Archive | November, 2009

Salaf vs Khalaf

18 Nov

Mutakhir ini, perbahasan agama diantara pendapat khalaf dan salaf dilihat agak rancak berlaku. Adakalanya, perbahasan ini lebih cenderung untuk membuka pintu perbalahan diantara pengikut kedua-dua aliran tersebut.

Sejarahnya terlalu panjang untuk di kisahkan disini tentang bila dan bagaimana ianya berlaku. Sejarah ini bukan baru setahun dua sudah bermula, tetapi telah berkurun lamanya diperbahaskan.

Di alam Melayu sendiri, pertembungan dua aliran ini telah berlaku sejak zaman awal masuknya Islam ke Nusantara. Di Malaysia khususnya, ia telah berlaku sejak dizaman gemilangnya tokoh seperti Tok Kenali. Untuk maklumat lanjut, anda boleh dapatkannya dari sumber-sumber yang lain kerana keutamaan saya menulis tidak kearah pengkisahan semula sejarah.

Apa sebenarnya?

Perkara asas yang menjadi perbezaan diantara aliran khalaf dan salaf ialah dari sudut pengambilan hukum dan dalil. Bermula dari titik inilah ianya memperbahaskan tentang tauhid, fiqah dan akhlak.

Secara asasnya, aliran salaf bersumberkan terus daripada Al-Quran dan Hadis untuk mengistinbat hukum dan bagi aliran khalaf, disana ada empat sumber pengambilan hukum yang utama. Pertamanya ialah Al-Quran, keduanya ialah Hadis, ketiganya ialah Ijma’  Ulama dan yang keempat ialah Qias.Ada juga sesetengah ulama’ yang berijtihad dengan menggunakan sumber pengambilan yang kedua seperti istihsan dan masalih almursalah.

Siapa Yang Betul & Siapa Yang Salah

Semua orang tidak sukakan pergaduhan dan perbalahan. Maka disana akan keluar dalil bahawa semua orang Mukmin itu adalah bersaudara. Dalil-dalil mengenai pergaduhan dan perbalahan juga terlalu banyak untuk di huraikan satu persatu.

Jadi, mana satukah pendapat yang boleh kita ikuti. Khalaf atau salaf? Kerana ianya melibatkan cara kita berfikir dan juga cara kita melaksanakan ibadah. Kalau solat Tarawih, anda mahu 20 rakaat atau 8 rakaat.

Kalau membicara soal ketuhanan, anda mahu menerima bahawa Allah itu duduk di atas arasy atau Allah itu tidak mempunyai tempat.

Saya percaya bahawa kebanyakan orang awam seperti saya akan keliru dan pening kerana semua hujah-hujah yang dinyatakan dibawa oleh tokoh-tokoh yang diiktiraf oleh masyarakat.

Maka sebab itulah, saya tekankan kepentingannya untuk kita berguru untuk melaksanakan ibadah. Memberi nilai tambah kepada ibadah kita dengan ilmu, bukannya sekadar ikut-ikutan ataupun lebih mudah bahasanya, ibadah itu tidak lebih dari adat sahaja.

Jadi persoalan ini saya pulangkan kepada untuk untuk menilai. Dimana salahnya khalaf dan dimana tak betulnya salaf. Fikir tuan-tuan!

Jalan Penyelesaian

Saya sendiri akan tersenyum sendirian bila memikirkan jalan penyelesaiannya. Sebab saya sendiri bukanlah insan yang layak berijtihad. Jadi bagi mendepani isu ini, saya suka memakai hujah-hujah guru saya agar kita bersikap rasional .  Pemikiran yang rasional akan menutup pintu ta’asub dan kita akan dapat menilai dengan pemikiran dan hati yang tenang. Mintalah petunjuk Allah.

Atas dasar penyatuan ummah jugalah, Imam Hassan AlBanna telah menggariskan 20 usul didalam kitabnya “Usul Isyrin” bagaimana untuk kita berhadapan dengan situasi ini. Beliau telah berusaha untuk menyatukan kedua-dua golongan ini dan memusatkan fokus umat Islam kepada satu iaitu, Jihad melawan kuffar.

Perbalahan ini telah dan akan merugikan masa depan umat Islam itu sendiri. Kita akan terjebak dengan kancah perdebatan yang melekakan. Ianya tidak akan berkesudahan.

Rumusan

Sudah sampai masanya untuk kita meninggalkan titik-titik perbezaan dan mencari serta menyusun titik-titik persamaan. Tiada ruginya untuk berlapang dada. Kita fokuskan fikiran dan gerk kerja kepada perkara yang lebih aula.

Kepada para alim ulama, para imam mujtahid serta mufti-mufti yang digaji, duduklah semeja dan leraikan permusuhan.

Kepada kita semua, beramallah selagi mana anda meyakini bahawa amalan tersebut mempunyai hujah yang kukuh serta tidak melanggar syara’.

Wallahua’lam.

PPSPPA : Bangsar (18 Nov 2009)

سنة حلوة : Kematian dan Kelahiran

5 Nov

Setiap Yang Bernyawa Pasti Akan Menemui Ajal

Cukuplah mati itu sebagai satu peringatan bagi yang hidup. Nabi juga berpesan bahawa sebijak-bijak manusia ialah mereka yang sentiasa mengingati mati.

Ada apa dengan kematian.

Kematian bukanlah satu nokhtah kehidupan, bahkan sebenarnya ia adalah satu permulaan kehidupan abadi. Hidup yang selama-lamanya tanapa ada kematian lagi sesudah itu.

Kematian adalah titik permulaan soal bicara antara manusia dan tuhan. Soal perhitungan antara amal baik dan amal buruk. Soal perhitungan yang juga dinamakan “Yaumul Mizan” untuk menimbang seberat mana dosa dan pahala. Soal penentuan haluan sama ada ke syurga atau neraka.

Ada apa dengan kehidupan dunia

Ingatlah! Kehidupan dunia adalah ujian semata-mata.  Ianya bukan matlamat. Ia bukan segala-galanya. Ianya adalah medan ujian bagi ruh. Ruh yang lalai perlu diingatkan. Ruh perlu dibimbing untuk kembali kepada fitrah.

Peringatan untuk diriku… ambillah dunia sekadarnya. Kejarlah dunia untuk kepentingan akhiratmu. Jangan tertipu dengan pujukan dunia yang sia-sia. Tinggalkan perkara yang bukan keutamaan. Sudah tiba masanya untuk dirimu menghitung segala-galanya. Sebelum sampai hari perhitungan yang dijanjikan.

Kematian itu terlalu hampir

Sedangkan yang bayi juga boleh mati, inikan pula pada umurku yang mencecah 31 tahun. Apa mungkin mencecah hingga ke angka 100. Itu semua ketentuan Allah. Sudah tertulis sejak azali. Itu bukan urusanku.

Fokus urusanmu hanyalah pada tanggungjawab dirimu pada tuhanmu, dirimu, keluargamu, masyarakatmu dan juga negaramu. Pimpinlah dirimu untuk mengikut jalan yang hanif.

Di depanmu sudah terbentang dua jalan yang jelas dan nyata. Imma kafuro wa imma syakura. Sama ada kau memilih jalan keingkaran atau kau memilih jalan kesyukuran.

Pilihlah untuk dirimu. Ianya adalh pilihanmu sendiri. Mintalah hidayah Allah sebagai petunjuk disepanjang perjalanan.

Untuk Anakanda Muhammad Farhi

Farhi1

Usiamu baru mencecah 3 bulan umur dunia. Kembaramu di dunia ini adalah kesinambungan kehidupanmu yang lalu dialam ruh. Perjanjian antara dirimu dan tuhanmu hendaklah kau genggan erat. Seerat genggaman tanganmu semasa kau dilahirkan oleh ibumu.

Kenalilah dunia barumu dengan kesabaran dan ketabahan. Pelajarilah ilmu-ilmu keduniaan dalam rangka untuk mencari keredhaan Tuhanmu. Jangan jadikan kehidupan duniamu kelak sebagai tipudaya.

Selamat menempuh kehidupan.

Sila baca juga entri ini