Archive | Siyasah RSS feed for this section

Konsert bercanggah niat sebenar ‘Protes’

9 Jul

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak setuju penganjuran konsert sempena perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun anjuran Pakatan Rakyat untuk membantah kenaikan harga minyak di Stadium Kelana Jaya, Selangor Ahad lalu.

Beliau berpendapat pendekatan menganjurkan konsert kumpulan underground itu diadakan sebagai usaha menarik golongan muda menyertainya adalah pendekatan yang salah dan lari dari agenda sebenar.

“Saya sokong protes itu diadakan tetapi tidak dapat menyertainya kerana ada persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Perkara itu saya tak pernah terfikir boleh berlaku. Macam mana majlis protes buat program-program macam tu. Itu tak betul. Cara kerja tak betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Apa yang dikesalkan menurut Menteri Besar Kelantan itu ialah berlakunya insiden tumbuk dan membelasah antara penonton dan penyanyi kumpulan terbabit yang menunjukkan selingan konsert itu tidak bertepatan dengan agenda protes itu sendiri.

Menurutnya, beliau bersetuju dengan langkah Unit Amal Pas meninggalkan lokasi perhimpunan itu diadakan kerana tidak setuju dengan acara nyanyian kumpulan terbabit yang menunjukkan punggung dan aksi liar ketika persembahan.

Ini kerana, katanya, mereka tidak seharusnya turut serta dalam acara konsert berkenaan kerana ia bertentangan dengan niat sebenar menyertai perhimpunan protes itu kerana Allah.

“Saya setuju pasukan unit amal tinggalkan tempat itu. Kita turun dari rumah sebab nak buat protes kerana lillahi taala tetapi tiba-tiba pergi sana orang lain pula tunjuk cara lain.

“Bukan cara protes tetapi cara nak seronok-seronok, saya kecewa dan tak pernah terfikir macam mana perkara itu boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz kepentingan solat lima waktu ibarat makan nasi kerana walau seteruk mana bekerja pasti seseorang itu akan menikmatinya kerana ia merupakan satu keperluan.

“Solat ni sepatutnya tak ada orang yang tinggal. Walau kita suntuk masa sekalipun solat tak boleh tinggal. Sembahyang ibarat makan nasi. Kalau kita kerja kuat sekalipun kita tak tinggal dari nak makan nasi, walau kena makan sambil berdiri.

“Sembahyang pun begitu juga, sebab itu dalam sembahyang walau Allah mewajibkan tapi masih ada ruang (kelonggaran) untuk manusia. Kalau tak boleh sembahyang berdiri, kita boleh duduk.

“Kalau tak boleh duduk kena tidur dan kalau tak boleh tidur juga maknanya matilah tu..,” katanya ketika diminta mengulas cadangan menjadikan kepatuhan solat lima waktu dan Jumaat sebagai kriteria utama sebelum diterima bekerja dalam kerajaan negeri.

Menurutnya, langkah itu akan dicuba dahulu dalam masyarakat di Kelantan sebelum dikemukakan usul kerana berdasarkan senario sekarang banyak pertentangan fahaman politik wujud tambahan pula banyak program di televisyen yang melalaikan manusia.

Antara Anwar Dan Najib

4 Jul

Menyelusuri suasana politik semasa sangat –sangat menggetarkan jiwa ini. Fitnah yang berterusan berlaku menyebabkan warna-warna kedamaian dan ketenangan sedikit muram dan malap. Cahaya kebenaran tetap ada, cuma ianya tersembunyi di sebalik kabut-kabut yang agak sukar untuk dirungkaikan.

Babak demi babak dan episod demi episod terus berlarutan dengan seribu satu pertanyaan. Untuk menyatakan siapa yang benar dan siapa yang salah adalah sesuatu yang sukar buat diri ini pada masa ini. Kebenaran perlu dipertahankan demi membersihkan kembali imej yang tercalar.

Saya bertanya kepada diri saya apakah yang sepatutnya saya lakukan untuk berhadapan dengan situasi gawat ini. Saya bukanlah pemain utama untuk semua drama ini melainkan hanyalah penonton yang agak kurang berminat untuk memberikan komen. Suara hati ini berkata, saksikanlah terus cerita ini, tetapi saksikanlah dengan zikir dan fikir.

Zikir Dan Fikir

Teruskan berzikir dan teruskan berfikir. Kata-kata azimat ini terus menerus menerjah kotak fikiran saya semenjak akhir-akhir ini. Keutamaan untuk duduk diam dari memperdebatkan kehangatan kemelut ini bukan bermakna saya bersetuju dengan semua dakwaan yang dilemparkan. Kelayakan saya untuk menilai terlalu terbatas dengan fakta-fakta sekunder dan bukannya premier.

Ternyata didalam fikir dan zikir itu ada semua jawapan kepada kemelut ini. Di dalam zikir dan fikir ini ada sesuatu yang Allah bukakan dan tunjukkan. Kebenaran tetap satu, dan bagaimana menghadapi semua ini, Hadapilah dengan iman, islam dan ihsan. Anda pasti selamat. Selamat dari fitnah dunia. Percayalah kata-kata saya, sesiapa yang lari dari landasan fitrah dalam melalui liku-liku kemelut ini, ia pasti akan tergelincir.

Minyak Naik : Simtom Atau Penyakit

20 Jun

Simtom bermaksud tanda atau petanda. Di dalam masalah kesihatan, simtom simtom adalah petunjuk kepada penyakit yang sebenar. Sebagai contoh, apabila seseorang itu dikatakan demam, maka ia akan menunjukkan simtom-simtom seperti sakit kepala, sakit badan, selesema, panas badan, batuk dan sebagainya. Apa yang perlu dirawat ialah penyakit yang sebenar, bukan kepada simtom-simtom yang menjadi petunjuk kepada permasalahan sebenar.

Kelangsungan rasa marah dan tidak puas hati rakyat terhadap kenaikan harga bahan bakar minyak masih belum menampakkan keredaan. Siri himpunan protes rakyat terus-menerus berlaku dan dalam masa yang sama para pemimpin dan pihak media juga dilihat sedang panas dalam mendebatkan isu ini di layar televisyen. Paling menarik mutakhir ini ialah bagaimana kita melihat dua pihak saling cuba mengelak untuk menjadi punca yang sebenar kepada isu kenaikan ini. Pihak kerajaan seolah-olah mahu berlepas tangan dan cuba mengalihkan penyebab kepada isu ini ialah salah Petronas itu sendiri. Reaksi terhadap situasi ini, pihak Petronas telah mula mengeluarkan fakta-fakta untuk mempertahankan diri bahawa harga minyak sebenarnya bukanlah di bawah kawalannya, tetapi tertakluk sepenuhnya kepada kuasa mutlak kerajaan.

Kerajaan Malaysia vs PETRONAS

Petronas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia dengan status GLC. Dengan pemilikan saham majoriti oleh kerajaan, ini bermakna kerajaan berhak dan berkuasa diatas segala keputusan yang dibuat termasuk kenaikan harga minyak. Tidak timbul isu Petronas yang menaikkan harga minyak dengan sewenang-wenangnya.

Di dalam satu laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 22 Mei 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1974 sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, Petronas telah mencatat keuntungan sebanyak RM570 bilion.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, Petronas telah membayar sebanyak 62.8 peratus atau RM357.8 bilion dalam bentuk cukai, royalti, duti eksport dan dividen kepada Kerajaan Malaysia.

Tambahnya, sebanyak 7.2 peratus atau RM41.4 bilion adalah keuntungan yang diperuntukan kepada pemegang saham minoriti kumpulan dan perbelanjaan cukai luar negara.

“Sebanyak 30 peratus daripada keuntungannya atau RM170.8 bilion digunakan untuk pelaburan semula serta mengembangkan perniagaannya,” katanya.

Sebagai rumusan yang boleh saya buat, Petronas telah menyumbangkan 70% keuntungannya kepada kerajaan dan lebihan 30% lagi itulah yang digunakan oleh Petronas sebagai modal pusingan, menampung kos operasi termasuk gaji dan bonus kepada pekerjanya. Secara purata sejak ditubuhkan, Petronas telah membayar bonus tahunan sebanyak dua bulan gaji dan bonus yang tertinggi pernah dibayar ialah sebanyak enam bulan gaji.

70% inilah telah digunakan oleh kerajaan untuk merencana agenda pembangunan negara. Dengan keuntungan 70% ini jugalah jika kerajaan tidak menaikkan harga minyak sehingga 2.70 seliter, ia masih mampu untuk member subsidi minyak kepada kerajaan. Jika perkara yang asas ini dapat difahami dengan baik dan harmoni, maka kehidupan rakyat juga akan turut harmoni, tanpa memikirkan terus menerus kesempitan hidup akibat kenaikan harga barangan yang begitu melampau.

Saya tidak mahu mengulas tentang bagaimana sumbangan 70% ini dibelanjakan, tetapi saya ingin menimbulkan persoalan kepada anda semua untuk sama-sama mencari sebab dan bukti bagaimanakah kerajaan telah membelanjakan sumbangan keuntungan 70% Petronas ini. Adakah kerajaan begitu terdesak dan sudah kekeringan dana sehingga perkara asas kepada keperluan rakyat menjadi porak peranda.

Merujuk kembali kepada tajuk yang saya letakkan diatas, adakah kenaikan harga minyak itu adalah permasalahan sebenar, atau hanya semata-mata simtom terhadap kepincangan kerajaan dalam menguruskan dana negara. Apakah logik seseorang yang mampu menguruskan dana dan belanjawan dengan baik, tetapi masih terkial-kial untuk mencari kelebihan untung dengan melampau-lampau melainkan ianya adalah orang yang tamak haloba dalam mencari kesenangan duniawi.

 

Sembuhkan Penyakit dan Bukannya Simtom  

 

Saya bertanya kepada anda? Apakah penyakit sebenar kepada situasi kenaikan harga minyak ini. Anda boleh berikan saya pelbagai jawapan, tetapi bagi saya, penyakit yang sebenar yang perlu dirawat ialah “pentadbiran kerajaan yang menyeleweng dan korup”. Ini adalah kezaliman yang perlu di sanggah, dan inilah kerja serta tugas kita untuk menyatakan bahawa segala kemungkaran perlu dibenteras. Perjuangan kita bukan semata-mata untuk menurunkan kadar harga minyak, tetapi perjuangan kita adalah untuk menegakkan satu sistem pemerintahan yang adil dan saksama dengan perlaksanaan syariah Islamiah yang sebenar.

Tegakkan kebenaran, runtuhkan kezaliman.

Rujukan :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

http://en.wikipedia.org/wiki/Petronas

http://www.petronas.com

KRISIS MINYAK : Sambungan episod kisah kezaliman…

9 Jun

Saya mengikuti perkembangan isu kenaikan harga minyak dengan penuh minat sejak ianya diumumkan minggu lepas. Saya percaya bahawa apa yang saya rasakan pada saat ini turut dikongsi oleh jutaan umat rakyat Malaysia khususnya. Tidak ketinggalan, Indonesia juga dilanda badai “tsunami minyak” yang menimbulkan reaksi bantahan rakyat jelata dari pelusuk negara tersebut. Fenomena ini saya istilahkan dengan “fenomena kejutan” kerana secara fitrahnya, apabila manusia mengalami apa-apa kejutan, secara spontan ia akan memberikan reaksi yang diluar jangkaan samaada ianya berbentuk negatif ataupun positif. Teori ini jugalah yang pernah kita pelajari didalam subjek sains semasa di sekolah menengah dahulu dengan apa yang kita namakan ianya sebagai hokum/teori refleksi (tindak balas).

Kecelaruan perasaan diantara rasa terkejut, marah dan geram cuba untuk diredakan oleh pihak kerajaan dengan pelbagai solusi yang bertemakan kepada subsidi, rebet, langkah-langkah penjimatan dan sebagainya. Tetapi pujukan-pujukan ini secara keseluruhannya masih gagal untuk meredakan suasana kemarahan hati-hati rakyat kerana dengan naiknya harga bahan bakar petrol & diesel, maka menurut bacaan ilmu ekonomi, barang-barang keperluan lain juga akan turut meningkat. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah tidak dapat dinafikan lagi kerana semua peniaga merasakan kos operasi yang semakin meningkat akan mengecilkan skala margin keuntungan mereka.

Maka rakyat jelatalah juga yang akan terus meraung dan menanggung azab yang berpenjangan kerana kuasa beli wang yang ada pada mereka semakin mengecil dan menghaus. Tidak keterlaluan kalau saya katakana kenaikan harga minyak ini telah MEROMPAK hak kehidupan golongan marhaen seperti saya kerana segala-galanya akan dinilai semula dengan nilai wang yang semakin tiada nilainya. Gejala inflasi akan terus menjadi-jadi dan dalam suasana inilah segala macam musibah, bala dan petaka boleh berlaku. Suasana huru-hara ini akan menjadi bertambah rumit kerana ukuran nilai kehidupan pada hari ini semuanya diukur dengan kekayaan wang dan kebendaan.

Penstrukturan Semula Bajet Kewangan Bulanan

Saya memperuntukkan secara tetap bajet mingguan untuk penggunaan petrol kereta sebanyak RM50.00. Ini hanyalah untuk kegunaan pergi berulang alik ke pejabat, belum lagi peruntukan sekiranya ada perjalanan jauh hujung minggu seperti balik ke kampung, kursus dsb. Sebelum kenaikan harga petrol, saya akan mendapat sebanyak lebih kurang 25 liter petrol untuk setiap RM50.00. Selepas kenaikan kepada RM2.70 seliter, ini bermakna dengan bajet RM50.00, saya hanya akan mendapat lebih kurang 18.5 liter petrol. Jika saya ingin mengekalkan penggunaan sebanyak 25 liter seminggu, ini bermakna bajet bulanan saya akan bertambah sebanyak RM70.00.

Mungkin nilai RM70.00 tidak begitu banyak dirasakan jika tidak mengambil faktor kenaikan harga-harga barangan yang lain. Tetapi, dengan melihat perkembangan mutakhir yang segala-galanya dibayangkan dengan kenaikan yang mencanak-canak seperti tarif elektrik, gula, tepung, beras dan entah apa lagi, bolehkah saya katakan jumlah RM70.00 itu tidak banyak. Itu saya istilahkan baru ibunya, yang mana anak-anak kenaikan harga barang akan terus meningkat. Secara jujurnya kalau boleh saya katakan bahawa bajet untuk sedekah mungkin tidak sebesar itu saya peruntukan. Mungkin ini juga caranya Allah mengambil balik keberkatan rezeki hamba-hambanya yang tidak menginfaqkan rezeki mereka ke jalan Allah.

Fenomena “duit pisang” ini memaksa saya untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan bulanan dan juga perancangan untuk pembelian barangan-barangan lain. Orang Kelantan/ Terengganu kata, jangan nak “tebing” juga, kerana kalau “nnebing” juga, alamat padahlah jawabnya. Wah! Dashyat betul penangan kuasa kapitalis dalam menentukan haluan ekonomi dunia, sampaikan semua pemimpin-pemimpin Islam pun terpaksa bersikap “yes bos!”

Putaran makna ekonomi yang saya pelajari satu masa dahulu iaitu bagaimana menguruskan sumber yang terhad berbanding kehendak-kehendak yang tidak terbatas tiba-tiba terlintas kembali difikiran. Terlalu banyak kehendak-kehendak yang tidak dapat saya penuhi samaada untuk saya atau keluarga saya jika diukur dengan sumber pendapatan yang terlalu terhad. Pada masa-masa sebeginilah idea-idea untuk menjalankan perniagaan menjelma kembali. Buat masa ini saya belum bersedia untuk menyambung kembali misi perniagaan yang pernah tergendala suatu masa dahulu. ( Ke macam mana saudara Arif).

Peace of Mind

Saya percaya, ramai diantara kita yang masih ligat berfikir bagaimana caranya untuk mengatasi masalah kewangan yang ketat. Belumpun sempurna untuk kita mengecapi kemewahan kewangan yang abadi dalam konteks tenang dan damai, bebas dari belenggu hutang dan ada simpanan tetap yang sempurna, sebahagian wang kita telah DIROMPAK oleh fenomena “duit pisang”. Hati dan perasaan kita terpaksa untuk menerima situasi ini dengan keadaan redha dalam keterpaksaan.

Saya bukanlah orang yang sesuai untuk membincangkan topik perancangan kewangan, tetapi paling tidak setiap kita mesti ada formula untuk keluar dari belenggu fenomena “duit pisang” ini. Saya pulangkan kembali persoalan ini kepada anda untuk melihat kepada diri masing-masing tentang perancangan kewangan yang bagaimanakah yang patut ada pada diri kita agar kehidupan “peace of mind” ini dapat dikecapi sampai bila-bila dan dimana sahaja. Tanya pada diri kita dimana letaknya nilai tenang, damai dan bahagia. Setidak-tidaknya, setiap kita perlu untuk berfikir dan bertafakur sejenak tentang perkara ini.

Munculnya Galian-Galian Bumi : Petanda Akhir Zaman

Mungkin kalau boleh saya titipkan satu hadis daripada 40 hadis akhir zaman yang dipetik dari buku yang telah di susun oleh Abu Ali Al Banjari An Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam) untuk renungan kita bersama. Insya’allah dengan berkat keinsafan kita, dapat kita mengambil iktibar dengan kejadian masa kini, mudah-mudahan ia membawa petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa. 

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah saw. sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: “Hai RasuIullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita”. Lalu Nabi saw. menjawab, “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat”.

H.R.Baihaqi

Tepat sekali apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw. sejak limabelas abad yang lalu. Hari ini dunia Islam sangat kaya dengan galian bumi, seperti emas, perak, timah, petrol dan lain-lain, tetapi yang menguruskan dan yang menguasainya adalah orang-orang yang bukan Islam. Ini adalah suatu realiti yang sangat jelas di mata kita dan merupakan salah satu di antara petanda hampirnya hari qiamat.

Penutup

Saya merasa terpanggil untuk menyatakan disini bahawa keperluan kita kepada pemerintah negara yang adil dan bijaksana perlu di wujudkan. Paksi keadilan dan kebijaksanaan itu ialah dengan kembali kepada fitrah, iaitu melaksanakan tuntutan Syariah Islamiah secara syumul. Pelanggaran kepada nilai-nilai fitrah beragama dalam konteks pemerintahan negara akan mengakibatkan kepincangan dan kerosakan (fasad) yang amat dashyat. Apabila rintihan suara hati untuk penegakkan keadilan tidak dilaksanakan, tunggulah sehingga azab dan bala Allah sampai. Inilah juga yang disebutkan didalam satu hadis bahawa apabila harta negara hanya beredar pada pihak-pihak tertentu maka ianya akan mengundang bala dari Allah.

 
 

p/s : Berdoalah semoga semua rakyat hidup aman dan sejahtera, dan dijauhkan dari bala bencana.

Mohd Razani : KWAP, Bukit Bintang

Petrol naik 78 sen, diesel RM1

4 Jun

Harga petrol naik sebanyak 78 sen – satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70. Demikian diumumkan oleh perdana menteri petang tadi.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mengumumkan harga minyak diesel pula naik kepada RM2.58 – naik RM1 berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter.

Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini, katanya di sidang media di Putrajaya.

Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan.

Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun – rebat bagi 800 liter di bawah harga baru.

Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos.

Difahamkan rebet teresbut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Kerajaan dijangka menjimatkan RM4 bilion di bawah penstrukturan semula skim subsidi tersebut.

Jika harga petrol dijual mengikut harga penuh pasaran, ia boleh mencecah setinggi hampir RM4 seliter – 50 peratus di atas harga sekarang.

Bagaimanapun, kerajaan dijangka menuju ke arah memansuhkan terus pemberian subsidi pada masa depan.

Sejak 2004, harga petrol naik sebany7ak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik sebanyak setinggi 231 peratus [lihat carta]. 

 

Ulama Bertaqwa Pemimpin Sebenar

25 Apr

Sinis sekali, sudah ramai ramai yang yang mempersenda malah menyanggah ulama. Kedudukan mereka sebagai pewaris nabi semacam tidak digeruni lagi. Malah sudah ada suara-suara yang mempertikaikan kemampuan para ulama untuk memimpin dan menyelesaikan masalah ummah. Soalnya, mengapa terjadi demikian? Adakah kerana ulama semakin berani dengan Allah, hingga orang lain hilang homat kepada mereka?

Imam Al-Ghazali membahagikan ulama kepada dua golongan; ulama akhirat dan ulama dunia. Ulama akhirat ialah mereka yang berilmu dan bertaqwa, ikhlas dalam melaksanakan amanah sebagai pewaris para Nabi, berani menentang kemungkaran dan konsisten dalam menegakkan agama Allah. Manakala ulama dunia, juga disebut ulama Suu'(jahat) ialah mereka yang berilmu tetapi menyembunyikan kebenaran, mencari habuan dunia, pangkat dan kedudukan, sanggup bersekongkol dengan kemungkaran malah sanggup menjual agama demi harta benda dan dunia. Maka ulama sebegini adalah ulama yang harus diperangi kerana kerosakan masyarakat berlaku disebabkan kejahatan mereka bersama dengan pemimpin yang zalim. Inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadith di atas.

Ulama sejati ialah mereka yang bukan sahaja berilmu, tetapi bertaqwa. Hanya mereka yang takut kepada Allah sahaja yang dii’tiraf sebagai ulama. Allah berfirman :

Sesungguhnya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-Nya ialah ulama. ( Al-Fathir:28 )

Mengapa ulama perlu terdiri daripada orang yang takut kepada Allah? Ini disebabkan hubungan ulama dengan orang ramai ibarat pengecas dengan bateri. Ulamalah yang mengalirkan “current” – rasa takut kepada Allah kepada orang lain hingga orang lain juga takutkan Allah. Oleh itu, dia mesti ada “power” yang lebih kuat. Ertinya ulama mesti orang yang lebih kuat iman dan taqwanya.

Rosaknya sesebuah masyarakat ialah kerana mereka tidak ada rasa takut kepada Allah. Dengan itu kejahatan dan kemungkaran dilakukan dengan semahu-mahunya. Puncanya ada banyak. Salah satu daripadanya ialah kerana ulama yang tidak bertaqwa kepada Allah.

Walaupun ada ulama yang merasa mampu memperbaiki masyarakat menggunakan ilmunya, tetapi selagi mereka tidak takut kepada Allah, selagi itulah mereka akan gagal meningkatkan iman masyarakat.

Sebaliknya, jika ada ulama yang takut kepada Allah, hanya dengan memandang wajahnya sahaja pun boleh mengingatkan kita kepada Allah seterusnya menginsafkan kita. Kehadirannya dengan sendiri boleh mendidik orang lain, walaupun dia belum bercakap apa-apa. Wibawanya yang tinggi mempengaruhi orang lain supaya takutkan Allah.

Ulama sekarang seharusnya mencontohi keperibadian dan taqwa ulama silam. Mereka juga perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu yang benar dan beramal dengannya, berakhlak mulia, bebas dari sebarang ikatan dan kepentingan duniawi serta berani menegakkan perkara yang hak.

Ulama sebagai pemimpin juga seumpama seorang doktor yang merawat pesakit yang bermacam ragam. Doktor yang sihat sahaja boleh melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Justeru ulama mestilah mendidik dirinya dengan serius agar dia dapat dijadikan sandaran dan teladan oleh orang lain. Riskasnya dia mesti kuat berpegang pada syariat dan berhalus dalam perkara-perkara syubhah.

Sejarah membuktikan bahawa, kerosakan sesuatu umat bermula bila ulamanya rosak. Lihatlah pada apa yang berlaku kepada golongan Bani Israel dan golongan Nasrani. Bila paderi atau rabbi mereka rosak, maka tercetuslah pelbagai gejala dan kerosakan dalam masyarakat.

Ini bermakna, dalam berusaha menangani pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat, usaha pembaikannya mesti bermula pada diri ulama itu sendiri.

Tuga ulama tidak tamat disitu. dia mesti terjun ke tengah masyarakat untuk berdakwah dan membimbing mereka dalam urusan kehidupan mereka, memperbetulkan fahaman dan pemikiran yang salah serta berusaha mengajak mereka kembali kepada Islam secara syumul.

Dia mesti berani menegur dan menasihati sesiapa sahaja, walaupun kepada mereka yang berkuasa dan berpangkat tinggi. Inilah yang dilakukan oleh ulama silam. Antaranya ialah Imam Al-Ghazali, Sufyan At-Thauri, Syah Waliyullah, Syeikh Junaid dan lain-lain lagi. Sesungguhnya, jika ulama yang bertaqwa benar-benar berperanan, mereka mampu mewujudkan sebuah kehidupan berdasarkan Al-Quran dan Sunnah sebagai jalan keluar kepada krisis dan kegawatan sosial yang berlaku hari ini.