat Islam atau dalam jihad menentang kuffar di medan peperangan, mahupun menentang kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan golongan berkuasa.Pembelaan para pemimpin kerohanian terhadap Islam sangat jelas di dalam lembaran sejarah. Di antaranya ialah Syeikh Hatim dan gurunya Syeikh Syaqiq. Mereka berdua telah mengambil bahagian dalam jihad di zaman mereka, dan guru beliau telah syahid di medan peperangan.

Ibrahim bin Adham, seorang wali Allah, di dalam manaqibnya ada dijelaskan bahawa beliau sentiasa mengambil bahagian dalam peperangan yang berlaku di zamannya, baik peperangan itu berlaku di darat mahupun di laut. Demikian juga Syeikh Abu Yazid Al-Bistami, beliau bukan sahaja seorang guru mursyid dan pemimpin kerohanian, bahkan merupakan seorang pejuang yang berani memasuki apa jua medan peperangan sehingga beliau sendiri pernah berkata : “Aku telah ditetapkan Allah untuk bersama-sama dengan para mujahidin (di medan peperangan). Aku menetakkan pedang di muka musuh-musuh Allah itu bersama mereka di dalam masa yang lama.”

Dalam hal ini, Dr. Abd Halim Mahmud di dalam sebuah bukunya menegaskan bahawa Syeikh Abu Yazid ketika berada di barisan hadapan, bukan hanya semalaman bersandar di tembok-tembok kubu Islam, tetapi beliau juga terus berzikrullah tanpa putus-putus, sehingga beliau benar-benar menjadi orang Mukmin yang menepati kehendak sabda Rasulullah SAW :

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (di akhirat) ialah mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang celik sepanjang malam kerana menjaga (musuh) di dalam perang fi sabilillah.”

Uwais Al-Qarni adalah seorang wali Allah dan semulia-mulia tabi’in. Sejarah mencatatkan bahawa beliau telah turut sama mempertahankan Saidina Ali di dalam peperangan Siffin kerana berpendapat golongan yang menentang Saidina Ali adalah salah, dan wajib memerangi mereka sehingga mereka bertaubat dan kembali kepada jalan sebenar. Kemudian ketika tentera Islam berperang dengan tentera Rom, beliau telah sama-sama mencabut pedang dan terjun ke medan perang. Beliau telah syahid akibat mengalami kecederaan di dalam peperangan tersebut.

Dalam peperangan Salib, para ulama tasawuf telah memainkan peranan yang cukup penting sebagaimana yang dinukilkan di dalam Haqaiq ‘an al-Tasawuf :

“Dan di Mesir, di waktu tentera Salib sampai di Dimyat, golongan sufiyyah seperti Syeikh Abu Hasan Asy-Syazili, ‘Izuddin bin Abd Salam dan Abu Fath bin Daqiq al-’Iyd dan ulama-ulama lain telah memberikan khidmat yang sebaik-baiknya untuk menentang tentera Salib.”

Begitu juga dengan Imam Sanusi yang hidup di sekitar tahun 1200 Hijrah. Beliau mengetuai umat Islam menentang penjajahan Itali selama berpuluh-puluh tahun. Syeikh Abd Qadir al-Jazairi juga adalah seorang panglima dan pemimpin agung gerakan menentang penjajahan Peranchis di Algeria. Kita juga mungkin telah membaca sejarah dan menonton tayangan filem mengenai perjuangan Syeikh Umar Mokhtar yang gigih menentang penjajahan Itali di Libya di mana beliau akhirnya syahid di tali gantung.

Di benua India pula, kita menemui tokoh-tokoh perjalanan kerohanian seperti Syeikh Ahmad al-Sirhindi, Syah WaliyuLlah al-Dihlawi dan lain-lain yang sangat berjasa kepada Islam kerana jihad mereka dalam politik dan agama sehingga Syeikh Abu Hassan An-Nadwi menyebutkan pentingnya peranan mereka itu dengan katanya :

“Sesungguhnya saya sentiasa menyatakan bahawa jika tidak kerana wujudnya mereka itu dan jihad mereka, nescaya Islam telah (lenyap) ditelan oleh agama Hindu, tamadunnya dan falsafahnya.”

Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokoh tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman keagungan empayar Islam Acheh pada abad ke-16 dan 17, kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

Sejarah kedatangan Islam di Terengganu, malah di Semenanjung Tanah Melayu juga berkait rapat dengan usaha dakwah golongan Tasawuf. Ia bermula di Kuala Berang yang menjadi pusat tamadun dan kerohanian Islam pertama.

Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam. Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi. Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya.

Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Mekah. Selepas Mekah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit.

Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat. Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

Tok Pulau Manis kemudiannya menubuhkan pula ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang tertua dan terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Beliau telah mengambil jalan wara’ dengan menyerahkan pemerintahan kerajaannya kepada menantunya iaitu Tun Jenal yang berkahwin dengan anaknya Siti Zubaidah. Tun Jenal ditabalkan sebagai raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Seorang lagi ulama tasawuf Terengganu ialah Tokku Paloh, seorang guru mursyid Tariqat Naqsyabandiah yang banyak berjasa terhadap kerajaan Terengganu dan rakyat jelata di dalam usaha menentang kerajaan British.

Salah satu peristiwa yang masyhur ialah ketika pihak Inggeris mahu berunding dengan Raja Melayu mengenai satu tempat bernama Bukit Besar yang ingin mereka miliki. Raja atau Sultan Terengganu pada ketika itu ialah Sultan Zainal Abidin III dan regu baginda ialah Tokku Paloh. Bila Inggeris bertemu baginda dan menyatakan hasrat mereka, lantas Sultan bertitah, “Negeri ini ada tuannya, hendaklah berunding dengannya terlebih dahulu.” Maksud baginda ialah Tokku Paloh.

Pihak Inggeris pun bertemu dengan Tokku Paloh dan berunding mengenai hal itu. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh ‘mengambil’ Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka, punggahlah tanahnya ke dalam kapal. Pihak Inggeris amat marah lalu bangun untuk meninggalkan majlis tersebut. Tapi dengan izin Allah dan karamah Tokku Paloh, kerusi yang diduduki pihak Inggeris melekat pada punggung mereka. Lalu Tokku Paloh menyindir, “Bukan Bukit Besar sahaja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi kamipun kamu mahu ambil juga”. Pergilah pihak Inggeris dengan penuh rasa malu.

Kemudian, mereka mahu berunding buat kali kedua tapi ia mestilah diadakan di atas kapal mereka yang besar itu. Bila diajukan jemputan kepada Tokku Paloh, beliau mengatakan kapal besar tak mampu bertahan kalau ia naik. Pihak Inggeris ketawa mendengar kata-kata Tokku Paloh itu. Namun dengan izin Allah dan karamahnya, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal yangbesar itu turut senget mengikut perbuatan Tokku Paloh. Hal itu menimbulkan perasaan cemas di pihak Inggeris sehingga rundingan dibatalkan serta merta.

Begitu juga dengan murid Tokku Paloh, Haji Abd. Rahman Limbong yang telah memainkan peranan penting dalam kebangkitan tahun 1921-1928 Masihi di Terengganu dalam mempertahankan Islam dari anasir penjajahan.

Selain itu, sejarah juga mencatatkan peranan besar yang dimainkan oleh Wali Songo (Wali Sembilan) di Pulau Jawa. Dengan usaha gigih yang dilakukan, dengan sokongan rakyat jelata, mereka berjaya menubuhkan pemerintahan Islam, menewaskan kekuasaan Hindu, mendirikan masjid, pesantren (pondok), mewujudkan keamanan dan ketenteraman dalam kehidupan masyarakat.

Sejarah Islamnya Kerajaan Pattani juga melibatkan ahli Tasawuf dengan kaedah menarik. Menurut ceritanya, tiga orang ulama sufi yang merupakan sahabat karib telah menjalankan dakwah di Patani. Mereka ialah Syeikh Shafiyuddin, Syeikh Sa’id Barsisa dan Syeikh Gombak Abdul Mubin. Sebaik tiba di Patani, mereka bertiga telah membuat pondok kecil di satu tempat bernama Kerisik. Di situ, mereka mengumpul maklumat, membuat kajian mengenai suasana dan budaya setempat serta memikirkan strategi dakwah yang sesuai kerana di masa itu Patani diperintah oleh raja yang beragama Budha.

Syeikh Shafiyuddin amat kuat beribadah, berkhalwat dan berzikir memohon pertolongan Allah dalam dakwahnya. Manakala kedua sahabatnya keluar meninjau dan mendapatkan maklumat-maklumat baru. Suatu hari, tersebarlah berita bahawa Maharaja Antira iaitu pemerintah Patani mengalami penyakit yang berat. Maka sesiapa yang dapat merawatnya akan diberi upah yang besar. Sebelum ini telah ramai bomoh yang mengubati beliau, namun tidak juga sembuh-sembuh. Apabila pegawai raja sampai ke tempat Syeikh-Syeikh ini, salah seorang dari mereka menyapa dan memberitahu bahawa terdapat seorang dukun yang sangat sakti yang mampu menyembuhkan maharaja itu. Dukun yang dimaksudkan itu sebenarnya ialah Syeikh Shafiyuddin sendiri.

Keesokan harinya, ketiga-tiga orang Syeikh itu dijemput ke istana untuk mengubati raja. Sebelum upacara pengubatan dilakukan, terjadi perjanjian dimana jika raja sembuh hasil pengubatan Syeikh Shafiyuddin, maka raja mestilah menukar agama dari Budha kepada Islam. Syarat itu dipersetujui raja. Kemudian, Syeikh mula membacakan doa-doa dan ayat-ayat al-Quran.

Dengan izin Allah, tiga hari selepas itu raja pun sembuh dari penyakitnya. Tapi raja engkar dengan janjinya untuk memeluk Islam. Dengan karamah Syeikh Shafiyuddin, penyakit raja berulang semula. Maka diubati lagi seperti janji yang pertama, dan sembuh kembali. Raja mungkir lagi, tiba-tiba penyakitnya datang kembali. Diubati lagi dan sembuh semula. Akhirnya raja Budha itu pun memeluk Islam dan diikuti oleh ramai rakyatnya. Sejak itu, ketiga-tiga Wali Allah tadi mendapat tempat kedudukan yang tinggi di Kerajaan Patani.

Selain itu terdapat tokoh-tokoh lain yang juga berperanan besar dalam menegakkan Islam di Nusantara seperti Syeikh Abd Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Ismail Minangkabau, Muhamad Salleh al-Zawawi, Arshad Banjari dan banyak lagi.

Di samping itu, yang sudah termasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abd Qadir Jailani, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mengenai hal ini, Al-Maududi berkata :

“Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India.”

Abu Hasan Ali an-Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abd Qadir al-Jailani dengan katanya :

“Kira-kira 70,000 orang telah menghadiri majlis (ta’limnya). Lebih 5,000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100,000 orang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai’ah seluas-luasnya, maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali Allah sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keIslaman mereka itu.”

Demikianlah beberapa contoh mengenai peranan golongan tasawuf, wali-wali Allah dan pengikut perjalanan kerohanian di dalam amal dakwah dan jihad. Jelaslah bahawa golongan tasawuf bukanlah mereka yang hanya berzikir dan beramal semata-mata, malah berada di barisan hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Bagi setengah golongan yang meninggalkan amal-amal seperti ini, bermakna mereka telah meninggalkan sunnah Nabi SAW dan perjalanan para sahabat (radiaLahu ‘anhum).

Wallahu ‘alam.

Petikan buku : Sufi Mujahid

4 Responses to “Dakwah dan Jihad Ahli Tasawuf”

  1. S Omar bintalib February 4, 2011 at 1:14 am #

    Maklumat saudara ini ada beberapa kesilapan….Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam. Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi. Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya.

    Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Mekah. Selepas Mekah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit.

    Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat. Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah.

    harap hati hati

  2. zaiman May 26, 2014 at 5:53 am #

    Assalamualaikum saudara tuan blog… Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad bukanlah Tok Paloh, Tok Paloh adalah Sheikh Abdul Malik ibni Sheikh Abdullah..

    • zaiman May 26, 2014 at 5:55 am #

      Tok ku Pulau Manis pula adalah Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad

      • zaiman May 26, 2014 at 6:12 am #

        waduh…. suda penin sudah… Tok Ku paloh ialah Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad bukan seperti yg di nyatakan di atas dan Tok Pulau Manis btol seperti Tuan nyatakan di atas… Syeikh Abdul Malik Ibni Syeikh Abdullah…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: